Monday, December 4, 2017

PERINGATAN UNTUK BAKAL PEMIMPIN

PERINGATAN UNTUK BAKAL PEMIMPIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:54-55]) pada 6 April 2016. Antara isunya adalah bolehkah meminta jawatan kerana nabi Yusuf AS pernah meminta jawatan?

Jawatan bukan batu loncatan mencari pengaruh. Bukan juga tunggangan yang dipacu deras bagi mengejar kekayaan. Ia adalah amanah yang akan diaudit halus di akhirat kelak. Itu prinsip asas dalam bicara kepimpinan. Pun begitu manusia rakus lagi tamak sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat sebuah jawatan. Lebih parah lagi apabila ada yang sanggup menunggang agama dalam usaha mengejar jawatan:

“Saya melobi untuk jawatan ini kerana mencontohi nabi Yusuf. Bukan kecil jawatan yang DIPINTA baginda, tetapi terus jawatan kedua tertinggi dalam empayar Mesir Purba. Itulah pendorong utama usaha saya ini.”

Usahkan membanding diri dengan nabi Yusuf AS, debu di tepi kaki kuda nabi Yusuf jauh lebih mulia darinya. Manusia rakus sebegini wajib meneliti hadith Rasulullah ini:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ  قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Ertinya: Abdul Rahman bin Samurah RA menceritakan Nabi saw. bersabda: "Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau diberi jawatan itu kerana permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah (untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat ada yang lebih baik dari itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu dengan membayar kaffarah dan perbuatlah yang lebih baik." (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Setelah membaca hadith ini timbul soalan jika kita tak dibenarkan meminta jawatan, mengapa pula nabi Yusuf AS secara terang meminta jawatan setelah dibebaskan dari penjara?

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ (54) قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (55)

Ertinya: Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) bercakap dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai dalam kalangan kami ". Yusuf berkata: "Lantiklah aku menjadi pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya" (Yusuf [12:54-55]).

Kejahilan kepada rahsia sebenar kisah ini menyebabkan sesetengah manusia berasa tidak salah meminta atau melobi jawatan walau kelayakan dan integrity mereka masih jauh dari nabi Yusuf AS. Bak kata pepatah Melayu, jauh panggang dari api. Baginda tidak bertindak kosong tanpa petunjuk. Takbir mimpi yang baginda berikan kepada raja Mesir adalah “sinaran wahyu” dan sebuah tauliah perlantikan sebagai menteri kewangan Mesir. Allah mewahyukan kepada baginda bahawa “Mesir hanya selamat dari bencana ini di bawah pengurusanmu sebagai menteri.”

Subhanallah! Allah itu Maha Kaya lagi Maha Bijaksana, mimpi raja Mesir itu rupanya bercabang 3 iaitu; (1) sebab pembebasan Yusuf, (2) perlantikan baginda sebagai menteri penyelamat Mesir dan, (3) sebab agama Tawhid bersinar di Mesir. Setelah bebas, Yusuf segera melaksanakan wahyu itu dengan meminta jawatan tersebut. Kepada penggila jawatan dan kuasa di luar sana, kuasa, jawatan dan pangkat adalah amanah. Orang yang benar-benar sedar tentang beratnya amanah jawatan tidak bersorak gembira setelah dilantik jauh sekali berhabis demi mendapat jawatan itu. Bacalah kisah khalifah adil ‘Umar bin ‘Abdul Aziz ini:

قال عطاء بن أبي رباح حدثتني فاطمة امرأة عمر أنها دخلت عليه وهو في مصلاه تسيل دموعه على لحيته فقالت يا أمير المؤمنين ألشيء حدث؟ قال يا فاطمة إني تقلدة من أمر أمة محمد صلى الله عليه وسلم أسودها وأحمرها: فتفكرت في الفقير الجائع والمريض الضائع والعاري المجهود والمظلوم المقهور والغريب الأسير والشيخ الكبير وذي العيال الكثير والمال القليل وأشباههم في أقطار الأرض وأطراف البلاد فعلمت أن ربي سائلي عنهم يوم القيامة فخشيت أن لا تثبت لي حجة فبكيت.

Ertinya: ‘Ata’ bin Abi Rabah menyebut bahawa Fatimah (isteri kepada) ‘Umar bin Abdul Aziz menceritakan padanya: “Suatu hari aku masuk bertemu dengan ‘Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: Wahai Amirul Mu’minin ada sesuatukah yang berlaku?” Beliau menjawab: “Wahai Fatimah aku bertanggung jawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam atau berkulit merah. Lalu aku terfikir tentang nasib orang faqir yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing yang tertawan, orang tua, orang yang mempunyai anak ramai serta harta yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri. Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti akan menyoalku tentang mereka kelak pada hari kiamat, lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah (mempertahankan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis (Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti).

Setelah faham hakikat jawatan, ucaplah takziah bersama tahniah kepada sesiapa yang baru dilantik. Tahniah kerana Allah memberikan peluang kepada mereka untuk berbakti kepada ummat dan menegakkan hukum Allah atas posisi yang ditanggung. Takziah pula sebagai suatu peringatan jika mereka gagal menjalankan amanah kepimpinan yang bakal disoal kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...