Thursday, June 8, 2017

KISAH ANAK KECIL BERUSIA 11 TAHUN YANG HEBAT

KISAH ANAK KECIL BERUSIA 11 TAHUN YANG HEBAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Comel sekali gelagat budak berdua itu menunggu saya! Usia mereka mungkin dalam 8 atau 10 tahun sahaja. Mereka berdua adalah anak seorang Jemaah Surau kami, Surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Pagi ini (3 Jun 2017) selesai sahaja Tazkirah pendek saya, 2 budak itu menghampiri saya untuk bertanya soalan:

“Ustaz! Tadi ustaz sebut lelaki Bani Isra’il tu bunuh 100 orang. Bukan 99 orang ke? Setahu saya 99 orang.”

Saya jawab mesra sambil genggam tangannya dalam salam:

“Oh hadith tu memang mula-mula sebut dia bunuh 99 orang, kemudian dia mahu bertaubat, lalu ditanya kepada ahli ibadat adakah dia boleh bertaubat. Apabila si ahli ibadat kata dia akan ke neraka, dibunuhnya si ahli ibadat sehingga jumlah korbannya jadi  100. Tadi Ustaz nak ringkaskan tazkirah, sebab tu Ustaz sebut terus 100 mangsa.”

Budak itu mengangguk sambil tersenyum.

Alhamdulillah! Budak ini memang berani. Berani tanya terus tanpa tunggu untuk menjelaskan kekeliruannya. Sikap sebegini memang patut dipuji. Kita mahu lahirkan anak kecil yang berfikir dan berani bertanya seperti ini.

Kisahnya, pagi ini ketika memberi Tafsir ringkas ayat 68-70 surah al-Furqan, saya ulas makna “ALLAH TUKAR KEJAHATAN SI PENDOSA MENJADI KEBAIKAN”:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (68) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (69) إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (70)

Ertinya: Dan (hamba yang diredhai Allah itu adalah) mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal dalam azab itu dengan menerima kehinaan, - Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, MAKA ORANG ITU, ALLAH AKAN MENGGANTIKAN (PADA TEMPAT) KEJAHATAN MEREKA DENGAN KEBAIKAN; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Furqan [25:68 -70]).

Antara satu tafsirnya adalah; Allah dengan sifat Pengasih serta Pemurah-Nya mampu menukar kejahatan manusia menjadi kebaikan secara terus tanpa hisab. Tazkirah itu boleh dilihat pada link ini:

https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/videos/vb.1394678315/10209610701009734/?type=2&theater&notif_t=like&notif_id=1496441522753501

Antara contoh pertukaran itu adalah kisah Pemurah-Nya Allah menukar kejahatan si pembunuh 100 jiwa menjadi ganjaran syurga kerana keikhlasannya bertaubat. Ia disebut hadith ini:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ فَقَالَ لَا فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ فَقَالَ نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلَا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ الْعَذَابِ فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ فَقَالَ قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ قَالَ قَتَادَةُ فَقَالَ الْحَسَنُ ذُكِرَ لَنَا أَنَّهُ لَمَّا أَتَاهُ الْمَوْتُ نَأَى بِصَدْرِهِ

Ertinya: Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang bunuh 99 orang manusia. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa orang yang paling alim dalam negeri ini?" Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah bunuh 99 orang manusia. Apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang. Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa orang paling berilmu dalam negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang lelaki yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah bunuh 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Siapa yang sanggup menghalangnya dari bertaubat. Pergilah kamu ke negeri sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan “JANGAN KEMBALI LAGI KE NEGERIMU KERANA NEGERIMU ADALAH NEGERI YANG BURUK (DENGAN PENGHUNINYA YANG BOLEH MENDORONGMU MELAKUKAN KEJAHATAN).” Lelaki itu lantas bertolak ke negeri yang ditunjuk si alim. Di tengah jalan, lelaki itu meninggal dunia. Maka malaikat rahmat dengan malaikat azab berselisih pendapat. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala." Kata malaikat azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang satu  malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat." (Sahih Muslim).

Saya belajar sesuatu pagi ini. Kita perlu mesra kanak-kanak! Kemesraan kita sebagai orang dewasa dan pendakwah mampu menjadi “baja” yang akan menyuburkan jiwa serta minda mereka. Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai kanak-kanak. Ketika sampai ke Madinah, baginda ditemukan dengan sahabat muda yang baru berusia 11 tahun iaitu Zayd bin Thabit. Zayd adalah antara penulis wahyu Rasulullah SAW dan panel pengumpulan mushaf al-Quran pada zaman khalifah ‘Uthman.

Kisah pertemuan dan “agihan tugas besar” untuk Zayd disebut sebuah hadith yang hebat:

عَنْ خَارِجَةَ بْنِ زَيْدٍ أَنَّ أَبَاهُ زَيْدًا أَخْبَرَهُ أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ قَالَ زَيْدٌ ذُهِبَ بِي إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُعْجِبَ بِي فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا غُلَامٌ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ مَعَهُ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ بِضْعَ عَشْرَةَ سُورَةً فَأَعْجَبَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا زَيْدُ تَعَلَّمْ لِي كِتَابَ يَهُودَ فَإِنِّي وَاللَّهِ مَا آمَنُ يَهُودَ عَلَى كِتَابِي قَالَ زَيْدٌ فَتَعَلَّمْتُ كِتَابَهُمْ مَا مَرَّتْ بِي خَمْسَ عَشْرَةَ لَيْلَةً حَتَّى حَذَقْتُهُ وَكُنْتُ أَقْرَأُ لَهُ كُتُبَهُمْ إِذَا كَتَبُوا إِلَيْهِ وَأُجِيبُ عَنْهُ إِذَا كَتَبَ

Ertinya: Kharijah bin Zayd menceritakan bahawa ayahnya (Zayd bin Thabit) bercerita padanya, apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, dia dibawa bertemu baginda. Baginda kagum melihatku (kebolehanku). Orang ramai berkata: “Ini adalah anak kecil daripada Bani al-Najjar. Dia sudah hafaz sebanyak beberapa belas surah al-Quran yang diturunkan pada Tuan.” Baginda kagum denganku dan berkata padaku: “Wahai Zayd! Belajarlah bahasa Yahudi kerana demi Allah, aku tidak rasa selamat (atas pengkhianatan) orang Yahudi pada suratku.” Zayd  menyambung kisahnya: “Aku pun belajar dan mahir bahasa mereka dalam tempoh 15 malam sahaja. Selepas itu aku menjadi petugas yang membaca dan menjawab surat Yahudi kepada Rasulullah (Musnad Ahmad).

Subhanallah! Rasulullah SAW adalah pemimpin yang hebat, bijaksana dan sangat terbuka. Baginda sangat bijaksana kerana mampu melihat kilauan berlian dalam diri seorang anak kecil seperti Zayd dan bijaksana membajai bakat Zayd. Baginda juga sangat terbuka kerana mampu mengiktiraf bakat kecil seperti Zayd menjadi penasihatnya dalam urusan penting seharian.

Selepas ini, jika si anak kecil berbicara atau bertanya sesuatu bukalah minda anda. Jangan dibubuh kebijaksaannya dengan ego dewasa kita yang mungkin masih jauh keanakan. Pandang wajahnya dan hargailah dia kerana dia adalah sebuah “benih Islam” yang bakal menggegar dunia pada suatu hari nanti. Apabila dia tumbuh subur menggoncang dunia kelak, kita akan berbangga kerana turut memiliki saham dalam membina karakternya itu. Insya-Allah saham kita itu akan menjadi amal soleh pemberat neraca timbangan di akhirat kelak.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...