Thursday, May 11, 2017

AYAT KOMA NABI MUSA?

AYAT KOMA NABI MUSA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Meremang bulu roma saya mendengar celoteh si penceramah yang begitu berani mendakwa sesuatu yang Allah tak sebut dalam kisah nabi Musa AS. Lantas sabda Rasulullah SAW ini datang menjengah minda saya:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Ertinya: Abdullah bin ‘Abbas RA berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa berkata-kata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedia tempatnya dalam neraka (Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad).

Kisahnya, ramai yang berkongsi mesej tentang ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk merawat sakit koma. Ia berikutan panggilan telefon seorang wanita kepada seorang penceramah yang muncul di kaca TV. Wanita tersebut meminta doa untuk merawat suaminya yang koma selepas kemalangan jalan raya. Ketika menjawab soalan itu si penceramah mengajarnya beberapa teknik rawatan bersama sebuah ayat al-Quran iaitu:

وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا

Ertinya: …… Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan) (al-Nisa’ [4:164]).

Saya tidak berhasrat membincangkan “apakah ayat itu benar-benar mampu merawat sakit koma atau tidak.” Pendirian saya jelas! Al-Quran memang boleh digunakan untuk merawat sakit fizikal kerana seorang sahabat nabi pernah merawat seorang ketua kampong yang disengat binatang berbisa (jengking) dengan hanya membaca surah al-Fatihah. Setelah sembuh, para sahabat nabi tersebut diberi upah sejumlah kambing. Mereka tidak menyentuh upah tersebut tanpa izin atau pengiktirafan Rasulullah SAW. Setelah mendengar kisah mereka, Rasulullah mengakuinya dengan bersabda:

وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ثُمَّ قَالَ قَدْ أَصَبْتُمْ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: “Bagaimana kamu tahu bahawa ia (surah al-Fatihah) adalah jampi (ubat)?” Baginda kemudiannya menyambung sambil ketawa: “Kamu membuat keputusan yang benar! Bahagikanlah upah itu dan berikan aku sedikit daripada pembahagiannya” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Bukan setakat itu, surah al-Fatihah pernah juga berjasa menyembuhkan orang gila (yang bertambat) setelah dirawat dengannya selama tiga hari berturut-turut (pada waktu pagi dan petang). Sahabat nabi yang merawat itu turut diberi upah. Setelah dia menceritakan kisahnya kepada Rasulullah SAW, baginda mengesahkannya dengan bersabda:

كُلْ فَلَعَمْرِي لَمَنْ أَكَلَ بِرُقْيَةٍ بَاطِلٍ لَقَدْ أَكَلْتَ بِرُقْيَةٍ حَقٍّ

Ertinya: Makanlah (hasil upah itu) kerana engkau makan daripada upah jampi yang benar, kerana demi usiaku, ada yang (salah) kerana makan hasil daripada jampi yang sesat (Sunan Abu Dawud).

Walaupun begitu, kesan jampi atau ruqyah yang dibaca sangat subjektif bergantung kepada “keyakinan dan iman” si perawat. Buktinya dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW menjelaskan “iman dan yakin” menjadi faktor keberkesanannya:

أن رجلا مصابًا مرَّ به عبد الله بن مسعود، فقرأ في أذنه هذه الآية: { أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ * فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ } ، حتى ختم السورة فَبَرَأ، [فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم] (5) ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بماذا قرأت في أذنه؟" فأخبره، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "والذي نفسي بيده، لو أن رجلا مُوقنا قرأها على جَبَل لزال".

Ertinya: Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan ayat (al-Mu’minun[23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh dari sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya?....... Rasulullah SAW lalu bersabda: “DEMI YANG JIWAKU BERADA PADA TANGAN (KUASA)NYA, SEKIRANYA SEORANG LELAKI YANG YAQIN (DENGAN MUKJIZAT AL-QURAN) MEMBACANYA (WALAUPUN) KEPADA BUKIT SEKALIPUN, SUDAH PASTI BUKIT TERSEBUT AKAN HILANG (HANCUR)” (Tafsir Ibn Kathir).

Apa yang mahu saya tegur adalah dakwaan berani si penceramah yang mengatakan ayat tersebut “TELAH ALLAH BACAKAN BAGI MENYEDARKAN NABI MUSA YANG PENGSAN.” Si penceramah itu keliru dengan kisah pengsannya nabi Musa AS sebagaimana ayat ini:

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَى صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya (dengan percakapan yang tidak sama dengan percakapan makhluk), maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) "Tajalli-Nya" menjadikan gunung itu hancur lebur DAN NABI MUSA PUN JATUH PENGSAN. SETELAH DIA SEDAR SEMULA, baginda berkata: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku) (al-A’raf [7:142-143]).

