Saturday, June 10, 2017

PERANG BADAR SIRI 1: INTIPAN KAFILAH BESAR MILIK QURAYSH

PERANG BADAR SIRI 1: INTIPAN KAFILAH BESAR MILIK QURAYSH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Soalan: Bagaimanakah perang Badar boleh berlaku?

Jawapan: Selepas hijrah, Rasulullah selalu menghantar pasukan tentera kecil memantau dan mengintip kafilah dagang Musyrikin Quraysh. Intipan ini tidak lain bagi menimbulkan kegerunan pihak musuh dengan kekuatan umat Islam dan mencari peluang untuk menggempur kepentingan ekonomi mereka. Melemahkan sumber ekonomi musuh adalah salah satu strategi berkesan untuk memenangi sesebuah peperangan.

Rasulullah SAW menghantar 2 sahabatnya iaitu Talhah bin Ubaydillah dan Sa’id bin Zayd ke al-Hawra’ berhampiran Laut Merah. Tempat ini adalah lokasi persinggahan wajib bagi kafilah yang berdagang antara Tanah Hijaz dan Syam.

2 perisik Rasulullah ini kemudiannya pulang membawa berita tentang kedatangan kafilah dagang orang Mekah yang membawa barang dagangan yang sangat besar, iaitu dengan anggaran 1000 ekor unta. Kafilah yang diketuai Abu Sufyan bin Harb ini pula hanya diiringi sejumlah 40 orang sahaja. Mendengar situasi ini, Rasulullah keluar bersama sahabatnya tanpa mewajibkan mereka ikut serta:

هَذِهِ عِيرُ قُرَيْشٍ فِيهَا أَمْوَالُهُمْ فَاخْرُجُوا إلَيْهَا لَعَلّ اللّهَ يُنْفِلُكُمُوهَا

Ertinya: “Ini adalah kafilah Quraysh, maka marilah kita keluar menggempurnya, mudah-mudahan Allah akan menjadikannya sebagai rampasan perang buat kita (Sirah Ibn Hisyam).

Oleh kerana tujuan asal keberangkatan Rasulullah adalah untuk menggempur kafilah Abu Sufyan dan bukannya bertempur dengan tentera Mekah, kelengkapan mereka sangat minimum dan jumlah para sahabat juga sangat kecil iaitu seramai 313 orang sahaja. Mereka bertolak pada malam ke 3 atau malam ke 8 Ramadhan tahun kedua Hijri. Dalam kalangan pejuang Badar, orang Ansar berjumah sekitar 240 orang dan selebihnya terdiri dari para sahabat nabi dalam kalangan Muhajirin Mekah. Antara yang tidak ikut serta adalah ‘Uthman bin ‘Affan RA kerana isterinya Ruqayyah anak Rasulullah SAW sedang sakit.

Baginda meninggalkan Abdullah bin Ummu Maktum sebagai imam solat di Madinah. Panji putih pasukan muslimin dipegang oleh Mus’ab bin ‘Umayr, manakala bendera muhajirin dipegang Ali bin Abi Talib dan bendera orang Ansar dipegang oleh Sa’ad bin Mu’adh. Jumlah kuda yang dimiliki umat Islam cuma 2 ekor iaitu milik al-Zubayr bin al-‘Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad. Unta pula cuma 70 ekor yang ditunggang secara berganti-ganti oleh para tentera muslimin. Sikap bertimbang rasa Rasulullah SAW ketika bergantian menunggang unta ini dilaporkan oleh Abdullah ibn Mas’ud:

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ زَمِيلَهُ يَوْمَ بَدْرٍ عَلِيٌّ وَأَبُو لُبَابَةَ فَإِذَا حَانَتْ عُقْبَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَا ارْكَبْ يَا رَسُولَ اللَّهِ حَتَّى نَمْشِيَ عَنْكَ فَيَقُولُ مَا أَنْتُمَا بِأَقْوَى مِنِّي وَلَا أَنَا بِأَغْنَى عَنْ الْأَجْرِ مِنْكُمَا

Ertinya:  Abdullah bin Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bergilir menunggang unta bersama Abu Lubabah dan Ali bin Abi Talib dalam perang Badar. Apabila habis giliran baginda menunggang unta, kedua sahabat itu berkata: “Tungganglah lagi wahai Rasulullah, biar kami berjalan.” Baginda menjawab: “Kamu berdua tidak lebih kuat pun berbanding aku (kamu berdua juga perlu rehat), dan aku juga sangat berhajat kepada pahala seperti kamu berdua (Musnad Ahmad).

