Wednesday, July 12, 2017

LABEL-MELABEL BUDAYA YANG RENCATKAN AKAL ORANG AGAMA

LABEL-MELABEL BUDAYA YANG RENCATKAN AKAL ORANG AGAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sabtu lepas (8 Julai 2017), saya dijemput makan malam di rumah ibu angkat saya di Taman Tasik Titiwangsa. Selepas makan saya berbual rancak dengan anak perempuannya, seorang usahawan yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam industri halal pada peringkat antarabangsa. Ketika sampai pada satu topik, beliau bertanya:
  
“Ustaz! Mengapa orang agama suka label melabel?”

Tiada jawapan pasti yang dapat diberikan. Soalan ini kerap saya dengar daripada orang awam yang keliru dengan perbalahan orang pandai agama. Jika boleh dicipta pepatah, saya akan kata “orang agama sesama orang agama bergaduh, orang awam yang pening di tengah-tengah.”

Ketenangan orang awam yang tulus mencari ilmu agama sedikit terganggu kerana perbalahan atau sikap suka label-melabel sesetengah orang agama. Setakat pemerhatian saya, kaki label sebenarnya tidak mewakili suara majoriti. Suara mereka jadi nyaring dan kuat seakan mewakili suara majoriti hasil daripada eksploitasi media sosial yang agresif. Ramai lagi orang agama yang tulus jiwanya dan tinggi tasawufnya. Mereka ini tidak mengumpat secara berjemaah dalam media sosial. Mereka juga tidak berburuk sangka atau melabel orang yang tidak sebulu atau tidak sealiran.

Nampaknya orang awam yang ikhlas mempelajari agama dan tidak terjebak dengan budaya tidak sihat ini jauh lebih tinggi penghayatan agamanya berbanding “sesetengah” orang agama. Jangan terkejut jika di akhirat kelak kita saksikan orang awam terlebih dahulu dijemput ke syurga sebelum orang yang miliki “sijil tinggi agama atau punyai banyak sanad talaqqinya.”

Perangai label-melabel akan merencatkan fungsi akal yang sihat. Apabila label sudah ditampal, kebaikan pihak yang dilabel terus terkubur tanpa ihsan dan nisan. Mangsa terus dibenci tanpa kenal, sedangkan banyak lagi jasa ilmu yang mereka sumbang. “BENCI TANPA KENAL” akibat budaya label-melabel pernah berlaku kepada Rasulullah SAW. Sikap bodoh orang Mekah melabel Rasulullah SAW telah mengundang tempelak Allah melalui ayat ini:

وَيَوْمَ نَحْشُرُ مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ فَوْجًا مِمَّنْ يُكَذِّبُ بِآيَاتِنَا فَهُمْ يُوزَعُونَ (83) حَتَّى إِذَا جَاءُوا قَالَ أَكَذَّبْتُمْ بِآيَاتِي وَلَمْ تُحِيطُوا بِهَا عِلْمًا أَمَّاذَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (84)

Ertinya: Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan daripada setiap umat sekumpulan besar orang yang mendustakan ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat keterangan-Ku DENGAN TIDAK LEBIH DAHULU KAMU MENGETAHUINYA SECARA MELIPUTI (MENDALAM)? Atau apakah yang kamu telah lakukan?" (al-Naml [27:83-84]).

Sepatutnya kita nilai dahulu sebarang pemikiran yang datang dengan akal kurniaan Allah. Sikap selektif dan tidak pukul borong dipuji Allah sebagai sifat manusia yang bijaksana atau sempurna akal:

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِ (17) الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ (18)

Ertinya: Dan orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja Taghut serta kembali taat kepada Allah, mereka akan beroleh berita gembira (sebaik sahaja mereka meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah para hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan MEREKA ITULAH ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA (al-Zumar [39:17-18]).

Setelah lama menelaah ayat al-Quran, saya dapati budaya label melabel adalah budaya purba. Ia sudah lama dipakai oleh para penentang para rasul. Menariknya, semua label negatif itu tetap tidak mengubah hakikat kebenaran yang dibawa para Rasul. Tabiat label-melabel adalah Sunnatullah (hukum alam atau sains) yang tak mungkin hilang. Ia menjadi sebab siraman pahala untuk mangsa yang dilabel. Ayuh kita lihat beberapa contoh label yang dituduh kepada para nabi:

1) Gila;

إِنْ هُوَ إِلَّا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصُوا بِهِ حَتَّى حِينٍ

Ertinya: "Dia ini (nabi Nuh AS) tidak lain hanyalah SEORANG LELAKI YANG MENGHIDAP PENYAKIT GILA. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya hingga ke suatu masa" (al-Mu’minun [23:25]).

2) Ahli sihir dan pendusta;

وَعَجِبُوا أَنْ جَاءَهُمْ مُنْذِرٌ مِنْهُمْ وَقَالَ الْكَافِرُونَ هَذَا سَاحِرٌ كَذَّابٌ
Ertinya: Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, daripada kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "ORANG INI ADALAH SEORANG AHLI SIHIR, LAGI PENDUSTA (Sad [38:4]).

3) Sakit terkena sihir

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ فَاسْأَلْ بَنِي إِسْرَائِيلَ إِذْ جَاءَهُمْ فَقَالَ لَهُ فِرْعَوْنُ
إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَامُوسَى مَسْحُورًا (101)
Ertinya: Dan sesungguhnya Kami beri kepada Nabi Musa 9 mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka tanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, SEORANG YANG TERKENA SIHIR" (al-Isra’ [17:101]).

