Thursday, June 15, 2017

PERANG BADAR SIRI 3: TERCETUSNYA PERANG

PERANG BADAR SIRI 3: TERCETUSNYA PERANG

Soalan: Sebelum tercetusnya perang, Rasulullah SAW mendengar nasihat seorang sahabatnya dalam pemilihan lokasi berlindung. Bolehkah Ustaz perincikan peristiwa ini dan apakah pengajaran yang boleh kita perolehi dari peristiwa ini.

Jawapan: Pada mulanya Rasulullah SAW membuat keputusan untuk berkhemah di sebuah tempat yang agak terdedah dan jauh dari sumber air Badar. Al-Hubab bin al-Munzir RA lantas bertanya adakah pemilihan lokasi itu berdasarkan wahyu Allah atau pandangan peribadi Rasulullah SAW. Baginda menjelaskan ia adalah pandangan peribadinya. Al-Hubab lantas memberikan padangan ia bukanlah lokasi yang strategik dan umat Islam sepatutnya berganjak ke arah sumber air Badar agar mereka dapat menguasai air dan menghalang pihak musuh mendapat air. Pandangan beliau diterima oleh Rasulullah dan ia terangkum dalam amalan syura atau mesyuarat yang memang dianjurkan Islam. Tambahan pula ia bersangkut dengan urusan dunia yang terbuka untuk ijtihad. Ia juga menunjukkan baginda SAW adalah seorang pemimpin berjiwa besar yang sedia menerima pandangan orang bawahan.

Para sahabat juga membina sebuah bangsal untuk Rasulullah SAW berlindung atas cadangan Sa’ad bin Mu’adh RA. Bangsal ini boleh disifatkan sebagai pusat pemerintahan seorang panglima perang. Dari sini baginda memerhati dan mengeluarkan arahan. Ini juga suatu taktik perang yang sangat bijaksana kerana kematian tentera sangat berbeza dengan kehilangan seorang panglima yang bakal melemahkan semangat pasukan tentera. Pada malam sebelum perang, Rasulullah SAW berada dalam bangsal ini bersama Abu Bakar al-Siddiq RA.

Pada malam itu Rasulullah SAW berdoa agar tentera Muslimin diberikan kemenangan. Doa baginda ini direkodkan dalam sebuah hadith:

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ فَمَا زَالَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ مَادًّا يَدَيْهِ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ مَنْكِبَيْهِ فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ وَقَالَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
{ إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنْ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ }

Ertinya: “Ya Allah! Tunaikanlah padaku apa yang sudah Engkau janjikan. Ya Allah! Datangkan apa yang sudah Engkau janjikan (kemenangan ke atas musuh). Ya Allah! Jika kumpulan orang Islam ini dimusnahkan (musuh), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini.” Baginda berterusan berdoa kepada Allah sambil menghadap kiblat sehingga selendang terjatuh dari bahu baginda. Abu Bakar lantas dating mengutip selendang itu dan meletakkannya kembali pada bahu baginda seraya duduk tegak di belakang baginda. Abu Bakar berkata: Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu itu, sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan janjinya. Selepas itu Allah menurunkan ayat 9 surah al-Anfal yang bermaksud: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut’ (Sahih Muslim).

Soalan: Saya pernah baca dalam al-Quran, Rasulullah SAW bermimpi pada malam sebelum tercetusnya perang Badar. Bolehkah Ustaz jelaskan perkara ini secara lebih lanjut?

Jawapan: Mimpi seorang Rasul adalah wahyu. Dalam isu perang Badar, mimpi tersebut ternyata membantu umat Islam dalam mengukuhkan mental mereka. Ia dijelaskan Allah dalam surah al-Anfal:

إِذْ يُرِيكَهُمُ اللَّهُ فِي مَنَامِكَ قَلِيلًا وَلَوْ أَرَاكَهُمْ كَثِيرًا لَفَشِلْتُمْ وَلَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَلَكِنَّ اللَّهَ سَلَّمَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (43) وَإِذْ يُرِيكُمُوهُمْ إِذِ الْتَقَيْتُمْ فِي أَعْيُنِكُمْ قَلِيلًا وَيُقَلِّلُكُمْ فِي أَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِيَ اللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ (44)

Ertinya: (Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan (al-Anfal [8:43-44]).

Keunikan kecilnya bilangan musuh dalam mimpi Rasulullah SAW dan ketika mula bertembung adalah antara faktor yang meneguhkanjiwa tentera muslimin. Tambahan pula mereka sudah mendapat tidur yang cukup pada malam sebelumnya.

Soalan: Bagaimanakah perang Badar bermula?

Jawapan: Perang Badar bermula dengan cabaran perang tanding oleh 3 wakil Musyrikin. Mereka adalah ‘Utbah bin Rabi’ah, adiknya Syaybah bin Rabi’ah dan anak al-Walid bin ‘Utbah. Cabaran mereka ini mulanya disahut 3 pemuda Ansar tetapi ditolak oleh ‘Atabah yang mahukan perang tanding melawan orang muhajirin yang pernah bersama mereka di Mekah.

Berikutan itu, Rasulullah mengarahkan Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib dan ‘Ubaydah bin al-Harith bin al-Muttalib untuk menyahut cabaran 3 wakil Musyrikin. Kisah pertembungan 6 orang yang terlibat dalam perang tanding ini direkodkan al-Quran (Sahih al-Bukhari & Muslim):

هَذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ

Ertinya: Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang bertelagah tentang Tuhan mereka (al-Hajj [22:19]).

Dalam perang tanding ini Hamzah berhadapan dengan Syaybah, Ali dengan al-Walid dan ‘Ubaydah bin al-Harith dengan ‘Utbah. Ali dan Hamzah dapat membunuh lawan mereka dengan cepat, manakala ‘Ubaydah dan ‘Utbah saling tikam menikam antara satu sama lain dan tercedera. Tanpa lengah Ali dan Hamzah Berjaya membunuh ‘Utbah. Mereka kemudiannya memapah ‘Ubaydah yang cedera bertemu Rasulullah. Beliau kemudiannya gugur syahid.

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...