Wednesday, August 30, 2017

SAYUTI TEGUR AKU WALAUPUN SELEPAS DIA MENINGGAL

SAYUTI TEGUR AKU WALAUPUN SELEPAS DIA MENINGGAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Sampai sahaja di kelas bangunan Engineering, UIAM pada malam ini (29 Ogos 2017) untuk mengajar Kelas Tafsir al-Quran, kedengaran azan maghrib dilaungkan daripada masjid UIAM. Saya ada 2 pilihan
sama ada solat maghrib di Surau Engineering yang sangat dekat atau menapak sejauh hampir 500 meter ke masjid UIAM. Renyai hujan pun mulai turun dan hati mula berkecamuk

Pastinya solat di masjid UIAM jauh lebih besar ganjarannya berbanding solat di surau kecil bangunan Engineering. Ini kerana setiap langkah kaki yang berjarak 500 meter itu dirakam pahala oleh Allah sesuai sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَعْظَمَ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلَاةِ أَبْعَدُهُمْ إِلَيْهَا مَمْشًى فَأَبْعَدُهُمْ.

Ertinya: Abu Musa berkata Rasulullah SAW bersabda; Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya dalam ibadat solat adalah orang yang paling jauh berjalan (Sahih Muslim).

Melihat renyai hujan, saya terfikir untuk memudahkan situasi iaitu solat di Surau. Tiba-tiba kisah al-Marhum Sayuti yang baru meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya Sabtu lepas (27 Ogos 2017) menjengah minda. Menurut isterinya Wawa, pada pagi kejadian al-Marhum Sayuti tetap keluar solat Jemaah di surau walaupun hujan renyai. Kisahnya boleh dibaca di sini:

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10210305463938373&set=a.1122195180466.2018610.1394678315&type=3&theater

Terkenang semangat Sayuti, saya gagahkan diri meredah hujan mengatur langkah ke Masjid UIAM. Ketika sampai di Masjid fikiran saya lantas teringat kisah ajaib si pemuda dalam surah Yasin yang berterusan menasihati kaumnya semasa hidup dan "SELEPAS MATI." Ketika kaumnya secara kasar menolak para utusan Allah, Habib al-Najjar (dakwaan namanya oleh para ulama Tafsir) menasihati kaumnya agar menerima dakwah para Rasul (surah Yasin [36:20-25]). Setelah beliau mati dibunuh kaumnya, beliau tetap meneruskan nasihat itu dari alam barzakh. Firman Allah:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ (26) بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ (27)

Ertinya: (Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Dia berkata; "ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAUMKU MENGETAHUI - "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang yang dimuliakan" (Yasin[36:26-27]).

Ketika mengulas ayat ini, Abdullah ibn ‘Abbas RA mengatakan “BELIAU TETAP MENASIHATI KAUMNYA KETIKA MASIH HIDUP DAN SELEPAS MATI.” (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! al-Marhum Sayuti baru sahaja menegur saya. Kisah al-Marhum Sayuti yang istiqamah menjaga solat Jemaah nampak biasa sahaja, namun kesan tegurannya kepada manusia culas seperti saya sangat berkesan pada malam ini. Semoga ganjaran setiap langkah saya ke Masjid UIAM pada malam ini turut dirasai beliau. Sungguh! Allah itu Maha Pemurah. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. Dan sesiapa yang merintis dalam islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu (Sahih Muslim).

Carilah legasi anda ketika hidup di dunia ini. Peganglah ia sekemasnya. Mudah-mudahan ia mampu kekal menegur orang yang hidup walaupun selepas kita mati. Ini adalah suatu legasi dan pelaburan yang sangat menguntungkan!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

* Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...