Thursday, October 12, 2017

KEADILAN DAN KEKUASAAN ALLAH DALAM GAMBARAN BIJI KURMA, BIJI SAWI DAN SAIZ ZARAH

KEADILAN DAN KEKUASAAN ALLAH DALAM GAMBARAN BIJI KURMA, BIJI SAWI DAN SAIZ ZARAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Ketika makan buah kurma, jangan hanya makan tanpa penghayatan. Perhatikan bijinya nescaya ilmu dan iman kita akan bertambah."

Kenyataan itu nampak pelik, tapi itulah yang dibahasakan al-Quran. Allah itu sangat adil dan berkuasa. Tiada siapa nampu menandingi keduanya. Itu mesej yang ditegaskan kepada manusia zaman nabi SAW kerana ada yang degil menolak Islam dan menyembah berhala yang tak bernyawa.

Bagi mengetuk pintu hati mereka, Allah menggunakan biji kurma sebagai alat menyampaikan maklumat. Mengapa biji kurma dan bukan benda lain? Tidak lain kerana ianya mudah diperolehi oleh orang Arab dan dekat pada hati mereka. Perhatikan ayat ini:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Ertinya: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun (walau sebesar lubang halus biji kurma) (al-Nisa'[4:124]).

Perkataan terakhir ayat ini menyebut NAQIR - نقير - iaitu lubang halus pada biji kurma. Tunas kurma akan muncul dari lubang ini. Ia sangat halus sehingga sering terlepas pandang. Allah ingin menegur manusia, pada hari kiamat kelak semua amal baik dan buruk manusia akan diganjari seadil-adilnya sehingga tidak ada dosa atau pahala yang terlepas dari "audit Allah" walaupun besarnya sekadar lubang tunas bini kurma.

Dalam ayat pula Allah berfirman:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنْفُسَهُمْ ۚ بَلِ اللَّهُ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Ertinya: Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun (al-Nisa'[4:49]).

Perkataan terakhir ayat ini pula Allah menyebut FATIL - فتيل - iaitu pintalan halus seperti sumbu pelita pada belahan biji kurma. Ia juga sangat halus dan  sering dilepas pandang. Contoh pintalan ini turut digunakan bagi menegur manusia, betapa "audit Allah" sangat adil dan tidak mungkin berlaku kesilapan dalam mahkamah akhirat walaupun besarnya sekadar pintalan halus pada biji kurma.

Tidak terikat hanya dengan perumpamaan biji kurma, kadangkala Allah menggunakan bahan mentah lain bagi menyampaikan mesej yang sama, seperti penggunaan saiz zarah:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Ertinya: Maka sesiapa berbuat kebajikan "SEBERAT ZARAH", nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Al-Zalzalah  [99:7]).

Juga penggunaan biji sawi:

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا ۖ وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَاسِبِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; "DAN JIKA (AMALNYA) ITU SEBERAT BIJI SAWI (SEKALIPUN)", nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung (al-Anbiya'[21:47]).

Bagi menafikan kekuasaan pada berhala beku sembahan orang Mekah pula, Allah turut menggunakan biji kurma iaitu QITMIR - قطمير:

يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ ۚ وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ مَا يَمْلِكُونَ مِنْ قِطْمِيرٍ

Ertinya: Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah - yang lain dari Allah - tidak mempunyai sesuatu (kuasa) pun walau "SENIPIS SELAPUT BIJI KURMA" (Fatir [35:13]).

Setelah tahu berhala mereka tidak langsung memiliki kuasa memberi manafaat atau mendatangkan mudarat walau sekadar selaput halus pada biji kurma, maka kenapakah mereka masih bodoh menyembah segala berhala ciptaan mereka. Cantik sekali cara Allah menampar ego manusia bodoh yang mensyirikkanNya.

Lalu mungkin ada yang tertanya: "Setahu saya QITMIR adalah nama anjing yang menemani 7 pemuda gua dalam surah al-Kahfi." Firman Allah:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Ertinya: Dan engkau sangka mereka (7 pemuda gua) sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang "ANJING MEREKA MENGHULURKAN DUA KAKI DEPANNYA PADA PINTU GUA"; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka (al-Kahfi [18:18]).

Jawapnya, perincian nama si anjing tidak disebut al-Quran (dalam ayat di atas) dan ia tergolong dalam riwayat Isra'iliyyat yang berasal dari sumber Yahudi dan Nasrani. Sumber mereka ada kalanya tidak sahih. Oleh itu usah ditelan bulat-bulat dakwaan yang tidak disebut al-Quran. Jangan teralih perhatian kepada cerita si anjing yang kononnya bernama "QITMIR" kerana mesej utama kisah dari surah al-Kahfi itu adalah perjuangan Tawhid 7 pemuda.

Huraian kepada tiga patah perkataan NAQIR-FATIL dan QITMIR di atas menunjukkan kelebihan tadabbur atau menelaah dengan penghayatan kepada ayat al-Quran. Bukan setakat ilmu kita bertambah, bahkan iman juga semakin subur.

Selepas ini apabila selesai makan buah kurma, renunglah sekejap pada bijinya dan bayangkan kesempurnaan keadilan serta kuasa Allah. Insya Allah ia adalah kualiti orang beriman.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...