Sunday, July 2, 2017

SABAR YANG INDAH! HILANG SATU ADA LAGI 3 & 6

SABAR YANG INDAH! HILANG SATU ADA LAGI 3 & 6

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ujian hidup untuk manusia adalah lumrah alam. Antara contoh manusia yang hebat diuji Allah adalah nabi Ya’qub AS. Bertimpa-timpa ujian memenuhi hidup baginda. Apa ucapan baginda ketika menerima ujian? Lihat rekod al-Quran ini:

وَجَاءُوا عَلَى قَمِيصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنْفُسُكُمْ أَمْرًا فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ

Ertinya: Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, BERSABARLAH AKU DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu katakan itu." (Yusuf [12:18]).

Perkataan “SABRUN JAMIL” adalah perkataan yang menggambarkan keteguhan jiwa orang beriman yang redha dengan ujian daripada Allah. Ia adalah sabar yang tiada keluhan.

Ketika meneliti kisah orang yang sabar, saya baca kisah seorang Tabi’in tersohor iaitu ‘Urwah bin al-Zubayr RA. Siapa ‘Urwah? Beliau adalah anak seorang sahabat nabi yang dijamin syurga iaitu al-Zubayr bin al-‘Awwam RA. Dia juga anak saudara kesayangan Ummul Mu’minin Aishah RA kerana kakak Aishah iaitu Asma’ binti Abu Bakar berkahwin dengan al-Zubayr. ‘Urwah banyak meriwayatkan hadith daripada Aishah. Ketinggian ilmunya meletakkan beliau antara pakar fiqh di Madinah sehingga ‘Umar bin ‘Abdul Aziz (gabenor Madinah pada masa itu) turut menjadikan beliau sebagai tempat rujukan.

Manusia hebat memang dipilih Allah untuk diuji. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:

عَنْ مُصْعَب بْن سَعْد بْن أَبِي وَقَّاص عَنْ أَبِيهِ قَالَ : قُلْت يَا رَسُول اللَّه أَيّ النَّاس أَشَدّ بَلَاء ؟ قَالَ : الْأَنْبِيَاء ، ثُمَّ الْأَمْثَل فَالْأَمْثَل ، يُبْتَلَى الرَّجُل عَلَى حَسَب دِينه

Ertinya: Sa’ad bin Abi Waqqas bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling banyak ujiannya? Baginda bersabda: Para nabi, kemudian yang semisalnya dan yang semisalnya. Seorang lelaki itu diuji berdasarkan kekuatan imannya (Mustadrak al-Hakim).

Di akhir hidupnya, ‘Urwah diuji hebat oleh Allah dengan 2 peristiwa yang mampu menggoncang iman iaitu kakinya dipotong dan anak kesayangannya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Kisahnya, beliau pergi ke Damsyik untuk menziarahi khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Dalam perjalanannya dia dihinggap sakit gatal-gatal pada kakinya. Setelah sampai ke Damsyik, gatal pada kakinya semakin parah. Khalifah segera mengumpulkan para doktor untuk merawatnya. Para doktor akhirnya terpaksa memotong kaki ‘Urwah bagi mengelakkan jangkitan penyakit kepada anggota lain.

Proses pemotongan kaki pasti menyakitkan, oleh itu para doktor mencadangkan agar  beliau minum sejenis air yang mampu menjadikan beliau pengsan atau mabuk. Dengan cara itu, proses pemotongan kaki tidak akan menyakitkannya. Apa jawapan ‘Urwah?

ما ظننت أن أحدا يؤمن بالله يشرب شيئا يغيب عقله حتى لا يعرف ربه عزوجل، ولكن هلموا فاقطعوها

Ertinya: Tidak aku tahu seseorang yang beriman kepada Allah sanggup minum sesuatu yang akan menghilangkan fungsi akalnya sehingga itu membuatkan dia tidak kenal Allah. (Aku tak mahu minum sesuatu yang memabukkan aku walaupun ia akan menyakitkan aku!). Ayuh! Potonglah kaki ini (tanpa perlu aku dibius).

Para doktor menghormati keputusan ‘Urwah, mereka memotong kakinya sedang ‘Urwah hanya diam tanpa kata. Ada juga riwayat menyebut, proses pembedahan itu berlaku ketika beliau sedang solat. Subhanallah! Hebat sungguh sifat sabar yang dimilikinya.

