Thursday, August 3, 2017

MOTIVASI MENYUBURKAN JIWA SOLEH SI ANAK MUDA

MOTIVASI MENYUBURKAN JIWA SOLEH SI ANAK MUDA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Aliyah Hakimah (anak bongsu saya) baru masuk darjah satu (7 tahun). Umminya Arham Diyana Abdullah mula melatihnya menggosok baju sendiri. Ketika dalam proses latihan saya agak kurang yakin dengan kemampuannya. Ketika dia mahu beraksi dengan sterika, saya meluahkan kerisauan:

"Eh! Nanti hangus terbakar baju Aliyah.!"

Aliyah menjawab dengan tegas:

"Walid ni! Asyik cakap macam tu saja! Aliyah boleh buatlah!"

Saya terpegun seketika mendengar dengusannya. Rupanya anakku ini mahu kepercayaan dan motivasi. Benar sekali, kepercayaan penuh harapan, motivasi dan kata manis yang benar (bukan mengampu) adalah baja yang sangat berkesan dalam memupuk jiwa manusia terutama sekali anak muda.

Saya belajar sesuatu pada hari tu daripada anak kecil berusia 7 tahun. Lantas saya teringat motivasi dan harapan yang diberikan Rasulullah SAW kepada 2 anak muda pada zaman baginda.

YANG PERTAMA adalah Zayd bin Thabit ketua penulis wahyu.

Ketika sampai ke Madinah, baginda ditemukan dengan sahabat muda yang baru berusia 11 tahun iaitu Zayd bin Thabit. Rasulullah SAW mengagihkan tugas besar untuk Zayd:

عَنْ خَارِجَةَ بْنِ زَيْدٍ أَنَّ أَبَاهُ زَيْدًا أَخْبَرَهُ أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ قَالَ زَيْدٌ ذُهِبَ بِي إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُعْجِبَ بِي فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا غُلَامٌ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ مَعَهُ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ بِضْعَ عَشْرَةَ سُورَةً فَأَعْجَبَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا زَيْدُ تَعَلَّمْ لِي كِتَابَ يَهُودَ فَإِنِّي وَاللَّهِ مَا آمَنُ يَهُودَ عَلَى كِتَابِي قَالَ زَيْدٌ فَتَعَلَّمْتُ كِتَابَهُمْ مَا مَرَّتْ بِي خَمْسَ عَشْرَةَ لَيْلَةً حَتَّى حَذَقْتُهُ وَكُنْتُ أَقْرَأُ لَهُ كُتُبَهُمْ إِذَا كَتَبُوا إِلَيْهِ وَأُجِيبُ عَنْهُ إِذَا كَتَبَ

Ertinya: Kharijah bin Zayd menceritakan bahawa ayahnya (Zayd bin Thabit) bercerita padanya, apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, dia dibawa bertemu baginda. Baginda kagum melihatku (kebolehanku). Orang ramai berkata: “Ini adalah anak kecil daripada Bani al-Najjar. Dia sudah hafaz sebanyak beberapa belas surah al-Quran yang diturunkan pada Tuan.” Baginda kagum denganku dan berkata padaku: “Wahai Zayd! Belajarlah bahasa Yahudi kerana demi Allah, aku tidak rasa selamat (atas pengkhianatan) orang Yahudi pada suratku.” Zayd  menyambung kisahnya: “Aku pun belajar dan mahir bahasa mereka dalam tempoh 15 malam sahaja. Selepas itu aku menjadi petugas yang membaca dan menjawab surat Yahudi kepada Rasulullah (Musnad Ahmad).

KISAH KEDUA  adalah motivasi baginda yang melahirkan anak muda  soleh, yang rajin solat malam iaitu Abdullah bin 'Umar. Ia disebut sebuah hadith lain:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى رُؤْيَا قَصَّهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَمَنَّيْتُ أَنْ أَرَى رُؤْيَا أَقُصُّهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكُنْتُ غُلَامًا شَابًّا أَعْزَبَ وَكُنْتُ أَنَامُ فِي الْمَسْجِدِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ كَأَنَّ مَلَكَيْنِ أَخَذَانِي فَذَهَبَا بِي إِلَى النَّارِ فَإِذَا هِيَ مَطْوِيَّةٌ كَطَيِّ الْبِئْرِ وَإِذَا لَهَا قَرْنَانِ كَقَرْنَيْ الْبِئْرِ وَإِذَا فِيهَا نَاسٌ قَدْ عَرَفْتُهُمْ فَجَعَلْتُ أَقُولُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ النَّارِ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ النَّارِ فَلَقِيَهُمَا مَلَكٌ آخَرُ فَقَالَ لِي لَنْ تُرَاعَ فَقَصَصْتُهَا عَلَى حَفْصَةَ فَقَصَّتْهَا حَفْصَةُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ نِعْمَ الرَّجُلُ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ قَالَ سَالِمٌ فَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ لَا يَنَامُ مِنْ اللَّيْلِ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Abdullah bin ‘Umar RA berkata mana-mana lelaki pada zaman nabi SAW biasanya apabila mereka bermimpi akan menceritakannya kepada nabi SAW (untuk ditafsirkan). Aku sangat berharap agar dapat sesuatu mimpi yang boleh diceritakan kepada baginda. Pada waktu itu aku masih muda belia dan bujang. Aku selalu tidur dalam masjid. Pada suatu malam aku bermimpi dibawa 2 malaikat ke neraka. Aku dapati neraka  bentuknya seperti sebuah perigi yang ada 2 tiang seperti 2 tanduk. Aku juga lihat di dalamnya ada sekumpulan manusia yang aku kenali. Aku segera ucap – Aku mohon perlindungan daripada azab neraka sebanyak 2 kali. Kedua malaikat tadi kemudiannya (membawaku) bertemu malaikat yang lain. Malaikat itu berkata kepadaku – jangan takut (kerana engkau adalah lelaki soleh)! Aku kemudiannya menceritakan kisah mimpi itu kepada Hafsah (kakakku). Hafsah kemudiannya menceritakannya kepada nabi SAW. Baginda lalu bersabda: “Abdullah (akan jadi) sebaik-baik lelaki jika dia selalu solat malam.” Salim (periwayat hadith ini) berkata: (Selepas motivasi nabi itu) Abdullah sangat kurang tidurnya (kerana mendirikan solat malam) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Ubahlah cara interaksi kita dengan anak muda. Bahasa dan cara layanan kita kepada mereka boleh menjadi "tuba pembunuh semangat" atau "baja penyubur jiwa." Percayalah, usaha membaja semangat mereka akan membuahkan hasil gemilang bagi ummah pada kemudian hari.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...