Tuesday, May 2, 2017

BAKTI KEPADA IBU BAPA SELEPAS MATI

BAKTI KEPADA IBU BAPA SELEPAS MATI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Terimalah sedikit sumbangan saya ini dan buat spek baru! Mudah-mudahan ibu bapa saya di alam barzakh sana dapat ni’mat mata yang selalu membaca al-Quran apabila Ustaz pakai spek baru nanti.”

Pada pagi Rabu 19 April 2017 lepas, saya menziarahi anak ketiga saya Adna Solehah di Ma’ahad Integrasi Tahfiz Selangor, Bagan Terap. Pada waktu itu saya menegur Ustaz Khairul yang memakai kaca mata retak. Kaca matanya retak angkara nakal anak kecilnya. Ustaz Khairul adalah seorang guru Tahfiz di sekolah tersebut yang saban hari membaca dan mengulangkaji al-Quran. Oleh itu, saya berharap agar kaca matanya yang baru menjadi “alat bantu pandang” ibu bapa saya di alam sana.

Kehilangan ibu bapa tersayang memang memeritkan jiwa. Tanpa mereka kita tidak mungkin mengenal dunia ini. Abah meninggalkan kami pada tahun 2007, manakala ibu baru dijemput Allah pada pagi Isnin 17 April 2017 lepas. Ibu sakit lama, hampir 4 tahun terlantar koma. Dalam tempoh itu, kami adik beradik bersungguh menjaganya. Tempoh 4 tahun itu, ternyata sangat singkat berbanding kesusahan abah dan ibu membesarkan kami sehingga besar.

Banyak sekali kenangan manis bersama abah dan ibu. Abah terkenal dengan ketegasannya dalam hidup beragama walaupun bukan berasal dari aliran agama. Beliau adalah seorang kerani sekolah yang berwawasan jauh. Abah agak rapat dengan al-Marhum Tuan Guru Datok Nik Abdul Aziz. Kami adik beradik dibawa mengaji dengan Tuan Guru sekerap 5 kali seminggu semenjak kecil. Paling awal yang mampu diingati adalah ketika saya berusia 5 tahun pada tahun 1980. Ketika mendapat tawaran belajar di Darul Quran, JAKIM pada tahun 1993, abah menggunakan kuasa “vetonya” dengan tegas:

“Awak mesti terima tawaran ini kerana keluarga kita belum ada wakil yang menghafaz al-Quran.”

Alhamdulillah! Pilihan abah itu saya ni’mati dalam kesyukuran sehingga hari ini. Ibu juga banyak kenangannya. Saya mengenal huruf al-Quran daripada ibu dan pastinya pahala setiap huruf al-Quran yang saya baca dan ajarkan Tafsirnya kepada orang lain akan mengalir deras ke dalam kubur ibu. Ibu selalu bercerita dia selalu menitiskan air mata kerana disindir orang:

“Kamu ni Kamariah tak ada kerja lain ke selain beranak setiap tahun? Macam ibu kucing.”

Di tengah kesyahduan malam, ibu selalu menangis mengenangkan sindiran orang. Pada waktu itulah ibu berdoa agar kami 11 beradik menjadi manusia berguna. Saya dapat rasakan doa ibu itu dimakbulkan Allah.

Kini abah dan ibu sudah tiada. Yang tinggal hanya kenangan manis yang semakin pudar dimakan usia. Lalu apa yang perlu kita lakukan agar kenangan manis itu kekal menjadi “tiket ajaib” yang mampu menyatukan kita semua dalam syurga? Terdapat beberapa cara yang disarankan Allah dan Rasulullah SAW, antaranya:

1)Doa pengampunan yang konsisten kepada mereka:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Ertinya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "WAHAI TUHANKU! CUCURILAH RAHMAT KEPADA MEREKA BERDUA SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MENCURAHKAN KASIH SAYANGNYA MEMELIHARA DAN MENDIDIKKU SEMASA KECIL." (al-Isra’ [17:24]).

Lafaz – رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا – ternyata sangat pendek dan mudah jika hendak dibandingkan pengorbanan sepanjang usia mereka. Oleh itu, sangat malang jika kita tak dapat meluang masa walaupun seketika mengunakan doa tersebut untuk mereka. Bahkan doa ini turut dibaca oleh 2 nabi agung dalam sejarah manusia iaitu nabi Ibrahim dan nabi Nuh AS (Ibrahim [14:41] dan Nuh[71:28]).

