Monday, December 18, 2017

JANGAN CEPAT HUKUM PELACUR

JANGAN CEPAT HUKUM PELACUR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jika ditanya, mana destinasi akhir yang mahu dituju selepas mati, semua manusia mahu ke syurga dan bukannya menjadi bahan bakar api neraka. Itu adalah harapan semua orang tanpa mengira agama, bangsa dan sikapnya. Manusia paling jahat sekalipun tetap mahu ke syurga walaupun nafas dan zikir hariannya penuh dengan kajahatan. Walaupun begitu, apa guna harapan tanpa usaha? Islam adalah agama amal dan bukti. Ia ditegakkan dengan usaha yang ikhlas dan bukan hanya angan-angan kosong:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Ertinya: (Balasan baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat - selain daripada Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya (al-Nisa’ [4:123]).

Pun begitu, ada sesetengah manusia yang nasibnya kurang baik kerana lahir dalam keluarga dan situasi yang bermasalah. Kesannya, hidup mereka tenggelam dalam kegelapan. Kenapa Allah benarkan itu berlaku sedangkan kuasa-Nya yang tidak terbatas mampu melakukan apa sahaja. Allah Yang kuasa-Nya terletak antara huruf “KAF dan NUN” كن فيكون  - JADI MAKA JADI – boleh sahaja melahirkan semua manusia dalam situasi baik, soleh dan bahagia. Adilkah Tuhan?

Allah Yang Maha Bijaksana menetapkan dunia ini adalah negeri ujian. Ada manusia diuji dengan susah agar dia sabar. Sabarnya menjadi sebab gandaan pahala untuknya. Ada yang lahir senang agar dia tahu bersyukur dan berusaha memanjangkan ni’matnya kepada yang susah. Jika rantaian orang susah dan senang ini bersambung secara stabil, takdir ciptaan Allah akan nampak cantik dan indah. Manusia pun akan menjadi manusia dan bukannya binatang kerana dalam dunia binatang yang kuat akan sentiasa membaham yang lemah. Banyak sekali firman Allah mengulas hakikat ujian hidup manusia di dunia, antaranya:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi DAN MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA DIA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An’am [6:165]).

Berbalik kepada tajuk kita! Ada sesetengah manusia diuji dengan kesusahan sehingga meletakkan mereka dalam lorong gelap pelacuran. Lidah dan mata zahir manusia senang sahaja menghukum mereka sebagai wanita jalang, perosak rumah tangga, pembawa wabak kotor dan sebagainya. Pernahkah kita terfikir atau bertanya apa cita-citanya ketika kecil dahulu? Adakah profesyen pelacur pernah menjadi pilihannya? Manusia waras pasti tidak akan memasukkan profesyen ini dalam senarai hidup mereka, namun situasi dan keadaan meletakkan mereka dalam lorong gelap ini. Soalnya, masih ada-kah peluang dan sinar cahaya untuk mereka?

Apa jawapannya? Cukuplah hadith ini menjadi jawapan kepada semua betapa Rahmat Allah sentiasa melimpahi hamba-Nya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ

Ertinya: Abu Hurayrah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: (Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Isra’il. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Sahih al-Bukhari).

Ada yang cuba mempertikaikan hadith ini dengan timbangan logik akal mereka: “Hadith ini tak logik menurut neraca keadilan. Masakan hanya dengan memberi minum kepada seekor anjing, dosa besar yang dilakukan si pelacur terus diampunkan Allah?”

Ada beberapa cara bagi menjawab soalan logik di atas,

1) Hadith ini adalah hadith sahih. Setelah terbukti ianya sahih, maka kita terima dengan penuh iman. Jika isinya kelihatan pelik atau tak logik, kefahaman kita yang perlu disahihkan bukannya menolak terus kalam Rasulullah SAW yang mendapat bimbingan wahyu.

2) Allah adalah Tuhan Yang Maha Pengasih. Allah bukan diktaktor yang gila menghukum. Rahmat-Nya kepada makhluk dilimpahi tanpa batas. Rahmat dan kasih sayang-Nya jauh lebih luas daripada kemurkaan-Nya. Itu dapat kita lihat daripada doa para malaikat:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "WAHAI TUHAN KAMI! RAHMAT-MU DAN ILMU-MU MELIPUTI SEGALANYA; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka (Ghafir [40:7]).

