Saturday, April 29, 2017

8 JENIS ANGIN PADA MATA ABDULLAH IBN 'AMRU RA

8 JENIS ANGIN PADA MATA ABDULLAH IBN ‘AMRU RA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Dhuha Selasa (al-Rum [30:51]) pada 3 Februari 2015 di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, KL. Antara isunya adalah kehebatan sahabat Rasulullah SAW mengenal 8 jenis angin berdasarkan al-Quran.

Angin adalah makhkluk Allah yang sangat hebat. Ada masa tiupan mesranya membawa rahmat dan ada masanya hembusan ganasnya memusnahkan alam. Dalam bicara al-Quran, perkataan “ANGIN YANG MUNCUL DALAM LAFAZ BANYAK (plural) – الرياح” membawa erti tiupan angin yang baik bersadur rahmat, manakala perkataan “ANGIN YANG MUNCUL DALAM LAFAZ TUNGGAL (singular) – الريح” membawa maksud tiupan angin azab yang memusnah manusia. Ayat ini menjadi contohnya:

وَلَئِنْ أَرْسَلْنَا رِيحًا فَرَأَوْهُ مُصْفَرًّا لَظَلُّوا مِنْ بَعْدِهِ يَكْفُرُونَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan “ANGIN (MENYERANG TANAMAN)” lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa) (al-Rum[30:51]).

Saya langsung terpegun ketika meneliti Tafsir ayat ini. Imam Ibn Kathir mengutip sebuah Athar (Riwayat dari sahabat) dari Imam Ibn Abi Hatim yang menceritakan bagaimana Abdullah ibn ‘Amru membahagikan angin yang disebut al-Quran kepada 8 jenis. 4 angin baik dan 4 angin azab (Tafsir Ibn Kathir).

EMPAT Angin rahmat adalah (الناشرات -  المبشرات – المرسلات – الذاريات)  . Semua angin ini disebut pada awal surah al-Dhariyat [51:1], surah al-Mursalat [77: 1 & 3] dan surah al-Rum[30:46].

Angin azab juga berjumlah EMPAT, DUA darinya memusnahkan makhluk di darat dan DUA lagi di lautan. Angin pemusnah di daratan adalah (العقيم – الصرصر) . DUA jenis angin pemusnah di daratan ini disebut dalam kisah pemusnahan kaum ‘Ad dalam surah al-Dhariyat [51:41] dan surah al-Haqqah [69:6]).

DUA angin pemusnah di lautan pula (العاصف – القصف). Keduanya disebut dalam surah al-Isra’[17:69] dan surah Yunus [10:22].

Subhanallah! Hebat sungguh para sahabat yang bernafas dengan al-Quran kerana mampu melihat rahsia alam dengan memerhatikan isi kandungan al-Quran. Jika riwayat ini sahih, penemuan Abdullah ibn ‘Amru ini berlaku jauh sebelum ilmu kaji cuaca atau meteorology ditemui manusia moden. Inilah sebabnya Allah mengarahkan kita memerhatikan isi kandungan al-Quran secara mendalam kerana padanya terdapat banyak rahsia alam yang sangat berguna untuk manusia. Ya Allah! Kayakan ilmuku dengan al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...