Selepas itu, pada malam yang sama ‘Urwah mendapat berita anak kesayangannya yang bernama Muhammad dijemput Allah setelah jatuh daripada bumbung rumah. Ada juga riwayat lain menyebut Muhammad mati dirempuh haiwan peliharaan khalifah al-Walid ketika dia masuk ke kandang milik khalifah. Setelah pulang ke Madinah dan menerima ucapan takziah daripada orang ramai atas 2 kehilangan itu, ini jawapan ‘Urwah yang sangat menggetar jiwa saya:

اللهم لك الحمد، كانوا سبعة فأخذت واحدا وأبقيت ستة، وكان لي أطراف أربعة فأخذت واحدا وأبقيت ثلاثة، فلئن كنت قد أخذت فلقد أعطيت، ولئن كنت قد ابتليت فقد عافيت.

Ertinya: Ya Allah! Bagimu segala pujian. Anakku ada 7 orang. Engkau ambil seorang dan Engkau tinggalkan 6 orang. Sebelum ini aku ada 4 anggota utama (2 tangan dan 2 kaki), Engkau ambil satu dan Engkau tinggalkan 3. Jika Engkau ambil sesuatu daripada ku (sebatang kaki dan seorang anak), maka sesungguhnya Engkau sudah lama memberiku (anugerah). Jika Engkau ujiku maka sesungguhnya Engkau sudah lama memberiku kesejahteraan (al-Bidayah Wa al-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir & Siyar A’lam al-Nubala’ oleh Imam al-Dhahabi).

Subhanallah! Kesabaran ini sangat luar biasa. Ternyata beliau sangat menghayati makna sabar ketika menerima “pukulan pertama” sesuatu ujian sebagaimana kisah daripada sebuah hadith:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ تَبْكِي عِنْدَ قَبْرٍ فَقَالَ اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي قَالَتْ إِلَيْكَ عَنِّي فَإِنَّكَ لَمْ تُصَبْ بِمُصِيبَتِي وَلَمْ تَعْرِفْهُ فَقِيلَ لَهَا إِنَّهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَتْ بَابَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدَهُ بَوَّابِينَ فَقَالَتْ لَمْ أَعْرِفْكَ فَقَالَ إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الْأُولَى

Ertinya: Rasulullah SAW melewati seorang wanita yang sedang menangis di sebuah kubur. Baginda berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan sabarlah!” Wanita itu tidak mengenali Rasulullah. Dia lantas berkata dengan kasar, “Berambuslah kamu kerana engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Setelah Rasulullah SAW berlalu dari situ, seorang sahabat menegur wanita itu dengan mengatakan bahawa orang yang menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Wanita itu terkejut lantas dia segera ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri pada pintu rumah baginda yang tiada penjaga (pengawal seperti lazimnya kebanyakan raja). Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu.” Rasulullah SAW bersabda, “SABAR ITU DI AWAL MUSIBAH.” (Sahih al-Bukhari).

Sabar mudah diucap pada lidah tapi sangat sukar untuk dijiwai. Hanya orang yang pernah melalui ujian berat dalam hidup mampu rasai lazatnya sabar. Orang yang benar-benar menjiwai sabar akan mendapat ganjaran hebat di akhirat kelak sehingga menjadikan orang lain cemburu memuncak. Lihat sabda Rasulullah SAW ini:

يَوَدُّ أَهْلُ الْعَافِيَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِينَ يُعْطَى أَهْلُ الْبَلَاءِ الثَّوَابَ لَوْ أَنَّ جُلُودَهُمْ كَانَتْ قُرِضَتْ فِي الدُّنْيَا بِالْمَقَارِيضِ

Ertinya: Pada hari kiamat kelak, apabila orang yang sihat melihat orang yang banyak diuji (semasa di dunia dan sabar atas ujian tersebut) mendapat pahala yang banyak, (maka orang yang sihat) sangat berharap agar kulit mereka dikoyak dengan gunting semasa di dunia dahulu  (Sunan al-Tirmidhi).

Semoga kisah ini mampu menyuburkan sifat sabar dalam diri kita. Insya-Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...