Banyak sekali contoh limpahan Rahmat Allah kepada hamba-Nya, antaranya kisah penuh syahdu daripada hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَانَ رَجُلٌ يُسْرِفُ عَلَى نَفْسِهِ فَلَمَّا حَضَرَهُ الْمَوْتُ قَالَ لِبَنِيهِ إِذَا أَنَا مُتُّ فَأَحْرِقُونِي ثُمَّ اطْحَنُونِي ثُمَّ ذَرُّونِي فِي الرِّيحِ فَوَاللَّهِ لَئِنْ قَدَرَ عَلَيَّ رَبِّي لَيُعَذِّبَنِّي عَذَابًا مَا عَذَّبَهُ أَحَدًا فَلَمَّا مَاتَ فُعِلَ بِهِ ذَلِكَ فَأَمَرَ اللَّهُ الْأَرْضَ فَقَالَ اجْمَعِي مَا فِيكِ مِنْهُ فَفَعَلَتْ فَإِذَا هُوَ قَائِمٌ فَقَالَ مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ قَالَ يَا رَبِّ خَشْيَتُكَ فَغَفَرَ لَهُ

Ertinya: Abu Hurayrah RA meriwayatkan nabi SAW pernah menceritakan sebuah kisah; Ada seorang lelaki yang selalu melampaui batas terhadap dirinya (dengan melakukan berbagai dosa). Apabila hampir mati, dia berpesan kepada anaknya; apabila aku mati kelak bakarlah jasadku kemudian tabur abu mayatku agar diterbangkan angin, kerana sesungguhnya jika Tuhan menemuiku sudah pasti Dia akan menyeksaku dengan seksaan yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun. Setelah dia mati, anaknya melaksanakan segala wasiatnya. Lalu Allah berfirman kepada bumi; "Kumpulkan segala abunya yang ada padamu (wahai bumi)." Bumi pun segera melakukan arahan Allah dan lelaki itu dihadapkan kepada Allah. Allah bertanya kepada lelaki itu (sedang Dia sudah mengetahui sebabnya): “Apa yang mendorong kamu berbuat begitu?” Lelaki itu menjawab;  "Wahai Tuhan-Ku kerana (aku terlalu) takutkan-Mu.” Berikutan jawapan itu, Allah langsung mengampunkan dosanya (Sahih al-Bukhari).

3) Jika di dunia ini kita boleh terima hak seorang raja atau sultan memberi pengampunan khusus yang boleh mengurangkan hukuman kepada pesalah, mengapa kita mahu nafikan hak yang jauh lebih hebat kepada Allah? Jika Allah terpaksa tunduk kepada hukum tanpa ada ruang budi bicara, maka kuasa ketuhanan-Nya boleh luntur. Allah sebagai Tuhan boleh menghukum makhluk atas sebarang jenayah. Allah juga sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih boleh mengampunkan sesiapa sahaja apabila Dia mahu. Itulah kuasa Tuhan yang sebenar.  

4) Bukan semua yang melakukan dosa mahu terjebak ke dalam kancah dosa. Banyak sekali kisah kita dengar wanita yang tidak bernasib baik dipaksa menjadi pelacur. Ada yang ditipu di negara asing dan dilacurkan sehingga tiada cara untuk mereka lari atau keluar daripada kancah tersebut. Kadang-kadang mereka sudah menjadi hamba pelacuran yang pasrah kerana tak mampu melepaskan diri. Hati kecil mereka selalu berdoa agar dibebaskan daripada neraka pelacuran itu.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap beberapa hamba wanita yang dipaksa-lacur oleh tuannya. Firman Allah:

وَلَا تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِتَبْتَغُوا عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَمَنْ يُكْرِهْهُنَّ فَإِنَّ اللَّهَ مِنْ بَعْدِ إِكْرَاهِهِنَّ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: "DAN JANGANLAH KAMU PAKSA HAMBA PEREMPUAN KAMU MELACURKAN DIRI KETIKA MEREKA MAHU MENJAGA KEHORMATANNYA, KERANA KAMU BERKEHENDAKKAN KESENANGAN HIDUP DI DUNIA. DAN SESIAPA YANG MEMAKSA MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH - SESUDAH PAKSAAN YANG DILAKUKAN KEPADA MEREKA - MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI (al-Nur [24:33]).

Ayat ini mengisahkan perihal beberapa hamba wanita milik “Presiden Persatuan orang Munafik Madinah, Abdullah bin Ubay.” Dia memaksa hamba wanita miliknya keluar melacur. Selepas Islam datang, para hamba miliknya (yang dikatakan bernama Musaykah, Mu’adhah, Umaymah, ‘Amrah, Arwa dan Qutaylah) engkar arahannya. Apabila dia berkeras memaksa mereka pelacur, Allah menurunkan ayat ini (Sahih Muslim & Tafsir Ibn Kathir).

Kita adalah makhluk Allah! Usahlah kita berlagak seperti Tuhan membenci manusia berdosa yang tidak kita ketahui latar belakang masalah mereka. Jika lihat kebejatan hidup orang, doakan hidayah untuknya bukan doa laknat. Hari ini kita lihat dia kotor dan jahat tapi belum tentu lagi pengakhiran hidup kita jauh lebih baik daripadanya. Berilah harapan bukannya celaan kerana “KITA BUKAN TUHAN." Usahkan kita, Tuhan yang mencipta mereka pun sentiasa memberi harapan kepada semua hamba-Nya:

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar [39:53]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...