Tuesday, July 11, 2017

JANGAN SIMPAN MUSHAF ITU!

JANGAN SIMPAN MUSHAF ITU!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Kalaulah Mushaf al-Quran boleh bersuara, apa agaknya bunyi raungannya kepada umat Islam selepas Ramadhan? Mungkin ia akan melagukan firman Allah ini:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَارَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Ertinya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku  (Musyrikin Quraysh pada zaman nabi dan manusia sepanjang zaman) telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu (panduan) yang ditinggalkan, tidak dipakai" (al-Furqan [25:30]).

Abai al-Quran berlaku dalam berbagai bentuk. Ada yang buang terus al-Quran. Ada yang pilih ayat sesuai nafsu selera mereka sahaja. Ada yang memandai cipta tafsiran jauh menyimpang daripada makna sebenar yang mahu disampaikan Allah. Ada yang cuma kenal al-Quran dalam bulan Ramadhan. Apabila Ramadhan berakhir, Mushaf al-Quran kembali ke almari buku tanpa teman.

Rahmat al-Quran dengan Ramadhan seumpama kenduri besar yang banyak hidangan istimewa. Ada menu tadarus, tazkirah, tadabbur, terawih dan sebagainya. Semua menu itu berasaskan “resepi” al-Quran. Selepas Ramadhan, hubungan dengan al-Quran tetap diteruskan kerana ia adalah makanan rohani terbaik bagi jiwa manusia. Kenal al-Quran dalam bulan Ramadhan sahaja seumpama orang yang hanya makan sebulan sahaja dalam setahun. Mana mungkin makan hanya sebulan dalam setahun? Begitulah juga halnya dengan makanan rohani dengan menu al-Quran.

Tanpa makanan, badan kasar jadi lesu tak bermaya, lalu banyak aktiviti fizikal terbantut. Rohani yang kosong tanpa makanan al-Quran akan turut lesu iman dan taqwa. Apabila iman lesu, berbagai penyakit bawaan jiwa yang kotor akan membiak dan menjadi barah akhlak dalam diri dan masyarakat.

Rindu mahu terus beribadah seperti puasa sunat dan berdamping dengan al-Quran selepas Ramadhan menjadi tanda ibadah Ramadhan sebulan diterima Allah. Ini yang dijelaskan Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif:

“Kebiasaan puasa selepas puasa Ramadhan menjadi tanda penerimaan puasa Ramadhan kerana apabila Allah menerima amalan hamba-Nya, akan digerakkannya untuk beramal Soleh.”

Ia dikukuhkan Firman Allah:
وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ

Ertinya: Dan (sebaliknya) orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa (Muhammad [47:17]).

Rasulullah SAW pernah menyebut usaha berterusan berinteraksi dengan al-Quran adalah antara amalan yang dicintai Allah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَالُّ الْمُرْتَحِلُ قَالَ وَمَا الْحَالُّ الْمُرْتَحِلُ قَالَ الَّذِي يَضْرِبُ مِنْ أَوَّلِ الْقُرْآنِ إِلَى آخِرِهِ كُلَّمَا حَلَّ ارْتَحَلَ

Ertinya: Ibn ‘Abbas RA menceritakan seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa amalan yang paling Allah cintai?” Baginda menjawab: “Orang yang singgah dan pergi (berterusan perjalanannya).” Lelaki itu bertanya: “Apa maksud orang yang singgah dan pergi?” Baginda menjawab: “Orang yang membaca al-Quran dari awal al-Quran (al-Fatihah) sehingga akhirnya. Setiap kali selesai (khatam) dia meneruskan bacaan (dari awal al-Quran) (Sunan al-Tirmidhi)   (Dinilai lemah oleh Imam al-Tirmidhi).

Walaupun hadith ini dinilai lemah, ada juga sabda Rasulullah SAW yang sahih membawa makna yang sama:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ

Ertinya: ‘Aisyah RA menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang PALING DICINTAI ALLAH? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Jangan kita biarkan hati kita yang digilap “sinar bacaan” al-Quran pada bulan Ramadhan kembali berkarat selepas Ramadhan. Kekalkan sinaran jiwa dengan gilapan al-Quran sebagaimana sabda Rasulullah SAW ini:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ هَذِهِ الْقُلُوبَ تَصْدَأُ كَمَا يَصْدَأُ الْحَدِيدُ "  قِيلَ : فَمَا جَلاؤُهَا ؟ قَالَ : " قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ.

Ertinya: Ibn ‘Umar RA berkata Rasulullah bersabda “Hati jantung ini akan berkarat sebagaimana besi pun berkarat.” Lalu ditanya kepada baginda: “Apa cara (jalan) menggilapnya?” Baginda menjawab: “Bacaan al-Quran.” (Sya’b al-Iman oleh Imam al-Bayhaqi) (Hadith ini dinilai Dhaif oleh sesetengah ulama hadith).

Kekalkan semangat cinta kepada al-Quran walaupun Ramadhan sudah berlalu kerana belum tentu Ramadhan akan datang milik kita. Rebut peluang dalam semua masa dan situasi sebagaimana galakan Rasulullah ini:

عَنْ أَنَسِ بن مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : افْعَلُوا الْخَيْرَ دَهْرَكُمْ ، وَتَعَرَّضُوا لِنَفَحَاتِ رَحْمَةِ اللَّهِ ، فَإِنَّ لِلَّهِ نَفَحَاتٍ مِنْ رَحْمَتِهِ يُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ، وَسَلُوا اللَّهَ أَنْ يَسْتُرَ عَوْرَاتِكُمْ ، وَأَنْ يُؤَمِّنَ رَوْعَاتِكُمْ

Ertinya: Anas bin Malik RA berkata Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kerjakan kebaikan sepanjang usiamu (terutama sekali pada waktu istimewa yang disebut agama) dan carilah hembusan Rahmat Allah kerana ia menyentuh siapa sahaja yang Dia mahu dalam kalangan hamba-Nya. Pohonlah kepada Allah agar Dia tutup aibmu dan selamatkan kamu daripada ketakutanmu (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Cubalah sedaya mampu menjadi golongan ketiga daripada kalam Allah ini. Mereka adalah manusia pilihan:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), ada juga dalam kalangan mereka yang bersikap sederhana dan ada juga dalam kalangan mereka yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

Jangan jadikan keghairahan menyambut Syawwal sebagai “kubur” kepada al-Quran, sebaliknya jadikan ia langkah pertama meneruskan semangat berdamping dengan al-Quran selepas kita kenyang sebulan meni’mati hidangan al-Quran dalam Ramadhan. Percayalah! Rohani kita akan terus kenyang selagi mana kita bersama al-Quran sepanjang tahun. Kenyang dengan al-Quran menjadikan rohani sihat segar bugar di dunia dan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...