Tuesday, May 30, 2017

"RANCANG, BUNUH DAN NAFI" ADALAH STRATEGI MAFIA PURBA"

"RANCANG, BUNUH DAN NAFI" ADALAH STRATEGI MAFIA PURBA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [26:48-51]) pada 26 Mei 2015. Antara isunya adalah kelicikan perancangan 9 Mafia Jahannam kaum Thamud.

Filem aksi Hollywood “Bourne Identity, Bourne Supremacy, Bourne Ultimatum dan Bourne Legacy” sungguh mendebarkan hati. Heronya adalah produk “tukang bunuh rahsia” keluaran CIA. Setelah program “kilang tukang bunuh” mengalami kegagalan, semua produk kilang itu disenyapkan satu persatu. Heronya pula terselamat lantas membalas dendam dan memporak perandakan kilang pengeluarnya.

Inilah gambaran sesetengah filem aksi Barat. Mungkin ada yang kata ia sekadar khayalan manusia yang tiada asas, namun apa yang dikhayalkan mungkin berasal daripada realiti. Seakan sudah menjadi “rahsia umum” bagaimana agensi perisikan sesetengah Negara mahu membunuh sesetengah watak yang dianggap mengancam keselamatan. Rancangan membunuh pula dibuat rapi agar peluru yang membunuh tidak kembali makan tuan. Apa yang penting, ancaman terus diam. “Rancang, bunuh dan nafi” seakan menjadi “rukun” sesetengah agensi perisikan. Rupanya strategi ini adalah warisan purba dari kaum Thamud:

وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (48) قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (49) وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (50) فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَاهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ (51)

Ertinya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun. Mereka berkata (sesama sendiri): "HENDAKLAH KAMU MASING-MASING BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KITA AKAN MEMBUNUH SOLEH DAN PENGIKUTNYA SECARA MENGEJUT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN KITA AKAN BERKATA KEPADA WARISNYA: ` KAMI TIDAK HADIR (DI TEMPAT) PEMBUNUHAN (SOLEH APALAGI MEMBUNUHNYA ATAU MEMBUNUH) PENGIKUTNYA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH BERKATA BENAR." Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya. Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya (al-Naml[27:48-51]).

9 mafia kaum Thamud dalam kisah ini berada pada “PUNCAK KEJAHATAN” mereka kerana Allah menegaskan 2 sifat mereka pada ayat 48 “YANG SEMATA-MATA MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN.”  Sesetengah manusia jahat ada juga kebaikan yang dibuat, tetapi tidak pada 9 Mafia kaum Thamud ini. Yang mereka tahu hanya jahat, jahat dan jahat sahaja. Bagai dikata, Iblis pun “tabik hormat” pada mereka.

Dalam ayat di atas mereka mengatur 3 strategi licik terhadap nabi Saleh dan pengikutnya iaitu “RANCANG, BUNUH dan NAFI.” Rancangan mereka itu dibuat selepas mereka membunuh unta betina yang dibawa Allah sebagai bukti kerasulan nabi Saleh kepada kaum Thamud. Mereka sebenarnya rasa terancam dengan amaran “KEMUSNAHAN DALAM MASA 3 HARI” oleh nabi Saleh, oleh itu mereka berkata “Sebelum kami nahas, lebih baik dibunuh sahaja Saleh.” Maka bertitik tolak dari rasa takut itulah 3 strategi tersebut diambil:

وَيَا قَوْمِ هَذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آَيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ قَرِيبٌ (64) فَعَقَرُوهَا فَقَالَ تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ ذَلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍ (65)

Ertinya: "Dan (nabi Saleh AS berkata) wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya". “MEREKA KEMUDIANNYA MENYEMBELIH UNTA ITU, LALU BERKATALAH NABI SOLEH KEPADA MEREKA: BERSENANG-SENANGLAH KAMU DI TEMPAT MASING-MASING SELAMA TIGA HARI; TEMPOH YANG DEMIKIAN ITU, IALAH SUATU JANJI YANG TIDAK DAPAT DIDUSTAKAN" (Hud [11:64-65]).

Rupanya “genetik jahat” mafia purba sentiasa turun kepada generasi manusia zaman seterusnya. Inilah kerisauan malaikat seawal penciptaan nabi Adam AS dahulu (al-Baqarah [2:30]). Strategi jahat sebegini akan semakin bergelojak apabila didorong kegilaan mempertahankan kuasa. Demi kuasa, apa sahaja sanggup dilakukan, biar orang lain mati asal aku kekal berkuasa. Balasan azab akhirat? Ia bukan suatu kerisauan penting kerana mereka ini sudah menolaknya di awal kisah lagi. Pun begitu, manusia zalim perlu sedar bahawa Allah tetap ada dan akan sentiasa melindungi orang beriman daripada kejahatan mereka. Bersandarlah kepada Allah, pasti kita akan selamat. Jika kita terkorban sekalipun akibat kezaliman manusia yang zalim, akhirat tetap ada untuk diraikan kejayaan kita mengatasi manusia yang zalim.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...