Friday, April 7, 2017

APAKAH UJIAN "JASAD" ATAS KERUSI KERAJAAN NABI SULAYMAN?

APAKAH UJIAN “JASAD” ATAS KERUSI KERAJAAN NABI SULAYMAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Sad [38:34]) pada  18 Mac 2016. Antara isunya adalah kekeliruan mengenai makna ujian jasad atas kerajaan nabi Sulayman.

Ujian seseorang sudah disusun rapi oleh Allah jauh sebelum penciptaannya. Tiada yang terkecuali dari ujian sama ada ianya ujian kesusahan atau kesenangan. Nabi, raja, hamba, orang dewasa, kanak-kanak dan sebagainya pasti terpalit dengan “sunnah ujian” dari Allah. Orang beriman faham ujian dari Allah datang dengan kesusahan dan kesenangan. Firman Allah:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Ertinya: Setiap jiwa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan KESUSAHAN DAN KESENANGAN SEBAGAI CUBAAN; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan (al-Anbiya’ [21:35]).

Ayat ini mendahulukan perkataan susah berbanding senang kerana ujian ketika susah lebih mudah difaham sebagai ujian berbanding senang. Mata yang jahil biasanya menganggap orang yang mewah dengan kesenangan dan pujian tidak diuji walaupun sebenarnya ujian kesenangan lebih sukar dihadapi berbanding ujian kesusahan. Ketika sakit atau susah, akaun doa senantiasa penuh, manakala ketika senang sesetengah orang mudah lupa siapa Pemilik segala ni’matnya.

Nabi Sulayman AS sebagai nabi yang kaya ni’mat pun pernah diuji berat oleh Allah. FirmanNya:

وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَانَ وَأَلْقَيْنَا عَلَى كُرْسِيِّهِ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya “SATU JASAD” (yang tidak cukup sifatnya) kemudian dia kembali (merayu kepada Kami) (Sad [38:34]).

Apabila meneliti kitab Tafsir, terdapat banyak versi “UJIAN JASAD” bagi nabi Sulayman ini. Ada yang karut seperti filem Hollywood “Lord of The Ring” dan ada yang boleh diterima akal. Versi karut hasil adunan “perisa Isra’iliyyat” mengatakan baginda pernah hilang kerajaan selama 40 hari setelah “cincin kuasanya” dirampas seekor Jin jahat bernama Sakhr atau Asif. Mengikut kisah ini, kuasa nabi Sulayman terhimpun pada cincin baginda. Pada suatu hari baginda memberikan cincin itu kepada isterinya sebelum masuk ke tandas cincin, lantas si jin menyamar dalam rupa baginda dan mengambilnya dari isteri baginda. Berikutan itu, nabi Sulayman hilang kuasa dan kerajaannya diporak perandakan oleh si Jin. Setelah selesai merosakkan kerajaan nabi Sulayman, si jin membuang cincin itu ke tengah laut. Akhirnya Sulayman memperolehi kembali kuasanya apabila menemui cincin itu ketika membeli dan membelah perut seekor ikan (Tafsir al-Tabari & al-Durr al-Manthur Fi Tafsir Bi al-Ma’thur).

Imam al-Razi menolak kisah ini kerana bertentangan dengan roh agama dan akal yang sihat. Sekiranya jin (seperti Sakhar) mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti kesucian agama akan musnah akibat penyamaran syaitan. Sekiranya mereka mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti mereka juga mampu menyamar dalam rupa para ulama dan membuat fatwa atau ijtihad yang palsu di atas nama para ulama (Tafsir al-Razi).

Jika kisah “Lord of the Ring” ini tak betul atau tergolong dalam Isra’iliyyat yang perlu ditolak, apa tafsiran yang sebenarnya? Berdasarkan pengamatan saya ada 2 riwayat yang sesuai menjelaskan ujian Allah kepada nabi Sulayman itu;

1) Jasad nabi Sulayman AS yang sakit kerana  baginda pernah menghidap sakit dalam tempoh yang lama (Tafsir al-Razi).

2) Kelahiran anak yang cacat. Kisah ini dijelaskan oleh sebuah hadith:

قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى سَبْعِينَ امْرَأَةً تَحْمِلُ كُلُّ امْرَأَةٍ فَارِسًا يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ فَلَمْ يَقُلْ وَلَمْ تَحْمِلْ شَيْئًا إِلَّا وَاحِدًا سَاقِطًا أَحَدُ شِقَّيْهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ قَالَهَا لَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Ertinya: Rasulullah SAW bersabda: Nabi Sulayman bin Dawud AS pernah berkata “Aku akan menyetubuhi semua 70 isteriku dalam satu mala mini supaya setiap mereka melahirkan pejuang yang akan berjuang pada jalan Allah. Temannya (dari kalangan manusia atau malaikat) berpesan padanya “Sebutlah dengan Izin Allah.” Tetapi Sulayman tidak menyebutnya (kerana lupa). (Akibatnya) tiada seorang pun isterinya yang mengandung atau melahirkan anak kecuali seorang isterinya yang melahirkan anak yang cacat. Rasulullah SAW menyambung: Jika Sulayman benar mengucapkan “dengan izin Allah” sudah pasti mereka semua (anak-anaknya) akan bersama berjihad pada jalan Allah (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Benar sekali, ujian perlu diurus dengan betul. Kisah nabi Sulayman dalam ayat tersebut menjadi ujian pada kita semua sama ada mahu menerima yang sahih atau yang penuh khayalan. Islam adalah agama yang benar. Usahlah dirosakkan kesucian Islam atau kisah al-Quran dengan riwayat yang pelik. Jika ada sesetengah kita masih berkeras mahu menerima yang pelik dan tidak sahih, itu buktinya dia sedang gagal dalam ujian iman kepada al-Quran dan para nabi. Mohon dijauhkan Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...