Sunday, June 11, 2017

AHLI BADAR YANG SANGAT ISTIMEWA

AHLI BADAR YANG SANGAT ISTIMEWA!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Insya-Allah besok,  17 Ramadhan (tarikh perang Badar) bersamaan 12 Jun 2017 saya akan menyampaikan kuliah subuh bertajuk "PERANG BADAR-PERANG YANG MENGUBAH DUNIA"  di SURAU NUR AL-SYURA, BANDAR BARU SELAYANG FASA 2B *Live streaming akan diusahakan*

Mukaddimah kuliah itu akan menyentuh perihal keistimewaan Ahli Badar. Ayuh kita ikuti kisah ini.....

Pada tahun ke 8 Hijri, Rasulullah merancang rapi untuk menggempur orang Mekah yang melanggar perjanjian yang dimeterai dalam perjanjian Hudaybiyah pada tahun ke 6 Hijri. Perancangan itu menjadi rahsia negara. Tanpa sedar, seorang sahabat (Hatib bin Abi Balta'ah) yang terlalu risaukan keselamatan sesetengah saudaranya di Mekah telah menghantar surat rahsia ke Mekah memecahkan rahsia tersebut.

Surat itu berjaya dipintas oleh Rasulullah SAW. Setelah surat itu dibawa kepada Rasulullah, Hatib dipanggil dan beliau memberi penjelasannya. Umar sangat marah dan mahu Hatib dihukum. Berikutan itu Rasulullah SAW bersabda:

فَعَادَ عُمَرُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ دَعْنِي فَلِأَضْرِبْ عُنُقَهُ قَالَ أَوَلَيْسَ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ اطَّلَعَ عَلَيْهِمْ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ أَوْجَبْتُ لَكُمْ الْجَنَّةَ فَاغْرَوْرَقَتْ عَيْنَاهُ فَقَالَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ

Ertinya:….’Umar kembali mengulang hasratnya: Wahai Rasulullah, dia (Hatib) telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum muslimin (dengan penghantaran surat rahsia itu kepada orang Mekah). Biar aku pancung lehernya! Rasulullah menjawab: “(WAHAI ‘UMAR!) BUKANKAH DIA INI TERGOLONG DARIPADA AHLI PERANG BADAR? APAKAH KAMU TAHU (BAHAWA DIA BENAR-BENAR LAYAK DIBUNUH?). SEMOGA ALLAH MEMERHATIKAN MEREKA DAN BERFIRMAN: BUATLAH APA SAHAJA YANG KAMU MAHU (LAFAZ INI MENJADI LAMBANG KEMULIAAN MEREKA), KERANA AKU MEWAJIBKAN SYURGA BUAT KALIAN.” Mata (‘Umar) bergenang dengan air mata, dia kemudiannya berkata: “Allah dan Rasulullah lebih mengetahui (Sahih al-Bukhari).

Subhanallah! Para tentera Badar sangat istimewa kerana tanpa perjuangan mereka....saya tak pasti apa nasib kita dalam beragama. Kita mungkin tidak akan kenal Islam, Iman dan Ihsan. Benar sekali rintihan doa nabi sebelum tercetusnya perang Badar ini:

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ

Ertinya: “Ya Allah! Tunaikanlah padaku apa yang sudah Engkau janjikan. Ya Allah! Datangkan apa yang sudah Engkau janjikan (kemenangan ke atas musuh). Ya Allah! Jika kumpulan orang Islam ini dimusnahkan (musuh), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini.’ (Sahih Muslim).

Ya Allah! Berkatilah para sahabat nabi Ahli Badar!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...