Tuesday, August 29, 2017

SAYUTI DIJEMPUT PULANG DENGAN MURNI

SAYUTI DIJEMPUT PULANG DENGAN MURNI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
(Catatan Ahad 27 Ogos 2017)

Wajah Wawa nampak tenang seakan tiada apa yang berlaku. Saya kagum dengan ketabahannya. Pemergian Sayuti yang dijemput Allah dalam kemalangan jalan raya di Selayang pada pagi Sabtu lepas 26 Ogos 2017 diterimanya dengan redha. Ketika membuka bicara saya cadangkan agar Wawa banyakkan membaca doa musibah yang diajar Rasulullah SAW kepada Ummu Salamah RA:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ  …. اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Ertinya: “Sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali padaNya. Ya Allah! Berikan ganjaran padaku dalam musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik.” (Sahih Muslim).

Doa ini diajar oleh Rasulullah SAW kepada Ummu Salamah selepas kematian suaminya Abu Salamah RA. Ketika doa ini dibaca, Ummu Salamah sering tertanya siapa lagi yang mampu mengganti Abu Salamah yang memang seorang suami baik. Setelah eddahnya habis, Allah kemudiannya menggantikan kehilangan suaminya itu dengan suami terbaik iaitu Rasulullah SAW sendiri yang meminangnya.

Kisahnya, Wawa dan Sayuti adalah pasangan suami isteri yang sangat bahagia. Mereka miliki 2 anak kecil berusia 8 dan 4 tahun. Keduanya pernah berkerja di UIAM. Wawa pernah belajar Tilawah dan Tafsir al-Quran dengan saya semasa di UIAM. Kualiti bacaan al-Quran dan penghayatan Islam Wawa agak baik. Pakaiannya sempurna menutup aurat, keghairahannya hadir kelas tanpa ponteng sangat menghibur jiwa saya sebagai guru.

Pada pagi Sabtu lepas (27 Ogos 2017), saya dapat berita melalui What’s App group kelas Tafsir kaki tangan UIAM bahawa Sayuti (atau nama mesranya Ayut) meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan kecil di Selayang. Wawa yang turut menjadi ahli group tersebut tak putus-putus mengucapkan Alhamdulillah ketika ahli group mengucapkan takziah kepadanya. Melihat kesabarannya, saya hantar pada Wawa hadith tentang “RUMAH PUJIAN” bagi orang yang redha terhadap kehilangan orang yang disayangi:

عَنْ أَبِي سِنَانٍ قَالَ دَفَنْتُ ابْنِي سِنَانًا وَأَبُو طَلْحَةَ الْخَوْلَانِيُّ جَالِسٌ عَلَى شَفِيرِ الْقَبْرِ فَلَمَّا أَرَدْتُ الْخُرُوجَ أَخَذَ بِيَدِي فَقَالَ أَلَا أُبَشِّرُكَ يَا أَبَا سِنَانٍ قُلْتُ بَلَى فَقَالَ حَدَّثَنِي الضَّحَّاكُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَبٍ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ وَلَدُ الْعَبْدِ قَالَ اللَّهُ لِمَلَائِكَتِهِ قَبَضْتُمْ وَلَدَ عَبْدِي فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيَقُولُ قَبَضْتُمْ ثَمَرَةَ فُؤَادِهِ فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيَقُولُ مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُولُونَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ فَيَقُولُ اللَّهُ ابْنُوا لِعَبْدِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَسَمُّوهُ بَيْتَ الْحَمْدِ

Ertinya: Abu Sinan berkata: Abu mengkebumikan anakku (Sinan) sedang Abu Talhah al-Khawlani duduk di tepi kubur. Apabila aku mahu keluar dari liang kubur, beliau memegang tanganku seraya berkata: Mahukah aku khabarkan padamu berita gembira Wahai Abu Sinan? Aku menjawab: Ya! Abu Talhah kemudiannya berkata: al-Dhahhak … meriwayatkan bahawa Abu Musa al-‘Asy’ari berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak seorang hambaNya meninggal, Allah berkata kepada malaikat-Nya: Kamu telah mencabut nyawa anak hambaKu, Malaikat mejawab: Ya! Allah berkata lagi: Kamu mencabut nyawa buah hatinya. Malaikat menjawab: Ya! Allah bertanya: Apakah kata hambaKu? Malaikat menjawab: Dia tetap MEMUJIMU dan mengucapkan lafaz ISTIRJA’. Allah lalu berfirman: BINAKAN UNTUK HAMBAKU INI SEBUAH RUMAH DALAM SYURGA DAN NAMAKAN IA “RUMAH PUJIAN” (Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad).