JIka diperhatikan, ayat ini dengan “JELAS” menyebut nabi Musa “SEDAR TANPA ADA APA-APA BACAAN DARI ALLAH.” Sedarnya baginda juga disebut secara umum tanpa tambahan perkataan - وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا – sebagaimana dakwaan si penceramah.

Patah ayat yang didakwa si penceramah “DIBACAKAN ALLAH BAGI MENYEDARKAN NABI MUSA DARI PENGSAN” itu letaknya dalam surah lain dengan konteks perbincangan yang lain sama sekali. Lainnya seumpama putih dan hitam. Ayuh kita lihat apa maksud sebenar firman Allah itu:

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا (163) وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَرُسُلًا لَمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا (164)

Ertinya: Sungguhnya Kami telah mewahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah mewahyukan kepada Nabi Nuh, dan para nabi yang diutus selepasnya; dan Kami juga telah mewahyukan kepada Nabi Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, nabi keturunannya, Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Kami juga memberikan kepada Daud: Kitab Zabur.  Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu sebelum ini, juga para rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. DAN ALLAH TELAH BERKATA-KATA KEPADA NABI MUSA DENGAN KATA-KATA (SECARA LANGSUNG, TIDAK ADA PERANTARAAN) (al-Nisa’ [4:163-164]).

Memang benar percakapan nabi Musa AS dalam surah al-A’raf itu adalah mukjizat baginda yang khusus tetapi dakwaan ayat daripada surah al-Nisa’ itu dibaca Allah bagi menyedarkan baginda daripada pengsan sudah menjadi 2 isu berbeza.

Sebarang dakwaan hubung kait antara kedua ayat di atas perlu disokong dalil sama ada dalil al-Quran atau Hadith. Tambahan pula kedua ayat itu muncul dalam 2 surah berbeza dengan 2 mesej berbeza. Di dunia ini kita boleh diancam saman jutaan ringgit jika berani mencipta kata-kata palsu yang disandarkan kepada seseorang tokoh. Al-Quran ini bukanlah kalam manusia tetapi “KALAM  ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM.”  Sebarang dakwaan kosong tanpa hujah bakal mengundang kemurkaan Allah. Gerunilah amaran Allah dalam ayat ini:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ وَمَنْ قَالَ سَأُنْزِلُ مِثْلَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوا أَنْفُسَكُمُ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنْتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ (93)

Ertinya: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat keteranganNya" (al-An’am [6:93]).

Walaupun ayat di atas diturunkan Allah untuk memberi amaran keras kepada Musaylamah al-Kazzab si nabi palsu di al-Yamamah pada zaman nabi (Tafsir Ibn Kathir), maksudnya tetap releven kepada sesiapa  yang berani mendakwa-dakwi secara tidak betul atas nama Allah.

Mungkin akan ada yang bertanya: “Kalau begitu! Apa pula doa yang sepatutnya dibaca bagi merawat sakit kronik sepreti koma?” Masya-Allah! Sebenarnya baginda Rasulullah SAW banyak mengajar kita doa yang boleh digunakan untuk merawat berbagai jenis penyakit. Banyak, dan tersangat banyak!

Cukuplah saya berkongsi 2 doa yang agak sesuai memayungi berbagai penyakit yang mungkin kita hadapi baik koma, kanser, sakit jantung dan sebagainya. Doa baginda SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Ertinya: Ya Allah! Aku mohon perlindungan dengan-Mu dari hilangnya ni’mat kurniaan-Mu, juga dari berubahnya ni’mat kesihatan kurniaan-Mu, juga dari bencana ketentuan-Mu yang mengejut dan dari semua kemurkaan-Mu (Sahih Muslim).

Juga doa lain:

أَذْهِبْ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Ertinya: Rasulullah SAW berdoa: Hilangkanlah (segala) sakit wahai Tuhan manusia. sembuhkanlah kerana Engkaulah (satu-satunya) yang Maha Penyembuh. tiada penyembuhan melainkan penyembuhan yang Engkau berikan. penyembuhan yang tidak akan meninggalkan bekas sakit”  (Sunan Abu Dawud).

Al-Quran adalah ubat yang sangat mujarab bagi orang beriman. Kita perlu galakkan umat Islam berdoa dengan ayat al-Quran kerana ia menjadi satu langkah mendekatkan mereka kepada Allah. Walaupun begitu, selaku orang agama kita wajib berhati-hati dalam penggunaan ayat al-Quran kerana ia adalah KALAM ALLAH yang mempunyai hak yang wajib dijaga dan ditunaikan. Didiklah masyarakat dengan betul. Jangan sampai orang awam melihat “TINGKAP sebagai PINTU” kerana kecuaian kita membawa al-Quran kepada mereka. Ya Allah! Bimbinglah kami semua!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...