Tuesday, May 16, 2017

PARA RASUL PUN LUPA?

PARA RASUL PUN LUPA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-An’am [6:68]) pada 15 April 2016. Antara isunya adalah kemampuan syaitan menjadikan Rasulullah SAW lupa sesuatu.

Rasulullah SAW pernah lupa? Mana mungkin baginda lupa kerana baginda bukan manusia biasa tetapi seorang “super human” yang dibimbing pula oleh malaikat super seperti Jibril. Jika baginda lupa nanti apa nasibnya risalah Islam yang dibawa baginda.

Sesetengah orang begitu sensitif apabila ada cubaan meletakkan sesuatu kelemahan kepada Rasulullah SAW. Kita tidak boleh menafikan kekurangan manusiawi pada Rasulullah SAW, baginda tetap seorang manusia biasa. Yang membezakan  baginda dengan kita semua hanyalah wahyu:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; (al-Kahf [18:110]).

Oleh kerana beza antara kita dan Rasulullah SAW adalah aspek wahyu, maka aspek ini sangat dijaga oleh Allah. Seakan dikata, sifat “super human” baginda dalam pangkat kerasulan tidak memungkinkan baginda silap atau lupa dalam penyampaian wahyu. Ia ditegaskan Allah dalam sebuah ayat yang sering dibaca:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Ertinya: Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya (al-Najm[53:3-4]).

Jika lupa dimaksudkan dalam kerangka wahyu sekalipun, ia membawa maksud khusus sebagai nasakh atau penghapusan sesuatu ayat yang dihendaki Allah (Tafsir Jalalayn). Firman Allah:

سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنْسَى (6) إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى (7)

Ertinya: Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu - dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa, Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Dia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi (al-A’la [87:6-7]).

Selain bicara wahyu, sebagai seorang manusia Rasulullah boleh terlupa. Ia disebut dalam sebuah hadith yang menyatakan baginda SAW pernah terlupa rakaat solat baginda sehingga ditegur oleh seorang sahabat bergelar si 2 tangan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ مِنْ اثْنَتَيْنِ فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ أَقَصُرَتْ الصَّلَاةُ أَمْ نَسِيتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَصَدَقَ ذُو الْيَدَيْنِ فَقَالَ النَّاسُ نَعَمْ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى اثْنَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ

Ertinya: Abu Hurayrah RA menyebut pada suatu hari Rasulullah SAW menghabiskan solat selepas 2 rakaat. Sahabatnya yang digelar si 2 tangan (kerana tangannya sedikit panjang. Gelaran ini adalah gelaran yang disukainya dan bukan suatu ejekan) bertanya: “Adakah solat dipendekkan atau engkau lupa wahai Rasulullah?” Baginda bertanya kepada sahabat lain: “Adakah benar seperti yang diucapkan oleh si 2 tangan ini?” Para sahabat menjawab: “Benar!” Baginda pun bangun menambah lagi 2 rakaat (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Perihal kemungkinan boleh lupanya Rasulullah SAW pernah juga disinggung ayat ini:

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آَيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan apabila engkau melihat orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan JIKA ENGKAU DILUPAKAN OLEH SYAITAN (LALU ENGKAU DUDUK BERSAMA MEREKA), maka janganlah engkau duduk lagi bersama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu) (al-An’am[6:68]).

Ayat ini menjelaskan, duduk bersama manusia jahil yang mempersenda atau mentafsirkan al-Quran secara songsang sangat dilarang. Duduk tanpa usaha menegur menjadi signifikan redha dengan kekufuran yang berlaku depan mata. Oleh itu, kita cuma ada dua pilihan iaitu “TEGUR KESONGSANGAN MEREKA” atau “TINGGALKAN MAJLIS MEREKA” bak lagak ahli Parlimen pembangkang yang memprotes keputusan parlimen. Biar mereka tahu hormat kesucian al-Quran dengan protes kita itu. 

Lupa sebenarnya agak negatif dan suatu kelemahan yang tidak disukai manusia. Syaitan pula diberikan sedikit kemampuan menutup saraf atau mengganggu “litar memori” manusia sebagaimana hadith ini:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Ertinya: Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Rupanya bukan hanya Rasulullah SAW, nabi Adam dan Musa AS juga pernah terlupa. Firman Allah:

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا

Ertinya: Nabi Musa berkata (kepada Khidir setelah dia melanggar syarat perguruan): "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan AKU LUPA (AKAN SYARATMU); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)" (al-Kahf[18:73]).

Juga firman Allah:

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آَدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, TETAPI DIA LUPA; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh (Taha [20:115]).

Murid nabi Musa yang bernama Yusya’ juga terlupa sebagaimana firman Allah:

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آَتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا (62) قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا (63)

Ertinya: Setelah mereka melampaui (tempat tinggal Khidir), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini". Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; DAN TIADALAH YANG MENYEBABKAN AKU LUPA DARIPADA MENYEBUTKAN HALNYA KEPADAMU MELAINKAN SYAITAN; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan" (al-Kahf[18:62-63]).

Senjata lupa digunakan syaitan dengan banyak tujuan antaranya melengahkan proses menuntut ilmu seperti kisah nabi Musa AS dan Khidir di atas. Ia juga digunakan bagi melalaikan manusia agar berada bersama dalam majlis mengejek al-Quran. Pun begitu, kita perlu sedar senjata lupa yang dimainkan syaitan terhadap manusia pilihan Allah sangat lemah kesannya. Hanya sekadar gangguan seekor nyamuk, setelah ditampar keras hilanglah gangguan itu. Firman Allah:

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

Ertinya: Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah (al-Nisa’ [4:76]).

Syaitan juga mengaku akan rapuhnya godaan mereka:

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ

Ertinya: Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu (hisab dan penempatan ahli neraka dalam neraka): "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan TIADALAH BAGIKU SEBARANG ALASAN DAN KUASA MEMPENGARUHI KAMU SELAIN DARIPADA AKU TELAH MENGAJAK KAMU LALU KAMU TERBURU-BURU MENURUT AJAKANKU ITU; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku…. (Ibrahim [14.22]).

Lupa adalah suatu kelemahan manusia yang sangat biasa. Usahkan kita, para nabi yang maksum pun pernah terlupa. Allah faham benar kelemahan ini lalu diajarnya kita agar berdoa dengan doa indah pada akhir surah al-Baqarah:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Ertinya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan dia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo’a): “YA TUHAN KAMI, JANGANLAH ENGKAU HUKUM KAMI JIKA KAMI LUPA ATAU KAMI TERSALAH. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir” (al-Baqarah [2:286]).

Rahmat Islam yang memaafkan penyakit lupa turut dikukuhkan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Ertinya: Allah tidak menghukum umatku atas kesilapan (tak sengaja), kelupaan dan paksaan (Sunan Ibn Majah).

Allah tahu siapa kita, kerana Dia yang mencipta kita.  Dia sangat Pemurah kerana meletakkan syariat Islam yang sesuai untuk kita. Syariat yang sangat manusiawi dan mengambil kira kelemahan manusia. Selepas ini jika kita lupa atau orang lain terlupa, usahlah marah, sedih atau risau kerana kita memang manusia. Syukur kerana Islam memafkan orang yang lupa.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...