Tuesday, October 31, 2017

BASAHKAN WAJAHNYA DAN AJAKLAH DIA SOLAT

BASAHKAN WAJAHNYA DAN AJAKLAH DIA SOLAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tafsir ringkas Subuh (Maryam [19:54-55]) pada 30 Oktober 2016. Antara isunya adalah tabiat nabi Isma’il dan para nabi yang lain menggalakkan ahli keluarga mereka menunaikan solat.

Solat adalah “oksigen” para nabi. Dalam al-Quran banyak sekali Allah menyebut bagaimana para nabi memenuhi hidup mereka dengan solat, antaranya adalah nabi Ibrahim dalam surah (Ibrahim [14:40], nabi Musa dalam surah Taha [20:13], nabi Isa dalam surah (Maryam [19:30-31], Nabi Zakariyya dalam surah (Ali ‘Imran [3:39] dan nabi Syu’ayb dalam surah (Hud [11:87]).

Dalam tazkirah ringkas pagi ini (30 Oktober 2016) saya menyentuh budaya hidup nabi Isma’il AS yang direkodkan Allah dalam surah Maryam:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (55)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. DAN DIA SELALU MENYURUH KELUARGANYA MENGERJAKAN SEMBAHYANG dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam [19:54-55]).

Nabi Isma’il AS sangat mementingkan solat dan selalu mengingatkan ahli keluarganya agar menjaga solat. Semangat ini turut diikuti oleh cucu baginda iaitu Rasulullah SAW sendiri kerana baginda juga mendapat arahan yang sama:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: DAN PERINTAHKANLAH KELUARGAMU (WAHAI MUHAMMAD) SERTA UMATMU MENGERJAKAN SEMBAHYANG, DAN HENDAKLAH ENGKAU TEKUN BERSABAR MENUNAIKANNYA. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).

Pada setiap pagi, Rasulullah  akan mendatangi rumah Fatimah RA dan Ali RA seraya berkata:

"الصَّلاةَ الصَّلاةَ"(إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّه لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرُا) " .

Ertinya: Solat! Solat! (kerana sesungguhnya Allah mahu membersihkan kamu semua dari segala kotoran (dosa) dan menyucikan kamu dengan sesuci-sucinya [petikan ayat 33 surah al-Ahzab] (Tafsir al-Tabari).

Ia juga menjadi kebiasaan Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA sebagaimana sebuah riwayat:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ كَانَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ مَا شَاءَ اللَّهُ حَتَّى إِذَا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ أَيْقَظَ أَهْلَهُ لِلصَّلَاةِ يَقُولُ لَهُمْ الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ ثُمَّ يَتْلُو هَذِهِ الْآيَةَ { وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى }

Ertinya: ‘Umar bin al-Khattab selalu mendirikan solat malam untuk beberapa ketika sehingga penghujung malam. Setelah itu beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk solat seraya membaca ayat 132 surah Taha (Muwatta’ Malik).

Ingat-mengingat dan kejut-mengejut ahli keluarga untuk mendirikan solat disebut secara romantis oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ

Ertinya: Allah merahmati seorang suami yang bangun solat malam dan mengejutkan isterinya. Sekiranya si siteri tak mahu bangun (kerana mengantuk), si suami akan membasahkan wajah isterinya dengan air (sebagai tanda kasih sayang). Allah juga merahmati seorang isteri yang bangun solat malam dan mengejutkan suaminya. Sekiranya si suami tak mahu bangun (kerana mengantuk), si isteri akan membasahkan wajah suaminya dengan air (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Nasa’I & Sunan Ibn Majah).

Aduhai sungguh romantik sekali bila kedua pasangan bersikap sedemikian. Inilah sikap yang sepatutnya dilakukan oleh pasangan dalam rumah tangga bagi menjamin bahagia yang berkekalan di dunia dan di syurga kelak, Insya-Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...