2)Berbakti kepada mereka dalam beberapa amal soleh sebagaimana saranan Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Ertinya: Abi Usyad Malik bin Rabi’ah al-Sa’idiy menceritakan; (Pada suatu hari) ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya: “Wahai Rasulullah apakah ada cara bagiku untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapaku selepas kematian mereka?” Baginda menjawab: “Ya! (Caranya adalah) dengan bersolat (jenazah kepada mereka dan berdoa kepada mereka), memohon keampunan (Allah) untuk mereka berdua, menunaikan janji mereka selepas kematian mereka berdua (antaranya membayar hutang mereka), menghubung hubungan keluarga yang tidak berkait melainkan dengan hubungan mereka dan memuliakan sahabat mereka berdua (Sunan Abu Dawud).

Dalam sebuah hadith lain diceritakan kisah indah yang berlaku kepada Abdullah bin ‘Umar:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ إِذَا خَرَجَ إِلَى مَكَّةَ كَانَ لَهُ حِمَارٌ يَتَرَوَّحُ عَلَيْهِ إِذَا مَلَّ رُكُوبَ الرَّاحِلَةِ وَعِمَامَةٌ يَشُدُّ بِهَا رَأْسَهُ فَبَيْنَا هُوَ يَوْمًا عَلَى ذَلِكَ الْحِمَارِ إِذْ مَرَّ بِهِ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ أَلَسْتَ ابْنَ فُلَانِ بْنِ فُلَانٍ قَالَ بَلَى فَأَعْطَاهُ الْحِمَارَ وَقَالَ ارْكَبْ هَذَا وَالْعِمَامَةَ قَالَ اشْدُدْ بِهَا رَأْسَكَ فَقَالَ لَهُ بَعْضُ أَصْحَابِهِ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ أَعْطَيْتَ هَذَا الْأَعْرَابِيَّ حِمَارًا كُنْتَ تَرَوَّحُ عَلَيْهِ وَعِمَامَةً كُنْتَ تَشُدُّ بِهَا رَأْسَكَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ مِنْ أَبَرِّ الْبِرِّ صِلَةَ الرَّجُلِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ بَعْدَ أَنْ يُوَلِّيَ وَإِنَّ أَبَاهُ كَانَ صَدِيقًا لِعُمَرَ

Ertinya: Pada suatu hari Abdullah bin ‘Umar dalam perjalanan ke Mekah dengan menunggang keldai dan memakai serban di kepalanya. Ketika sampai di sebuah tempat beliau terserempak dengan seorang lelaki badwi. Abdullah lantas menegurnya: “Bukankah kamu ini anak si fulan bin si fulan?” Apabila lelaki itu mengakuinya, Abdullah memberikan keldai dan serbannya kepada lelaki tersebut. Selepas itu para teman Abdullah memujinya atas perbuatan tersebut. Berikutan itu Abdullah berkata: “(Tindakanku itu didorong) oleh sebuah hadith yang aku dengar daripada Rasulullah SAW: Antara kebajikan terbaik seorang lelaki adalah berbuat baik kepada orang yang dikasihi oleh bapanya selepas kematiannya.” Menurut maklumat, bapa kepada lelaki badwi itu adalah teman kepada Sayyidina ‘Umar al-Khattab (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud dan Sunan al-Tirmidhi).

Alhamdulillah! Allah memang Tuhan yang Maha Pengasih kerana sentiasa membuka ruang bakti kepada ibu bapa walaupun selepas mereka meninggalkan dunia yang serba fana ini. Ia disokong pula oleh sebuah hadith baginda SAW:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ
وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Ertinya: Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang senantiasa berjalan pahalanya), ilmu yng diambil manafaat daripadanya atau anak soleh yang senantiasa mendoakannya (Sahih Muslim).

Walaupun kenangan manis bersama ibu bapa kita sudah berakhir, janganlah kita kuburkan terus bakti kita kepada mereka bersama merahnya tanah pusara mereka. Jangan jadi anak yang tidak mengenang budi! Hubungilah mereka dengan panduan bakti yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasulullah SAW. Semoga segala bakti kita itu menjadi sebab doa para malaikat kepada orang beriman ini makbulkan Allah:

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: (Para malaikat pemikul arasy berdoa lagi kepada orang beriman dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang telah Engkau janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama mereka): orang yang soleh antara ibu bapa, isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Ra’du [40:8]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Menarik di dalam Mega Mimbar Utusan Malaysia hari ini, 2 Mei 2017. Dapatkan akhbar Utusan Malaysia atau langgan versi digital di http://e.utusan.com.my
#MegaUtusan #UtusanMalaysia #beritamalaysia #MegaSains #MegaHits #MegaRona #MegaWira #MegaMimbar #AlumniSekolah  #HeloKampus

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...