Tuesday, April 4, 2017

AKU MAHU ARAK SYURGA

AKU MAHU ARAK SYURGA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Saffat [37:45-47]) pada 6 November 2015.

“Jika mahu minum arak syurga, sabarlah sekejap di dunia dengan menjauhi arak dunia.”

Arak memang haram untuk umat Islam. Nassnya jelas dalam al-Quran dan ia melalui 4 peringkat pengharaman iaitu, (1) al-Nahl [16:67], al-Baqarah [2:219], al-Nisa’[4:43] dan muktamad pengharamannya pada surah al-Ma’idah [5:90-91]).

Bukan setakat haram, ia digelar “AIR KENCING SYAITAN” oleh orang Melayu yang jijik dengannya. Barangkali orang Melayu menggelarkannya sedemikian kerana Allah sendiri menyifatkannya sebagai perbuatan atau “minuman asasi” syaitan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) “DARI PERBUATAN SYAITAN.” Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (al-Ma’idah [5:90]).

Arak adalah ujian Allah kepada manusia di dunia. Ianya memudaratkan badan, merosakkan akal dan meminumnya tergolong dalam dosa besar. Peminumnya tidak dapat mencium bau syurga sebagaimana sabda Rasulullah:

مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا ثُمَّ لَمْ يَتُبْ مِنْهَا حُرِمَهَا فِي الْآخِرَةِ

Ertinya: Sesiapa yang minum arak di dunia kemudian (mati) tidak bertaubat dari dosa itu, diharamkan meminumnya di akhirat (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Hadith di atas ayatnya masih berlapik. Bahasa sentap yang mudah adalah; peminum arak yang mati tanpa taubat tidak berpeluang masuk syurga kerana arak adalah minuman syurga (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Jika ia haram di dunia, mengapa pula hukumnya berpusing 360 darjah menjadi halal di akhirat sehingga menjadi antara minuman syurga? Itulah bukti betapa mutlaknya kuasa Allah. Dia mampu dan berhak melakukan apa sahaja.  Pun begitu, hikmahnya tetap ada kerana Allah adalah Tuhan yang Maha Bijaksana.  Antara hikmah yang mudah difahami adalah arak sangat berbahaya untuk akal dan jasad. Penagih arak sukar melepaskan diri dari “kerasukan arak” yang dihidapinya.

Lain pula sifat arak syurga. Ia “PUTIH,” bersih, lazat, sihat dan menjadi lambang keredhaan Allah kepada ahli syurga yang sangat patuh kepada arahanNya semasa di dunia dahulu.  Firman Allah:

يُطَافُ عَلَيْهِمْ بِكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ (45) بَيْضَاءَ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ (46) لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلَا هُمْ عَنْهَا يُنْزَفُونَ (47)

Ertinya: Diedarkan kepada mereka piala yang berisi “ARAK” (yang diambil) dari sungainya yang mengalir, Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya, Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya (al-Saffat [37:45-47]).

Juga firman Allah:

يَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ (17) بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيقَ وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ (18) لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلَا يُنْزِفُونَ (19)

Ertinya: Mereka dilayani oleh anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, - Dengan membawa piala minuman dan tekoh serta piala atau gelas yang berisi “ARAK” (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya (al-Waqi’ah [56:17-19]).

Arak “putih” yang asli lagi sedap ini diceduk dari sungai arak syurga yang tidak terbanding lazatnya:

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ آَسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِنْ لَبَنٍ لَمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِنْ خَمْرٍ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ وَأَنْهَارٌ مِنْ عَسَلٍ مُصَفًّى وَلَهُمْ فِيهَا مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَمَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ ....

Ertinya: Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa “SUNGAI DARI ARAK YANG LAZAT BAGI ORANG YANG MEMINUMNYA,” dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka… (Muhammad[47:15]).

Dalam ayat lain Allah menyebut arak syurga sangat istimewa kerana penutupnya ditutup rapi dengan haruman kasturi:

يُسْقَوْنَ مِنْ رَحِيقٍ مَخْتُومٍ (25) خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ (26)

Ertinya: Mereka diberi minum dari satu minuman “(ARAK)” yang termeterai bekasnya, Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (al-Mutaffifin [83:25-26]).

Tertutup rapi kerana ia belum pernah dibuka sesiapa pun. Ini menunjukkan arak syurga adalah barang baru yang bukan “second hand” kerana Allah tahu benar manusia tidak suka barang terpakai. Bau penutup botolnya yang semerbak kasturi mampu membangkitkan selera ahli syurga, bak bau hidangan istimewa di dunia ini mampu menkecurkan air liur yang menghidu.

Subhanallah! Selera orang beriman seharusnya terbuka luas untuk merebut minuman ini. Bagaimana caranya? Ia berlaku secara bertentangan. Tahanlah diri anda dari melakukan yang haram, Insya Allah peluang kita terbuka luas mendapat ni’mat ini di akhirat kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...