Saturday, October 28, 2017

KESAYUAN HATI RASULULLAH DIJANJIKAN KEMENANGAN

KESAYUAN HATI RASULULLAH DIJANJIKAN KEMENANGAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Qasas [28:85]) 28 Oktober 2014. Antara isunya, janji kemenangan kepada Rasulullah SAW yang terpaksa meninggalkan Mekah demi Islam.

Memang sedih apabila terpaksa meninggalkan tanah tumpah darah yang sudah hampir 53 tahun didiami. Apakan daya, Hijrah baginda SAW perlu diteruskan kerana nyawa baginda sudah terancam dan Islam pasti berkubur tanpa nisan jika baginda terus diam di Mekah. Musyrikin Quraysh nekad membunuh baginda:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Ertinya: Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya (al-Anfal[8:30]).

Selepas keluar dari gua Thur dan sampai di sebuah kawasan luar Mekah bernama al-Hazwarah, Rasulullah berasa sangat rindu dan sayu apabila berpaling melihat Mekah. Lalu baginda mengucapkan lafaz kesayuannya:

وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

Ertinya: Demi Allah sesungguhnya engkau (bumi Mekah) adalah bumi Allah yang terbaik dan bumi Allah yang paling dicntai Allah. Jika bukan kerana aku diusir darimu, maka aku tidak akan sama sekali keluar darimu” (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Ketika kesayuan ini Allah memberi khabar gembira bahawa baginda akan kembali ke Mekah secara terhormat dengan kemenangan. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآَنَ لَرَادُّكَ إِلَى مَعَادٍ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ مَنْ جَاءَ بِالْهُدَى وَمَنْ هُوَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) SUDAH TENTU AKAN MENYAMPAIKAN ENGKAU LAGI KEPADA APA YANG ENGKAU INGINI DAN CINTAI (MEKAH-Sahih al-Bukhari). Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): "Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata " (al-Qasas[28:85]).

Benar janji Allah itu, hanya selepas 8 tahun sahaja baginda pulang secara terhormat ke Mekah. Ini adalah ganjaran kurniaan Allah kepada baginda yang sangat teruji demi memperjuangkan al-Quran. Beginilah juga janji Allah kepada kita jika kita bersungguh mengamal dan menegakkan isi al-Quran. Kita pasti beroleh kejayaan hakiki di dunia atau di akhirat.

Dapatkan nota tafsir lain di:

https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...