Wednesday, June 14, 2017

PERANG BADAR SIRI 2: DETIK SEBELUM PERANG

PERANG BADAR SIRI 2: DETIK SEBELUM PERANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Soalan: Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat setelah mengetahui kafilah dagang Abu Sufyan (yang asalnya mahu digempur oleh tentera Muslimin) selamat tiba di Mekah?

Jawapan: Sebagai manusia perasaan gentar pasti ada dalam jiwa para sahabat. Allah pula menjanjikan mereka pasti memenangi pertempuran ke atas satu dari 2 pihak sama ada kafilah dagang Abu Sufyan atau pasukan tentera Abu Jahal. Jika diberikan pilihan sudah pasti para sahabat akan memilih untuk menang menggempur kafilah dagang Abu Sufyan yang jauh lebih sedikit  jumlah kawalannya iaitu 40 orang pejuang. Setelah mengetahui kafilah Abu Sufyan sudah selamat lolos ke Mekah dan mereka pasti bertembung dengan pasukan yang jauh lebih besar, sebahagian sahabat dilanda keresahan. Tambahan pula jumlah tentera Muslimin yang kecil serta kelengkapan perang mereka yang sangat minima. Kisah keresahan mereka digambarkan oleh firman Allah:

كَمَا أَخْرَجَكَ رَبُّكَ مِنْ بَيْتِكَ بِالْحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ لَكَارِهُونَ (5) يُجَادِلُونَكَ فِي الْحَقِّ بَعْدَمَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى الْمَوْتِ وَهُمْ يَنْظُرُونَ (6) وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ (7)

Ertinya: Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya). Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan (kafilah dagang Abu Sufyan atau pasukan tentera pimpinan Abu Jahal), menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan kafilah dagang) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan KalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; (al-Anfal [8:5-7]).

Setelah mengetahui akan bertembung dengan musuh yang jauh lebih ramai, Rasulullah SAW meminta pandangan orang Ansar kerana perjanjian asal mereka bersama Rasulullah SAW adalah untuk mempertahankan baginda dalam Madinah dan bukannya di luar Madinah seperti lokasi Badar. Pada ketika itu, para sahabat Ansar menyatakan keutuhan jiwa mereka bersama Rasulullah SAW biar di mana pun mereka berada. Sa’ad bi Mu’adh RA lalu berkata:

قَالَ لَهُ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ : وَاَللّهِ لَكَأَنّك تُرِيدُنَا يَا رَسُولَ اللّهِ ؟ قَالَ أَجَلْ قَالَ فَقَدْ آمَنّا بِك وَصَدّقْنَاك ، وَشَهِدْنَا أَنّ مَا جِئْتَ بِهِ هُوَ الْحَقّ ، وَأَعْطَيْنَاك عَلَى ذَلِكَ عُهُودَنَا وَمَوَاثِيقَنَا ، عَلَى السّمْعِ وَالطّاعَةِ فَامْضِ يَا رَسُولَ اللّهِ لِمَا أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَك ، فَوَاَلّذِي بَعَثَك بِالْحَقّ لَوْ اسْتَعْرَضْتَ بِنَا هَذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْنَاهُ مَعَك ، مَا تَخَلّفَ مِنّا رَجُلٌ وَاحِدٌ……..

Ertinya:  “Demi Allah, seolah-olah kamu nak tahu pandangan kami (orang Ansar) Wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Benar sekali!” Sa’ad pun menjawab: “Kami sudah beriman dan membenarkanmu. Kami juga bersaksi dengan kebenaran yang engkau bawa dan atas kebenaran itu kami berikanmu janji dan taat setia kami untuk senantiasa mendengar dan mentaatimu. Teruskanlah Wahai Rasulullah hajatmu itu kerana kami tetap akan bersamamu. Maka demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, jika kamu terpaksa meredah lautan sekalipun, sudah pasti kami akan redahinya bersamamu. Pasti tidak ada seorang pun dari kami yang tertinggal…….  (Sirah Ibn Hisyam).
Setelah mendengar keteguhan hati mereka, Rasulullah SAW bertambah teguh menghadapi Musyrikin Quraysh. Ketika menghampiri medan Badar, para sahabat berjaya menawan 2 pencari air bagi pihak Musyrikin Quraysh. Ketika menyoal siasat mereka, kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila baginda mampu mengagak jumlah tentera Musyrikin hanya berdasarkan jumlah unta yang mereka sembelih dalam sehari. Menurut kedua pencari air itu, pihak Musyrikin biasanya menyembelih 9 atau 10 ekor unta sehari untuk makan. Setelah mendengar jumlah itu Rasulullah SAW dapat mengagak jumlah mereka berkisar antara 900 sehingga 1000 orang kerana biasanya seekor unta mampu menjamu kenyang 90 sehingga 100 orang lelaki dewasa (Sirah Ibn Hisyam).

Soalan: Saya pernah terbaca dalam buku sirah bahawa hujan turun pada malam sebelum berlakunya perang Badar. Apakah hikmah di sebalik peristiwa ini?

Jawapan: Benar! Ketika mulai bergerak ke medan Badar hujan turun dengan lebat sehingga memporak perandakan kedudukan musuh, manakala hujan tersebut turun dengan renyai di pihak muslimin. Dengan hujan itu para sahabat dapat mandi, minum dan menenangkan jiwa mereka. Pasir tempat mereka bertapak pun semakin kejap dan tidak menyakitkan kaki. Ia menjadi bantuan awal dari Allah untuk tentera Muslimin Islam kerana ada di kalangan mereka keresahan mengenangkan jumlah musuh yang ramai. Ada juga yang berjunub tetapi tidak dapat mandi wajib kerana ketiadaan air. Berikutan bantuan hujan itu, semua masalah yang menimpa tentera Muslimin diselesaikan dengan tenang. Kisah ini disebut dalam al-Quran:

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

Ertinya: (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan) (al-Anfal [8:11]).
Pada malam itu juga tentera Muslim dilanda mengantuk yang luar biasa. Logiknya, badan mereka yang sudah disegarkan dengan air hujan serta udara malam yang semakin nyaman menyebabkan para sahabat sangat mengantuk. Mereka tidur dengan nyenyak dan mendapat rehat yang cukup untuk pertempuran keesokan harinya. Abdullah Ibn Mas’ud menegaskan rasa mengantuk ketika dalam perang termasuk dalam bantuan Allah (Tafsir Ibn Kathir).

Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...