Monday, July 17, 2017

HAFIZ AL-QURAN YANG BELUM HAFIZ

HAFIZ AL-QURAN YANG BELUM HAFIZ

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Cabaran para penghafaz al-Quran memang besar dan penuh liku. Pengalamannya penuh warna dan rasa. Hanya orang yang pernah hafaz al-Quran tahu asam garam perkara ini. Walaupun begitu rasa ini akan menjadi manis dan lazat apabila al-Quran sudah masuk ke dalam jiwa. Pada Sabtu 1 Julai 2017 lepas, saya sekeluarga menziarahi keluarga ayah angkat saya di Taman Tasik Titiwangsa. Dalam bicaranya ayah angkat saya berkata:

“Sepanjang Ramadhan lepas daddy habis baca juzuk satu dalam solat Maghrib bersama keluarga di rumah. Daddy akui! Menghafaz al-Quran agak sukar. Baca surah hadapan, surah belakang pula hilang.”

Ayah angkat saya ini, Lef. Jen. (B), Tan Sri Abdul Ghani Aziz, sudah berusia 72 tahun, tapi semangatnya mendalami ilmu terutama sekali ilmu berasaskan al-Quran tetap kekal muda remaja. Beliau pernah khatam talaqqi al-Quran dengan saya lama dahulu. Beliau ada kelas bahasa al-Quran setiap minggu bersama Dr. Wan Rusli, pensyarah Bahasa Arab UIAM. Kelas ini sangat unik kerana mendalami nahu dan sastera bahasa Arab secara terus daripada al-Quran.

Selain itu, ayah angkat saya ini banyak menghafaz surah al-Quran. Matlamatnya mahu jadi hafiz al-Quran suatu hari nanti. Menurutnya, hafaz al-Quran dan latihan berfikir menjadi riadah otak yang berguna untuk manusia. Niat murninya itu sewajarnya dicontohi semua Muslim kerana kita belum pernah terlewat untuk hafaz al-Quran. Rasulullah SAW sendiri pun mula hafaz al-Quran pada usia 40 tahun dan proses itu berterusan selama 23 tahun.

Berdasarkan pengalaman, hafazan al-Quran perlu sentiasa dibajai agar menjadi semakin masak dan ranum dalam dada. Banyak baja yang diperlukan para penghafaz al-Quran seperti penjagaan syariat dan akhlak. Pun begitu, baja utama adalah “proses ulangan.” Ustaz kami dahulu pernah sebut bahawa ulangan berterusan melebihi 10 tahun akan menjadikan al-Quran yang dihafaz “masak.”Apabila sudah masak ranum bak buah-buahan di pokok, ia boleh dipetik dan dibaca pada bila-bila masa sahaja tanpa melihat mushaf.

Benar pepatah Arab:  من لم يذق لم يدر   - sesiapa yang tak rasa (sesuatu), tak akan tahu (susah payah atau nilai sesuatu perkara). Pengalaman 24 tahun dengan hafazan al-Quran (1993 – kini) mengajar saya beberapa formula yang mungkin berguna untuk semua, sama ada yang baru, sedang, atau pernah menghafaz al-Quran:

 

Proses hafazan baru perlu lalui “2 fasa” iaitu fasa melancar hafazan baru dan fasa hafazan sebenar. Ketika menghafaz di Darul Quran dahulu, saya biasa melancarkan hafazan baru selepas Asar. Itulah rutinnya selama “setahun 10 bulan” saya menghafaz al-Quran. Pada fasa melancar, saya hanya baca ayat yang mahu dihafaz (bersama terjemahannya) melebihi 10 kali (tanpa hafaz). Selepas maghrib baru saya hafaz secara serious ayat yang sudah diulang-baca Asar tadi. Ternyata cara ini sangat berkesan bagi memudahkan hafazan baru. Surah yang mahu dihafaz jadi mudah seperti surah yang pernah kita hafaz.

 

Sentiasa mengulang kaji hafazan sebagai wirid atau makanan harian. Ulangan hafazan bagi penghafaz al-Quran sangat kritikal. Bagi saya nisbah hafaz dan ulang adalah 1:3. Ayat yang dihafaz senang terlucut ikatannya seperti unta liar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ

…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

 

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia tambat (ulangkaji hafazan), unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila seorang penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan ingat (hafazannya). Jika dia abai, dia akan lupa hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

 

Membuat ulangan hafazan dalam solat, sama ada dalam solat terawih atau solat malam. Peluang khatam hafazan dalam solat terawih selama 9 tahun (1995, 1996, 1997, 1998, 2000, 2001, 2002, 2003 & 2004) sangat membantu mengekalkan hafazan. Selain itu, ada juga para hafiz yang mengulang kaji hafazan dalam solat malam. Ia seiring dengan firman Allah:

يَاأَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (1) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (2) نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (3) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (4)

Ertinya: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil" (al-Muzzammil [73:1-4]).

Abdullah ibn Mas’ud RA pernah menceritakan pengalamannya solat bersama nabi:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَطَالَ حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ قَالَ قِيلَ وَمَا هَمَمْتَ بِهِ قَالَ هَمَمْتُ أَنْ أَجْلِسَ وَأَدَعَهُ

Ertinya: Abdullah mencertitan, Aku pernah solat (malam) bersama Rasulullah SAW. Baginda memanjangkan bacaannya sehingga aku terlintas melakukan sesuatu yang  yang kamu fikirkan itu?? Beliau menjawab: “Aku berhasrat untuk duduk atau meninggalkan baginda (Sahih Muslim).

Di akhir ziarah, saya kata:

“Teruskan menghafaz. Walaupun daddy mungkin tak sempat habis khatam hafazan 30 juzuk, Allah dengan sifat Pengasih dan Pemurah-Nya boleh tulis kita semua sebagai hafiz al-Quran kerana niat kita. Lihat sahaja para sahabat nabi berjumlah 70 orang yang dibunuh secara licik oleh pihak musuh dalam peristiwa Bi’r Ma’unah. Mereka dikenali sebagai para Qari (penghafaz al-Quran) walaupun belum habis menghafaz al-Quran kerana peristiwa syahidnya mereka berlaku pada tahun ke 4 Hijri sedangkan al-Quran sempurna penurunannya pada tahun 10 Hijri.”

Tekadkan niat murni mahu menghafaz al-Quran secara lengkap kerana Islam mengiktiraf “niat” sebagai “langkah pertama” menuju kebaikan. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كُتِبَتْ لَهُ حَسَنَةً وَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَعَمِلَهَا كُتِبَتْ لَهُ عَشْرًا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا لَمْ تُكْتَبْ وَإِنْ عَمِلَهَا كُتِبَتْ

Ertinya: Abu Hurayrah berkata Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa berhasrat melakukan satu kebaikan tetapi tidak melakukannya, (tetap) ditulis baginya satu kebaikan. Sesiapa yang berhasrat melakukan satu kebaikan dan melakukannya, ditulis baginya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda. Sesiapa yang berhasrat melakukan satu kejahatan tetapi tidak melakukannya, tidak ditulis apa-apa pun (baginya), jika dia melakukan kejahatan itu, ditulis satu kejahatan (sahaja) (Sahih Muslim).

Ayuh kita hafaz al-Quran!

https://m.utusan.com.my/rencana/agama/hafiz-yang-belum-8216-hafiz-8217-1.503833

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...