Pada hari Ahad 28 Ogos 2017 baru saya sempat ziarahi Wawa. Dalam perbualan singkat kami, Wawa redha dengan pemergian Ayut kerana suaminya itu menunjukkan perubahan yang ketara bermula awal tahun ini. Dia berhenti merokok, solat Jemaah di surau secara konsisten dan mula mendalami agama.

“Saya puji Ayut Ustaz! Dia sangat Istiqamah dengan amalannya. Saya pun tak mampu buat begitu. Lepas solat dia akan duduk atas tikar solat sehingga habis wiridnya. Dia juga selalu berkongsi ilmu yang diperolehi daripada kuliah di Surau. Antara yang saya ingat adalah pesannya agar berdoa dihindari daripada azab kubur sebelum beri salam dalam solat.”

Doa tersebut adalah Sunnah yang diajar Rasulullah SAW dalam sabda baginda:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ

Ertinya: Aisyah RA isteri nabi memberitahu ‘Urwah bin al-Zubayr bahawa Rasulullah SAW selalu berdoa dalam solatnya dengan doa ini; Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada azab kubur, fitnah al-Masih al-Dajjal, fitnah kehidupan dan kematian…… (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Pada pagi kejadian, hujan turun renyai-renyai tetapi Ayut tetap ke Surau untuk solat Jemaah. Selepas bersiap dan bersalam dengan Wawa, Ayut memulakan perjalanan ke tempat kerja seperti biasa. Inna Lillah! Rupanya itulah kucupan salam terakhir antara 2 pasangan bahagia ini.

Ketika mendengar kisah Ayut melalui mulut Wawa, saya menahan sebak di dada. Jauh dalam lubuk hati jantung, saya berdoa agar Ayut diberikan Husnul Khatimah kerana petandanya sangat jelas, antaranya:

1) Dia dijemput pulang oleh Allah ketika keluar mencari rezeki halal untuk anak isteri.

2) Sebelum keluar beliau sempat solat jemaah di surau. Semangat ini menjadi tanda iman seseorang sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ { إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ }

Ertinya: Abu Sa’id berkata Rasulullah SAW bersabda; Apabila kamu lihat seorang lelaki yang selalu berdamping dengan masjid, maka bersaksilah atas (kebenaran) imannya kerana Allah berfirman (dalam surah al-Tawbah [9:18]); Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).

3) Sikap istiqamahnya mengamalkan amalan yang ditinggalkan Rasulullah SAW boleh mengundang cinta Allah. Sabda Rasulullah SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ

Ertinya: Wahai sekelian manusia, buatlah amal (soleh) yang kamu mampu kerana Allah tidak bosan (memberi ganjaran dan berbuat baik kepada hamba-Nya) sehinggalah (melainkan) kamu bosan. Sesungguhnya amalan yang paling Allah sukai adalah yang berterusan walaupun sedikit (jumlahnya) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Di akhir bicara saya pujuk Wawa:

“Percayalah Wa! Ayut ni orang baik! Bagi orang soleh, mati bukan sekadar mati tapi pindah negeri. Dahulu negeri dunia, sekarang negeri barzakh. Insya-Allah Ayut sedang bahagia di sana. Besok lusa kita pula akan ke sana.”

Dalam perjalanan pulang saya berfikir panjang. Ayut mungkin tidak dikenali ramai. Hidupnya biasa sahaja tidak sehebat mana-mana selebriti. Barangkali ketrampilannya tidak sehebat sang putera yang akan “memecahkan ovari” mana-mana wanita. Tapi pada Allah dia jauh lebih hebat dan mulia daripada orang lain sehingga dijemput pulang dengan penuh hormat. Lantas firman Allah ini menjengah minda saya:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Dan Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu) (Yunus [10:25]).

Dalam ayat ini Allah menyebut 2 perkara iaitu jemputan untuk semua hamba-Nya ke syurga dan hidayah khusus untuk hamba pilihan-Nya. Semua orang berhasrat ke syurga, namun bukan semua mendapat hidayah-Nya. Sungguh beruntung manusia yang dipilih-Nya. Saya lihat Ayut sudah dipilih Allah, bagaimana pula nasib saya atau kita kelak? YA Allah! Jemputlah kami pulang dengan kasih sayang-Mu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...