Soalan: Apa yang dilakukan oleh Abu Sufyan setelah mendapat tahu rancangan Rasulullah SAW menyerbu kafilah dagang ini?

Jawapan: Abu Sufyan memasang perisik bagi menjaga keselamatan barang dagangannya. Setelah mendapat tahu pasukan Rasulullah mahu menggempur mereka, beliau menghantar Dhamdham bin ‘Amru al-Ghifari meminta bantuan orang Mekah.

Setelah mendengar laungan meminta bantuan daripada Abu Sufyan, Abu Jahal segera mengerahkan penduduk Mekah agar segera berangkat bagi menyelamatkan barang dagangan mereka. Hasil kerahan Abu Jahal mereka berjaya mengumpulkan 950 orang lelaki, 100 ekor kuda, 700 unta yang ditunggang secara bergilir. Di hadapan tentera Mekah ada sekumpulan penyanyi yang melagukan lagu perang bagi membangkitkan semangat juang mereka. Sebelum berangkat Abu Jahal berdoa di hadapan Ka’abah dengan doa yang sangat angkuh:

اللّهُمّ أَقْطَعَنَا لِلرّحِمِ وَآتَانَا بِمَا لَا يُعْرَفُ فَأَحِنْهُ الْغَدَاةَ

Ertinya: Ya Allah! Musnahkanlah antara kami (atau Muhammad) pasukan yang paling jahat memutuskan hubungan keluarga dan membawa sesuatu (ajaran) yang tidak diketahui (kebenarannya) (Sirah Ibn Hisyam).

Berikutan doa Abu Jahal ini, Allah menurunkan ayat:

إِنْ تَسْتَفْتِحُوا فَقَدْ جَاءَكُمُ الْفَتْحُ وَإِنْ تَنْتَهُوا فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَعُودُوا نَعُدْ وَلَنْ تُغْنِيَ عَنْكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْئًا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Jika kamu (hai orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang yang beriman (al-Anfal [8:19]).

Soalan: Apa yang terjadi kepada kafilah dagang Abu Sufyan? Adakah ia sempat digempur oleh pasukan Rasulullah?

Jawapan: Setelah menyedari kemaraan pasukan Rasulullah SAW, Abu Sufyan mengarahkan kafilah  dagangnya keluar daripada laluan biasa dan akhirnya mereka selamat sampai ke Mekah. Abu Sufyan kemudiannya menghantar utusan kepada tentera Mekah pimpinan Abu Jahal yang sudah berangkat ke Badar agar kembali kerana harta dagangan mereka sudah selamat. Permintaan Abu Sufyan ditolak dengan angkuh oleh Abu Jahal yang berkata:

وَاَللّهِ لَا نَرْجِعُ حَتّى نَرِدَ بَدْرًا - وَكَانَ بَدْرٌ مَوْسِمًا مِنْ مَوَاسِمِ الْعَرَبِ ، يَجْتَمِعُ لَهُمْ بِهِ سُوقٌ كُلّ عَامٍ - فَنُقِيمُ عَلَيْهِ ثَلَاثًا ، فَنَنْحَرُ الْجُزُرَ  الْعَرَبُ وَبِمَسِيرِنَا وَجَمْعِنَا ، فَلَا يَزَالُونَ يَهَابُونَنَا أَبَدًا بَعْدَهَا ، فَامْضُوا .

Ertinya: Demi Allah! Kami tak akan pulang melainkan setelah sampai ke Badar, (Badar pada masa itu terkenal sebagai salah satu tempat tumpuan orang Arab di mana ia menjadi tempat pasar mereka berkumpul setiap tahun), kita akan tinggal di situ selama 3 hari, menyembelih unta, bergembira dengan makanan, meminum arak, para penyanyi menyanyikan lagu (kemenangan) untuk kami, juga supaya cerita perjalanan, berkumpul dan kemenangan kita ini diketahui oleh semua orang Arab. Lalu mereka akan senantiasa memandang kita hebat selepas ini. Ayuh! (Jangan undur) teruskan perjalanan kita (Sirah Ibn Hisyam).

Rupanya keangkuhan Abu Jahal ini menjadi sebab Islam semakin kuat dan dipandang hebat oleh orang Arab. Ikuti sambungan kisah ini dalam siri berikutnya.

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah, Fiqh al-Sirah Syeikh Muhammad al-Ghazali.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...