Tuesday, June 13, 2017

NUZUL AL-QURAN - KUALITI ATAU KUANTITI?

NUZUL AL-QURAN – KUALITI ATAU KUANTITI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ustaz! Buntu saya, apa yang perlu dibuat dalam bulan Ramadhan, khatam al-Quran atau tadabbur ayatnya. Keduanya mahu dikejar tapi masanya suntuk.”

Benar! Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa kerana terpilih untuk “dimasyhurkan” sebagai bulan turunnya al-Quran. Analoginya, Sebelum tahun 1957, tarikh 31 Ogos tiada nilai pada orang Melayu. Setelah tarikh itu dimasyhurkan sebagai hari kemerdekaan Tanah Melayu, ia terpahat erat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Begitulah perihalnya dengan Ramadhan. Sebelum al-Quran diturunkan, Ramadhan hanyalah sebuah bulan biasa yang kadangkala cuacanya panas membara. Setelah Allah melimpahkan rahmat-Nya ke bumi dengan sinaran al-Quran, nama Ramadhan melonjak naik menumpang kemasyhuran al-Quran. Oleh itu sangat malang jika ada manusia yang menjadi hamba Ramadhan dan bukannya hamba Allah.

Bayangkan apa nasib kita jika al-Quran tidak diturunkan?  Kita mungkin menjadi penganut berbagai agama dunia. Alhamdulillah, kita mendapat hidayah dengan turunnya al-Quran. Kesyukuran inilah yang akan diucapkan oleh ahli syurga kelak:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat ni’mat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq-Nya); sesungguhnya para rasul Tuhan kami datang membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diwariskan kepadamu dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan"(al-A’raf [7:43]).

Oleh itu, sewajibnya kita bersyukur atas penurunan al-Quran kepada kita. Bagaimana syukurnya? Ikrar cuti tahunan? Junjung julang al-Quran? Anjur pertandingan lagu atau hafazan al-Quran? Hantar anak ke sekolah Tahfiz? Tanpa nafi, semua itu termasuk dalam usaha bersyukur dengan penurunan al-Quran. Walaupun begitu, yang paling utama dalam syukur kita dengan al-Quran adalah MEMAHAMI DAN MENGAMALKAN ISI KANDUNGANNYA.

Berbalik kepada soalan di atas, apa yang perlu diutamakan dalam bulan Ramadhan? Khatam baca atau tadabbur? Saya jawab, kita perlu berinteraksi dengan al-Quran sepanjang usia dengan “KUANTITI” dan “KUALITI.” Kuantiti merujuk kepada usaha membaca huruf al-Quran sebanyak mungkin sehingga khatam, manakala kualiti pula merujuk kepada usaha tadabbur atau memahami al-Quran. Keduanya perlu menjadi aktiviti harian seumur hidup dan digandakan dalam bulan Ramadhan.

Aktiviti meningkatkan kuantiti baca al-Quran sehingga khatam bertepatan dengan Sunnah Rasulullah kerana baginda melakukan tadarus tahunan dengan Jibril sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin ‘Abbas:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Ertinya:  Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulangkaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadhan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadhan) seperti angin yang bertiup kencang (Sahih al-Bukhari).

Tambahan pula bonus membaca al-Quran dikira pada kuantiti hurufnya. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Ertinya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajkan itu digandakan 10. Aku tidak kata ALIF-LAM-MIM itu satu huruf, sebaliknya Alif itu (dikira) satu huruf, Lam (dikira) satu huruf dan Mim (dikira) satu huruf (Sunan al-Tirmidhi).

Darjat syurga para pembaca al-Quran pun diangkat berdasarkan kuantiti huruf yang dibacanya. Sabda baginda lagi:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Ertinya: Dikatakan kepada ahli al-Quran (orang yang membaca, menghafaz dan mengamalkan isi kandungannya ketika mereka masuk ke dalam syurga), BACALAH (DALAM SYURGA), DAN NAIKLAH DARJAT (SYURGAMU) DAN BACALAH SEBAGAIMANA KAMU PERNAH MEMBACANYA SEMASA DI DUNIA. SESUNGGUHNYA KEDUDUKAN (DARJAT) KAMU DINILAI PADA AYAT TERAKHIR YANG KAMU BACA (SEMASA DI DUNIA) (Sunan Abu Dawud & Sunan al-Tirmidhi).

Kuantiti huruf al-Quran yang berlari pada lidah orang yang membacanya akan meninggalkan bekas pada jiwa jika ia dituruti pula oleh bacaan berkualiti atau Tadabbur. Bahkan tadabbur al-Quran menjadi sebab utama penurunannya. Firman Allah:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Ertinya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar (Sad[38:29]).

Baginda SAW sendiri menunjukkan contoh tadabbur terbaik sebagaimana disebut sebuah riwayat:

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ قُمْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَقَامَ فَقَرَأَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ لَا يَمُرُّ بِآيَةِ رَحْمَةٍ إِلَّا وَقَفَ فَسَأَلَ وَلَا يَمُرُّ بِآيَةِ عَذَابٍ إِلَّا وَقَفَ فَتَعَوَّذَ

Ertinya: ‘Awf bin Malik al-Asyja’i menceritakan beliau pernah solat malam bersama Rasulullah SAW. Baginda membaca surah al-Baqarah, setiap kali sampai ayat (berkaitan) rahmat (Allah) baginda akan berhenti dan meminta (rahmat Allah). Setiap kali sampai ayat (berkaitan) azab (Allah) baginda akan berhenti dan memohon perlindungan daripadanya (Sunan Abu Dawud & Sunan al-Nasa’i).

Ramai yang silap interaksinya dengan al-Quran apabila hanya mementingkan aspek huruf atau tajwidnya sahaja, sedangkan Tilawah al-Quran sebenar merangkumi aspek kuantiti dan lebih-lebih lagi kualiti. Ia dijelaskan Allah:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya: Orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi (al-Baqarah [2:121]).

Perkataan “Haqq al-Tilawah atau tilawah yang sebenar” dalam ayat ini tidak seharusnya disempitkan hanya pada sudut Tajwid, sebaliknya merangkumi perkara lain seperti benar-benar mengikuti isi kandungan al-Quran, menghalalkan yang halalnya, mengharamkan yang haramnya dan tidak mengubah isi kandungannya tanpa ilmu (Tafsir Ibn Kathir).

Tadabbur atau baca al-Quran dalam kualiti tidak terikat hanya dalam bulan Ramadhan, ia adalah aktiviti seumur hidup bagaikan makanan ruji harian untuk jiwa. Pilihlah satu waktu setiap hari untuk  tadabbur sejumlah kecil ayat al-Quran. Andai kata kita tadabbur 5 ayat sehari, sebulan ia sudah jadi 150 ayat. Bagi meraikan bulan Ramadhan, kita tambah sedikit ayat untuk tadabbur menjadi 10 atau 15 ayat. Mudah-mudahan tambahan jumlah tadabbur ayat dalam Ramadhan akan memuncakkan cinta kita kepada al-Quran.

Al-Quran bukanlah kitab yang dibaca secara bermusim. Ia adalah makan ruji orang beriman. Jika fizikal kita memerlukan makanan secara harian untuk kekal hidup dan sihat, begitulah juga rohani dan jiwa kita. Ia perlu dijamu dengan makanan rohani setiap hari. Pastinya makanan rohani terbaik untuk jiwa adalah al-Quran kerana ia mengandungi nutrisi yang cukup rohani dan fizikalnya. Semoga kenangan Nuzul al-Quran akan menaikkan semangat kita untuk meningkatkan kadar kuantiti dan kualiti kita bersama al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...