Tuesday, September 5, 2017

CUTI SEKOLAH, GAJET DAN KURANG VITAMIN AL-QURAN

CUTI SEKOLAH, GAJET DAN KURANG VITAMIN AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Tak tahu kenapa, kepala kita pening sikit ni." Rungut Ahmad Mujtaba ketika kami hampir sampai sekolahnya.

"Barangkali Mujtaba kena hujan tadi kot!" Umminya Arham Diyana Abdullah mencelah.

"Bukan! Walid tahu apa sebabnya. Mujtaba KURANG VITAMIN!" Saya menyambut perbualan.

"Kurang VITAMIN?" Mujtaba kehairanan mendengar diagnosis saya ala-ala doktor tak bertauliah.

"Ye! KURANG VITAMIN AL-QURAN!"

Mujtaba dan umminya menyambut jawapan saya dengan senyum simpul. Itu kisah semalam (4 September 2017) ketika kami sekeluarga menghantar Mujtaba  (Anak sulong saya berusia 17 tahun) ke sekolahnya Ma'ahad Integrasi Tahfiz Selangor di Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Saya perhatikan, ketika cuti sekolah baru-baru ini Mujtaba banyak membuat latihan pelajaran untuk persiapan SPM-nya dan kurang sedikit masanya dengan ulang kaji al-Quran.

Sebenarnya fenomena kurang mengulang kaji hafazan al-Quran bagi pelajar Tahfiz ketika musim cuti sekolah yang panjang adalah perkara biasa. Walaupun kelihatan biasa, ia sangat tidak bagus. Waktu rehat cuti sekolah banyak dihabiskan dengan rehat bersama keluarga, menonton TV dan antara musibah moden semua anak remaja sekarang ada "BERMAIN MELEBIHI MASA" segala bagai gajet moden.

Ketika berada di asrama, semua itu tidak menjadi penghalang untuk mengulang kaji al-Quran kerana alat bantu yang memesongkan perhatian pelajaran tidak wujud sama sekali.

Teringat kembali memori semasa berada di Tahun 3 Darul Quran, JAKIM pada tahun 1996 dahulu. Entah bagaimana sebuah TV sesat dibawa masuk ke asrama kami. Akibatnya helaian al-Quran yang dibaca "JATUH MENDADAK." Ada sahaja alasan diberi untuk menonton TV,  Buletin Utama-lah, rancangan agama-lah, Majalah Tiga-lah, kartun-lah, filem aksi hujung minggu-lah dan sebagainya. Terasa benar kewujudan TV menjadi "racun pemutus bekalan oksigen al-Quran" kami semua. Sudahnya atas inisiatif bersama, TV itu dibawa keluar daripada asrama kami dan  Alhamdulillah suasana syurga al-Quran kami pulih seperti biasa.

Pesan saya kepada para pelajar Tahfiz dan ibu bapa di luar sana. Kawal-lah diri anda dan kepada ibu bapa, jaga anak anda daripada bahaya gajet moden ini. Tiada salah mengikut perkembangan moden tapi perlu diingat, ia memiliki daya tarikan  magnetik yang sangat kuat. Apabila gajet sudah di tangan ketagihannya sukar diatasi dan tanpa sedar masa berlalu begitu sahaja tanpa manafaat.

Kewujudan gajet moden sebagai alat bantu belajar al-Quran sangat bagus untuk orang awam, namun ia sangat berbeza bagi para penghafaz al-Quran. Para penghafaz al-Quran perlu fokus kepada surah dan ayat yang dihafaz. Masa untuk proses ulang kaji juga perlu banyak. Dibimbangi apabila gajet sudah berada di tangan, aplikasi al-Quran bertukar wajah menjadi aplikasi lain yang melalaikan.

Pernah timbul perbincangan dalam kalangan pelajar Tahfiz sama ada perlu atau tidak, wujudnya telefon pintar pada para pelajar Tahfiz sebagai alat bantu belajar. Berbagai hujah diberi oleh pihak yang menyokong dan menentang. Murid saya Abdul Hanan yang sedang belajar di Darul Quran, JAKIM melihat kesannya.

Beliau duduk bersama seorang teman mengulang-kaji al-Quran. Hanan orang yang agak konservatif dan tidak memiliki telefon pintar, manakala temannya tidak berpisah dengan telefon pintar. Ketika Hanan sudah membaca hampir setengah juzuk al-Quran, ulang kaji  temannya selalu terganggu dengan mesej yang masuk melalui telefon pintarnya. Di akhir sesi ulangan, jumlah helaian al-Quran antara mereka berdua jauh berbeza. Nampaknya "telefon pintar semakin mengurangkan kepintaran kita semua." Sungguh! Ini adalah musibah untuk penghafaz al-Quran.

Ulang kaji hafazan adalah oksigen untuk para penghafaz al-Quran. Bukan saya kata, tapi "HAFIZ PERTAMA" al-Quran dalam sejarah umat manusia iaitu Rasulullah SAW:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya) manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Atasilah ketagihan gajet moden kerana kekuatan hafazan al-Quran pada zaman moden berkait rapat dengan cara pengurusan diri dengan  godaan segala gajet moden. Mudah-mudahan mujahadah kita menjadi sebab kita dipilih Allah untuk kekal menjaga al-Quran sehingga akhir hayat sebagaimana firman Allah ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

Akhir sekali saya tegaskan bahawa gajet moden adalah alat pemudah cara dan bukan pemusnah kualiti hafazan anda.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...