Saturday, August 12, 2017

TUNJUKKAN KEKUATANMU AGAR SIMUSUH GERUN

TUNJUKKAN KEKUATANMU AGAR SI MUSUH GERUN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-Anfal [8:60]) pada 6 Ogos 2016. Antara isunya adalah kepentingan peruntukan ketenteraan dan mempamerkan kekuatan fizikal bagi menggerunkan musuh.

“Apa perlunya tarian perang dan pertunjukan tentera dipersembahkan pada hari kebangsaan? Apa perlunya negara kuasa besar tentera menunjukkan kekuatan tentera dan senjata milik mereka? Apa perlunya didokumentari serta ditunjukkan kepada umum senjata moden ciptaan terbaru berbagai syarikat swasta penyedia senjata dalam sebuah negara kuasa besar dunia?”

Bagi orang yang berfikir, soalan di atas biasanya akan muncul dalam minda mereka. Dokumentari “WEAPONOLOGY” dan filem aksi Hollywood banyak sekali menunjukkan betapa tentera Amerika Syarikat begitu efisyen mengalahkan musuh. Memang filem adalah alat propaganda yang sangat berkesan bagi mengerunkan musuh. Usaha menggerunkan musuh adalah satu “LANGKAH PENCEGAHAN PERANG” yang sangat berkesan. Apa kata al-Quran? Ayuh kita perhatikan ayat ini:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Ertinya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) APA SAHAJA JENIS KEKUATAN YANG DAPAT KAMU SEDIAKAN dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, UNTUK MENGGERUNKAN DENGAN PERSEDIAAN ITU MUSUH ALLAH DAN MUSUH KAMU SERTA MUSUH YANG LAIN DARI MEREKA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA; SEDANG ALLAH MENGETAHUINYA. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya (al-Anfal [8:60]).

Ayat ini wajib dilihat dari 2 sudut utama iaitu "KEKUATAN FIZIKAL" dan "USAHA MENGGERUNKAN MUSUH." Ayuh kita cuba fahami analisis ayat ini;

1) Allah mendatangkan perkataan – قوة – tanpa ALIF dan LAM. Apa bezanya? Dalam bicara Bahasa Arab sebarang perkataan yang tiada ALIF dan LAM dipanggil lafaz NAKIRAH yang membawa maksud yang lebih umum. Oleh itu terjemahan paling tepat kepada perkataan –قوة – dalam ayat ini adalah “(SEDIAKAN) APA SAHAJA JENIS KEKUATAN.” Kekuatan ketenteraan yang dimaksudkan Allah adalah kekuatan yang sesuai dengan zaman. Apa sahaja teknologi terkini yang berkuasa perlu dimiliki umat Islam bagi menjamin kemenangan dan menggerunkan musuh dalam sesebuah peperangan.

2) Kekuatan ketenteraan sangat berguna untuk “MENGGERUNKAN PIHAK MUSUH.” Kisah cara Tawaf para sahabat dalam Umrah Ganti boleh menjadi contoh kepentingan teknik ini. Pada asalnya Rasulullah SAW ingin memasuki Mekah untuk menunaikan Umrah pada tahun ke-6 Hijri, tetapi baginda dihalang di Hudaybiyah oleh Musyrikin Quraysh. Peristiwa itu membawa kepada termeterainya perjanjian Hudaybiyah dan antara isi perjanjian adalah baginda SAW dibenarkan masuk ke Mekah pada tahun ke-7 Hijri. Ketika menunaikan Tawaf, Rasulullah SAW meminta para sahabat agar berlari-lari anak ketika tawaf dalam 3 pusingan pertama dengan tujuan menunjukkan kekuatan mereka serta menggerunkan Musyrikin Quraysh (Sahih al-Bukhari).

Ketika menghuraikan hadith ini, Imam Ibn Hajar al-’Asqalani menyatakan menunjukkan kekuatan fizikal dan senjata dengan tujuan menggerunkan pihak musuh adalah harus dalam Islam dan tidak dikira sebagai sifat riyak yang tercela (Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari).

Soalannya, apa perlunya menggerunkan musuh? Ia adalah “perang saraf yang berkesan mencegah musuh dari menyerang” kerana apabila perang tercetus belum tentu menang atau kalah menjadi milik kita. Boleh jadi musuh yang dilihat lembik serta tak tersusun sebenarnya jauh lebih kuat dan bijak mengatur langkah. Bahkan jika menang sekalipun, pasti ada nyawa yang gugur, pasti ada anak akan menjadi yatim dan isteri menjadi balu, pasti ada harta yang hangus terbakar dan sebagainya. Ketika menerima surat amaran dari nabi Sulayman AS, Ratu Saba’ yang bersidang dengan para menterinya dengan bijak mengutarakan pemikiran ini. Allah merekodkan kebijaksanaannya:

قَالَتْ يَاأَيُّهَا الْمَلَأُ أَفْتُونِي فِي أَمْرِي مَا كُنْتُ قَاطِعَةً أَمْرًا حَتَّى تَشْهَدُونِ (32) قَالُوا نَحْنُ أُولُو قُوَّةٍ وَأُولُو بَأْسٍ شَدِيدٍ وَالْأَمْرُ إِلَيْكِ فَانْظُرِي مَاذَا تَأْمُرِينَ (33) قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً وَكَذَلِكَ يَفْعَلُونَ (34)

Ertinya: Raja perempuan (Saba’ yang dikatakan bernama Balqis)  itu berkata: "Wahai ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya". Mereka menjawab: Kita adalah orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. Raja perempuan itu berkata: "SESUNGGUHNYA PARA RAJA, APABILA MASUK KE DALAM SEBUAH NEGERI, MEREKA MEROSAKKANNYA, DAN MEREKA MENJADIKAN PENDUDUKNYA YANG MULIA HINA-DINA; DAN SEDEMIKIAN ITULAH MEREKA AKAN LAKUKAN (al-Naml [27:32-34]).

Cegah sebelum berlaku atau menular juga dipraktik secara meluas dalam ilmu perubatan. Seorang doktor yang bijaksana pastinya mahu mencegah sebarang penyakit sebelum ia tercetus. Kebijaksanaan mencegah perang sebelum tercetus turut dipesan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتْ الشَّمْسُ ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ خَطِيبًا قَالَ أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَسَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ

Ertinya: Rasulullah SAW pada suatu ketika sedang bersiap untuk menghadapi musuh sehingga matahari mulai gelincir. Baginda kemudiannya berucap kepada para sahabatnya: “Wahai sekelian manusia JANGAN SESEKALI BERHARAP AGAR BERTEMBUNG DENGAN MUSUH, sebaliknya pohonlah kepada Allah akan kesejahteraan. Apabila kamu (terpaksa) bertemu dengan musuh maka sabarlah dan ketahuilah bahawa syurga itu berada di bawah naungan pedang.” (Sahih al-Bukhari)

Subhanallah! Kaya sekali al-Quran dan al-Sunnah dengan panduan hidup manusia semasa perang atau semasa tenang. Ayuh kita dalami al-Quran dan al-Sunnah agar kita tidak lagi mencari yang lain.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...