Wednesday, May 3, 2017

NABI DAWUD DAN SULAYMAN AS LEBIH BERSYUKUR DENGAN NI'MAT ILMU BERBANDING NI'MAT LAIN

NABI DAWUD DAN SULAYMAN AS LEBIH BERSYUKUR DENGAN NI’MAT ILMU BERBANDING NI'MAT LAIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:15]) pada 28 April 2015. Antara isunya adalah keutamaan ilmu yang mengatasi segala ni’mat lain.

Jika diberi pilihan antara dua bekas, satunya berisi “air ajaib orang alim” dan satu lagi berisi “kunci kekayaan alam” agaknya mana satu yang dipilih? Jika minum “air ajaib orang alim”, anda terus menjadi manusia paling berpengetahuan, manakala jika memegang “kunci kekayaan” anda diberi kuasa mengawal segala khazanah kekayaan alam. Saya separa yakin, pastinya kebanyakan manusia akan memilih kunci kekayaan berbanding air ilmu. Pasti ada yang berkata “BIAR JAHIL ASAL KAYA.” Lalu apakah pilihan terbaik antara keduanya? Biarlah Allah menjawabnya:

وَلَقَدْ آَتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ILMU PENGETAHUAN KEPADA NABI DAUD DAN NABI SULAIMAN; DAN MEREKA BERDUA BERSYUKUR DENGAN BERKATA: "SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG DENGAN LIMPAH KURNIANYA MEMBERI KAMI KELEBIHAN MENGATASI KEBANYAKAN HAMBA-HAMBANYA YANG BERIMAN" (al-Naml[27:15]).

Ni’mat Allah kepada kedua manusia hebat ini sangat banyak. Mereka memiliki hampir segalanya, empayar yang luas, harta yang banyak, kemampuan melembutkan besi dan tembaga, kemampuan menundukkan gunung, angin, burung, jin, manusia dan sebagainya. Pun begitu dalam ayat di atas Allah MENYEBUT SECARA KHUSUS KEDUA NABI ITU DIANUGERAHKAN ILMU. Mengapa? Ini rupanya suatu signifikan bahawa NI’MAT ILMU ADALAH YANG PALING BESAR DAN UTAMA untuk disyukuri. Bahkan sejurus kurniaan ilmu, mereka berdua segera memanjatkan syukur kepada Allah sebagai tanda rendah diri. Mereka faham benar bahawa ilmu pengetahuan adalah suatu pinjaman. Allah juga berjanji, sebarang syukur bakal menambah ni’mat:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"  (Ibrahim[14:7]).

Syukur si alim bermaksud menghayati, mengamal dan memanjangkan ilmu pinjaman Allah kepada yang lain. Ilmu yang dikongsi melalui pengajaran tidak akan berkurang sebaliknya akan bertambah subur. Hanya yang mengajar mengetahui kebenaran ini.

Bagi orang alim, ni’mat dan syukur dengan kurniaan ilmu “PALING DIRASAI” apabila duduk barang seketika dengan manusia jahil. Mendengar celoteh si jahil sudah cukup membuka mata anda betapa berbezanya mentaliti, kesedaran serta tahap ilmu yang mereka miliki. Benarlah firman Allah:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Ertinya: ….Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat (al-Mujadalah [58:11]).

Baginda Rasulullah SAW juga mengesahkan orang yang dalam ilmu agamanya berada dalam anugerah kebaikan dari Allah:

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ

Ertinya: Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, akan diberikan pengetahuan mendalam tentang agama. Ketahuilah bahawa ilmu itu diperolehi dengan pembelajaran (Sahih al-Bukhari).

Jika anda dianugerahkan minat untuk mendalami ilmu agama ucaplah “Alhamdulillah” sebagaimana sikap nabi Dawud dan Sulayman AS kerana ia adalah ni’mat terbesar. Jika anda terlalu sibuk mencari dunia sehingga lupa menyuburkan hati dengan ilmu agama, maka ucaplah “Innalillah” kerana ia adalah suatu musibah yang sangat bahaya. Musibah kejahilan adalah punca segala macam masalah di dunia ini. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...