Juga firman Allah tentang nabi Soleh AS;
قَالُوا إِنَّمَا أَنْتَ مِنَ الْمُسَحَّرِينَ (153) مَا أَنْتَ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا فَأْتِ بِآيَةٍ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (154)

Ertinya: Mereka (kaum Thamud) jawab (kepada nabi Soleh AS): "Sesungguhnya engkau ini hanyalah seorang daripada GOLONGAN YANG TERKENA SIHIR! "Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang yang benar"(al-Syu’ara’ [26:153-154]).

4) Terkena tulah akibat mengutuk berhala;

إِنْ نَقُولُ إِلَّا اعْتَرَاكَ بَعْضُ آلِهَتِنَا بِسُوءٍ قَالَ إِنِّي أُشْهِدُ اللَّهَ وَاشْهَدُوا أَنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (54)
مِنْ دُونِهِ فَكِيدُونِي جَمِيعًا ثُمَّ لَا تُنْظِرُونِ (55)

Ertinya: "Kami kata bahawa setengah daripada tuhan (berhala) kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu. Menyembah yang lain daripada Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri (Hud [11:54-55]).

5) Mencari pengaruh;

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الْأَوَّلِينَ (24)

Ertinya: Maka ketua yang kafir daripada kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini (nabi Nuh AS) hanyalah seorang manusia seperti kamu, DIA BERTUJUAN HENDAK MELEBIHKAN DIRINYA DARIPADA KAMU. Dan kalaulah Allah mahu (mengutuskan seorang Rasul) tentu Dia turunkan malaikat menjadi Rasul-Nya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu (al-Mu’minun [23:24]).

6) Pemutus hubungan keluarga. Tuduhan ini dibuat oleh pembesar Mekah berikutan dakwah baginda yang memisahkan anak yang Muslim daripada ibu bapa mereka yang Musyrik. Contohnya, sebelum keluar ke medan perang Badar, Abu Jahal berdoa angkuh di hadapan Ka’abah;

اللّهُمّ أَقْطَعَنَا لِلرّحِمِ وَآتَانَا بِمَا لَا يُعْرَفُ فَأَحِنْهُ الْغَدَاةَ

Ertinya: Ya Allah! Musnahkanlah antara kami (atau Muhammad) pasukan yang paling jahat memutuskan hubungan keluarga dan membawa sesuatu (ajaran) yang tidak diketahui (kebenarannya) (Sirah Ibn Hisyam).

Tuduhan ini juga disalah fahami daripada banyak ayat al-Quran yang dibaca luar konteks. Sedangkan setiap ayat al-Quran ada konteks tersendiri yang wajib difahami secara betul. Antara ayatnya adalah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا آبَاءَكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَاءَ إِنِ اسْتَحَبُّوا الْكُفْرَ عَلَى
الْإِيمَانِ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (23)

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa kamu dan saudara kamu sebagai orang yang didampingi jika mereka pilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa antara kamu yang mendampingi mereka, maka merekalah orang yang zalim (al-Tawbah [9:23]).

Itu antara beberapa label yang pernah ditembak kepada para nabi. Lumrahnya peluru label pasti meninggalkan kesan kepada mangsa walaupun tidak semestinya label itu benar. Kaki label sepatutnya lebih beringat dalam bicara mereka kerana tindakan mereka itu ada audit dosa pahalanya. Jika tuduhan atau label itu tidak tepat, Allah pastinya tidak akan lepaskan tanggungjawab dosa tersebut semudah mengucapkan istighfar atau solat taubat 2 rakaat. Tambah malang jika label itu menyebabkan orang awam yang tak bersalah turut terpalit musibah benci sebelum kenal. Beringatlah! Hayatilah firman Allah ini:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (melakukan atau berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi turut menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal [8:25]).

Sebagai saranan penyelesaian kepada polemik ini, saya cadangkan semua orang yang pandai agama mengambil beberapa langkah:

1) Berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan atau label. Bahana dosa yang mungkin kita kutip sangat tidak berbaloi dengan kesedapan melabel orang. Contohilah sifat orang beriman yang melihat dosa atau “kemungkinan dosa” seperti gunung yang bakal menimpa. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ
يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Ertinya: Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah "BUKIT" yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Tirmdhi).

2) Sabar menahan diri daripada melakukan musibah pada agama. Tindakan melabel seseorang akan memangsakan ramai pihak seperti mangsa label atau orang awam yang dahagakan ilmu agama.

3) Takutkan bahana muflis akhirat jika label kita itu tidak benar. Sabda Rasulullah SAW:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Ertinya: Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula memiliki harta/barang.” Rasulullah menyambung: “Orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga datang membawa dosa kezaliman. Dia pernah cerca si ini, tuduh tanpa bukti si ini, makan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya, kebaikannya diberi kepada si ini, si anu dan si itu. Apabila kebaikannya habis dibahagikan kepada orang yang dizaliminya sedangkan kezalimannya belum tertebus, diambil pula kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.” (Sahih Muslim).

Banyak label yang diletakkan kepada sesetengah orang hanya bergantung pada spekulasi atau sentimen tanpa bukti. Sayangi diri sendiri dan umat Islam. Sakit perpecahan umat Islam sudah terlalu parah! Janganlah kita simbah minyak ke dalam api perpecahan yang sedang marak, bimbang nanti api neraka pula menyambar kita di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...