Saturday, February 17, 2018

POKOK KURMA DI BINJAI...

POKOK KURMA DI BINJAI...

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rumah arwah datuk ambo (Gemulah Cikgu Hussain guru pelawat Kelantan)  depan sekolah Mentuan sudah dibina rumah baru oleh pok sedara ambo. Kita panggil dia Ayah Chik. Menariknya dia tanam pokok kurma sebagai hiasan depan pagar. Bantu ibu bapa berteduh sambil menunggu anak2 balik sekolah. Dapat pahala mudah meneduhkan orang ramai. Rupanya pokok kurma ada kisahnya tersendiri dalam al-Quran dan Hadith....

Pada suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya Abu Bakar, ‘Umar bin al-Khattab dan anak ‘Umar iaitu Abdullah tentang “APAKAH POKOK YANG BAIK” yang menjadi perumpamaan Allah dalam al-Quran:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25)

Ertinya: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (Ibrahim [14:24-25]).

Ketika menceritakan kisah tersebut Abdullah bin ‘Umar berkata:

كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَخْبِرُونِي بِشَجَرَةٍ تُشْبِهُ أَوْ كَالرَّجُلِ الْمُسْلِمِ لَا يَتَحَاتُّ وَرَقُهَا تُؤْتِي أُكْلَهَا كُلَّ حِينٍ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ وَرَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ لَا يَتَكَلَّمَانِ فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ فَلَمَّا لَمْ يَقُولُوا شَيْئًا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هِيَ النَّخْلَةُ فَلَمَّا قُمْنَا قُلْتُ لِعُمَرَ يَا أَبَتَاهُ وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَ وَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَقَالَ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَكَلَّمَ قَالَ لَمْ أَرَكُمْ تَكَلَّمُونَ فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ أَوْ أَقُولَ شَيْئًا قَالَ عُمَرُ لَأَنْ تَكُونَ قُلْتَهَا أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كَذَا وَكَذَا

Ertinya: (Pada suatu hari) kami duduk bersama Rasulullah. Baginda kemudiannya bertanya: “Khabarkan padaku tentang sebuah pokok yang menyerupai seorang Muslim. Ia (pokok itu) tidak gugur daunnya. Ia juga memberikan hasil (buah) sepanjang masa.” Abdullah bin ‘Umar berkata: “Terlintas di hatiku bahawa pokok itu adalah POKOK KURMA, tapi aku malu untuk menyebutnya kerana melihat Abu Bakar dan Umar hanya diam tidak berbicara.” Setelah mereka semua diam, Rasulullah menjelaskan: “Pokok itu adalah pokok kurma.” Apabila kami berlalu pergi, aku berkata kepada ayahku: “Wahai ayahanda! Demi Allah sebentar tadi hatiku memang berkata ia adalah pokok kurma.” Umar bertanya: “Apa yang menghalangmu dari berkata (berkongsi jawapan) sebentar tadi?” Abdullah menjawab: “Aku malu untuk berkata sesuatu kerana melihat kamu berdua hanya diam.” ‘Umar lalu berkata: “AKU LEBIH SUKA KAMU MENJAWAB TADI DARI SEKADAR BERKATA BEGINI DAN BEGINI.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Subhanallah! Kisah ini mempunyai pengajaran 2 sudut yang sangat bagus untuk dihayati dan dijadikan pedoman;

1) Sikap Abdullah bin ‘Umar yang segan untuk berbicara menunjukkan sikap hormatnya kepada 2 insan hebat di sisi Rasulullah. Ini patut dicontohi oleh orang muda. Orang muda yang cakapnya lepas tanpa fikir boleh mendedahkan diri kepada kesilapan. Lebih malang lagi jika sikap gelojohnya akan menimbulkan rasa tidak selesa orang berusia. Jika mahu berkongsi pandangan sekalipun, pilihlah cara yang paling sopan agar orang tua tidak melenting berkata “WAH BUDAK BERHINGUS INI BERANI NAK MENGAJAR AKU.” Jika dialog defensif dari orang tua itu muncul, pandangan orang muda itu (Walaupun benar atau sebernas mana sekalipun) akan langsung dikuis ke tepi. Aduhai ruginya!

2) Sikap Sayyidina ‘Umar yang mahu anaknya berani berkongsi jawapan juga sangat bagus untuk melatih keyakinan diri orang muda. Kita jumpa ramai sekali orang muda yang buah fikirannya sangat bernas tapi terkurung erat dalam penjara minda mereka. Penjara minda mereka itu gagal dibuka kerana tiada latihan untuk meningkatkan keyakinan diri. Selain itu, sikap ‘Umar yang mahu mendengar pandangan anaknya jelas menujukkan keterbukaan orang tua. Walaupun orang tua banyak pengalaman, pandangan orang muda juga diperlukan kerana banyak kerja lapangan dalam masyarakat digerakkan oleh orang muda.

Kisah dua sahabat Rasulullah ini wajib dijadikan bimbingan dalam hidup semua Muslim. Orang tua perlu berfikiran terbuka mendengar pandangan orang muda. Jika pandangannya masih keanak-anakan, jangan diperleceh atau diejek. Ingat!! Kita juga pernah muda dan keanak-anakan. Ejekan akan menjadi pembunuh rasa hormat orang muda pada orang tua. Kelak ia akan menjadi kitaran hidup mereka di usia tua. Mereka akan mengejek atau memperlekeh orang muda yang lain pula. Sungguh! Ini kitaran hidup masyarakat yang SANGAT TIDAK SIHAT. Ejekan juga akan mematahkan sayap minda orang muda. Akibatnya mereka tidak mampu terbang, gagal berfikir dan “mati otak” sebelum tiba waktu kematian sebenar.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...