Wednesday, May 24, 2017

BAGAIMAMA YA'QUB TAHU YUSUF MASIH HIDUP?

BAGAIMANA YA’QUB TAHU YUSUF MASIH HIDUP?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf[12:84-87]) pada 4 Mei 2016. Antara isunya adalah nabi Ya’qub tahu Yusuf masih hidup. Bagaimana?

Kesedihan atas kehilangan Yusuf sudah lama berlingkar erat dalam jiwa Ya’qub. Anak kesayangannya itu hilang tanpa berita. Nak dikata mati, mana kuburnya? Mana surat matinya? Nak dianggap hidup mana bayangnya? Ia menjadi riwayat tergantung yang sangat menyeksa jiwa. Pun begitu, baginda sentiasa menaruh harapan agar anak kesayangannya ini kembali. Hati kecil baginda dapat merasai Yusuf masih hidup di sebuah tempat yang tidak baginda tahu lokasinya. Sebenarnya ia bukan sekadar harapan kosong tetapi suatu kepastian yang belum tiba. Soalannya bagaimanakah baginda tahu Yusuf masih hidup? Renunglah ayat ini:

وَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ (84) قَالُوا تَاللَّهِ تَفْتَأُ تَذْكُرُ يُوسُفَ حَتَّى تَكُونَ حَرَضًا أَوْ تَكُونَ مِنَ الْهَالِكِينَ (85) قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (86)  يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ (87)

Ertinya: Dan (bapa mereka - Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya kerana ratap tangis dukacitanya kerana dia orang yang memendamkan marahnya dalam hati. Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah jatuh sakit merana, atau akan binasa". (Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanya mengadu susah dan dukacitaku kepada Allah dan AKU TAHU (DENGAN PERANTARAAN WAHYU) DARIPADA ALLAH, APA YANG KAMU TIDAK TAHU. WAHAI ANAKKU! PERGI DAN INTIPLAH KHABAR BERITA MENGENAI YUSUF DAN SAUDARANYA (BUNYAMIN), DAN JANGANLAH KAMU PUTUS ASA DARIPADA RAHMAT SERTA PERTOLONGAN ALLAH. Sesungguhnya tidak putus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir" (Yusuf [12:84-85]).

Ketika mengulas ayat ini, para ulama' Tafsir mengatakan ada 2 faktor yang menyebabkan nabi Ya’qub AS tahu Yusuf masih hidup iaitu;

1) Mimpi nabi Yusuf AS ketika kecil yang belum terlaksana. Maksud mimpi itu sangat unik iaitu semua ahli keluarga baginda akan tunduk hormat kepada Yusuf. Tanda hormat pula biasanya dilakukan kepada orang yang mulia dan tinggi pangkatnya. Ini menunjukkan Yusuf bakal memegang suatu pangkat di luar sana. Realisasi penghormatan itu belum berlaku dan selagi ia belum berlaku bermakna Yusuf masih hidup. Lihat firman Allah ini:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ (4) 

Ertinya: (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku" (Yusuf [12:4]).

Sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas menyatakan baginda nabi Ya’qub bersabda:

أعلم أن رؤيا يوسف صادقة، وأني سأسجد له.

Ertinya: Aku tahu bahawa mimpi Yusuf adalah benar dan aku pastinya akan tunduk hormat kepadanya (Tafsir al-Tabari).

Rasa nabi Ya’qub AS ini adalah pantulan wahyu daripada Allah. Ternyata benar sekali rasa itu kerana Allah membuktikan kebenaran mimpi Yusuf di akhir kisah baginda AS:

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا وَقَدْ أَحْسَنَ بِي إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ وَجَاءَ بِكُمْ مِنَ الْبَدْوِ مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِمَا يَشَاءُ إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersamanya)  atas kerusi kebesaran. DAN SETELAH ITU MEREKA SEMUA TUNDUK  HORMAT KEPADA YUSUF. DAN (PADA SAAT ITU)  YUSUF BERKATA: "WAHAI AYAHKU! INILAH TAFSIR MIMPIKU DAHULU. SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENJADIKAN MIMPIKU ITU BENAR. Dan sesungguhnya Dia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Dia keluarkan daku daripada penjara; dan Dia membawa kamu ke mari daripada dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan hubungan antaraku dan saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (Yusuf [12:100]).

2) Nabi Ya’qub AS bermimpi bertemu dengan malaikat maut dan bertanya perihal Yusuf. Adakah si malaikat pernah mengambil nyawa Yusuf. Malaikat maut memberitahu Ya’qub dia belum pernah mencabut nyawa Yusuf (Tafsir al-Baghawi). Harapan dari wahyu yang belum nyata ini menyebabkan baginda mengarahkan anaknya kembali ke Mesir buat kali ketiga dan mencari bayang Yusuf AS:

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Ertinya: Wahai anak-anakku! PERGI DAN INTIPLAH KHABAR BERITA MENGENAI YUSUF dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir" (Yusuf [12:87]).

Inilah keajaiban kisah nabi Ya’qub dan Yusuf AS. Apa yang pasti, kisah ini mengajar kita betapa harapan yang direalisasikan dengan usaha dan doa pasti membuahkan hasil. Allah juga menguji mereka berdua dalam tempoh masa yang lama sebagai signifikan betapa hidup pasti disulami ujian baik dan buruk. Beruntung sekali orang yang membaca al-Quran dan mengambil pengajaran pada setiap patah firman Allah. Sungguh! Al-Quran itu adalah panduan hidup manusia, ketika susah dan ketika senang.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...