Thursday, April 13, 2017

TUNDUK HINA DAN SESAL DI HADAPAN ALLAH

TUNDUK HINA DAN SESAL DI HADAPAN ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Tafsir Dhuha Selasa (al-Sajdah [30:10]) pada 7 April 2015. Antara isunya adalah penyesalan manusia derhaka di hadapan Allah.

“Perlahankan pacuan kenderaan! Di hadapan sana mesti ada sesuatu sedang menunggu, boleh jadi polis bersembunyi menembak perangkap laju, boleh jadi pegawai JPJ menunggu mencari kesalahan pemandu atau boleh jadi suatu kemalangan berbahaya telah berlaku.”

Itu adalah respon spontan kita ketika menerima “ISYARAT AMARAN” dari lampu pemandu kenderaan dari arah bertentangan dengan laluan kita.  Jika masih terperangkap setelah diberi amaran, kita pasti menyesal panjang. Aduhai mengapakah aku bodoh sangat tidak mempedulikan amaran yang sudah diberi.

Sedarkah kita? Itu baru isyarat amaran duniawi yang boleh jadi benar atau salah, namun keyakinan kita tetap teguh kerana gagal selepas diberi amaran membuahkan penyesalan bernilai saman RM 300 atau kehilangan nyawa. Silap langkah dalam agama jauh lebih bahaya kerana bakal menyababkan kita tersungkur muka atau dibakar hidup-hidup dalam neraka. Sungguh hari kiamat adalah hari penyesalan untuk semua. Yang engkar menyesal kerana bodoh melepaskan peluang yang sekali ini:

وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman (Maryam[19:39]).

Yang beriman pula menyesal kerana amalnya belum cukup sehingga darjat syurganya masih rendah:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh " (al-Munafiqun [63:10]).

Rupanya saranan Rasulullah SAW agar kita membaca surah al-Sajdah pada setiap pagi Jumaat dalam solat Subuh (Sahih al-Bukhari & Muslim) bukan semata ritual kosong, tetapi mempunyai signifikan yang sangat besar untuk iman kita kepada hari kiamat. Arahan mudahnya adalah jangan bertangguh kerana kelak kamu pasti TERTUNDUK MENEYSAL:

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Ertinya: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "WAHAI TUHAN KAMI, KAMI TELAH MELIHAT DAN MENDENGAR DENGAN SEJELAS-JELASNYA (AKAN SEGALA YANG KAMI INGKARI DAHULU); MAKA KEMBALIKANLAH KAMI KE DUNIA SUPAYA KAMI MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK; SESUNGGUHNYA KAMI SEKARANG TELAH YAKIN" (al-Sajdah[32:12]).

Sesalan dan harapan kosong mahu kembali ke dunia bukan berlaku hanya ketika di”adudit” Allah sahaja tetapi merangkumi beberapa waktu, antaranya:

1) Waktu saat pertama menjengah alam barzakh:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

Ertinya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "WAHAI TUHANKU, KEMBALIKANLAH DAKU (HIDUP SEMULA DI DUNIA) - "SUPAYA AKU MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH DALAM PERKARA-PERKARA YANG TELAH AKU TINGGALKAN". TIDAK! MASAKAN DAPAT? SESUNGGUHNYA PERKATAANNYA ITU HANYALAH KATA-KATA YANG IA SAHAJA YANG MENGATAKANNYA, SEDANG DI HADAPAN MEREKA ADA ALAM BARZAKH (YANG MEREKA TINGGAL TETAP PADANYA) HINGGA HARI MEREKA DIBANGKITKAN SEMULA (PADA HARI KIAMAT)” (al-Mu’minun [23:99-100]).

2) Waktu melihat julangan api neraka yang sedia memamah mereka:

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآَيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Ertinya: DAN SUNGGUH NGERI JIKA ENGKAU MELIHAT KETIKA MEREKA DIDIRIKAN DI TEPI NERAKA (UNTUK MENYAKSIKAN AZABNYA YANG TIDAK TERPERI), LALU MEREKA BERKATA: "WAHAI KIRANYA KAMI DIKEMBALIKAN KE DUNIA, DAN KAMI TIDAK AKAN MENDUSTAKAN LAGI AYAT-AYAT KETERANGAN TUHAN KAMI, DAN MENJADILAH KAMI DARI GOLONGAN YANG BERIMAN" (al-An’am[6:27]).

3) Waktu diseksa secara kekal dalam neraka:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَى عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ (36) وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ (37)

Ertinya: Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya. DAN MEREKA MENJERIT-JERIT DI DALAM NERAKA ITU (SAMBIL MERAYU): "WAHAI TUHAN KAMI, KELUARKANLAH KAMI (DARI AZAB INI); KAMI AKAN MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH, YANG LAIN DARI APA YANG KAMI PERNAH KERJAKAN. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (Fatir [35:36-37]).

Persoalannya, kiamat belum berlaku. Manusia pun belum dihukum tapi mengapakah peristiwa masa hadapan itu sudah diceritakan? Tidak lain, ia adalah suatu peringatan kepada kita agar tidak terjerumus ke dalam neraka seperti mereka yang disebut oleh banyak ayat al-Quran. Jika di akhirat kelak kita masih dihumban ke neraka selepas diberi segala peringatan, sama ada kita ini buta hati, bodoh atau langsung tidak menatap al-Quran. Ya Allah! Jadikan al-Quran pembimbing dan penyelamat kami yang sebenar.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...