Monday, March 6, 2017

BAYAR NASI ARAB GUNA AZIMAT PINTU REZEKI?

BAYAR NASI ARAB GUNA AZIMAT PINTU REZEKI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Saudara! Boleh tak kami bayar makanan kami sebentar tadi dengan azimat pintu rezeki ini? Murid saya ini perolehi azimat ini dari saudaranya. Saudaranya minta agar dia simpan benda ini dalam dompet sebagai pembuka pintu rezeki.”

Tergamam seketika lelaki Arab penjaga kaunter di Restoran nasi Arab itu ketika mendengar tawaran saya. Itu adalah eksperimen mudah yang saya buat bagi meyakinkan pelajar saya betapa “benda alah” itu tidak mempunyai sedikit pun “kuasa pembuka pintu rezeki.”

Kisahnya, pada hari Isnin lepas  (27 Februari 2017) saya keluar makan tengahari dengan murid saya. Ketika mengeluarkan duit syiling untuk membayar parkir saya terpandang sebuah kertas kecil dengan gambar rajah pelik dalam dompetnya. Apabila ditanya, murid saya memberitahu ia adalah azimat pembuka pintu rezeki yang dihadiahkan seorang saudaranya.

Murid saya ini tidak pernah percaya pun kemampuan azimat itu. Dia sekadar menyimpannya sebagai koleksi kertas-perca yang pernah diberikan seseorang. Lantas saya segera “MEREMUK-REDAMKAN” kepercayaan adanya kuasa pembuka pintu rezeki pada kertas tersebut dengan cubaan membayar harga makanan di kaunter restoran.

Ayat mudah yang boleh saya katakan adalah; jika ia baik sudah pasti Rasulullah SAW atau para sahabat akan menyarankan kita untuk menggunakannya terlebih dahulu. Apa pula kata Rasulullah? Ayuh kita ikuti sebuah kisah yang berlaku kepada seorang sahabat tersohor:

عَنْ زَيْنَبَ امْرَأَةِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ قَالَتْ قُلْتُ لِمَ تَقُولُ هَذَا وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ وَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِينِي فَإِذَا رَقَانِي سَكَنَتْ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّمَا ذَاكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ فَإِذَا رَقَاهَا كَفَّ عَنْهَا إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَذْهِبْ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Ertinya: Zaynab isteri kepada Abdullah (bin Mas’ud) memberitahu bahawa (suaminya) Abdullah menegurnya dengan berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda;  Sesungguhnya jampi, serapah dan tangkal adalah syirik (kepada Allah kerana kepercayaan ia memiliki kuasa seperti kuasa Allah).” Zaynab menjawab: “Mengapa engkau berkata demikian? Mataku ini sakit, lalu aku pergi berubat dengan seorang lelaki Yahudi. Apabila dia menjampi, sakit mataku hilang.” Abdullah segera menjawab: “Itu semua adalah tipu daya syaitan! Dia sengaja mencucuk (matamu) dengan jarinya. Apabila dibaca jampi itu, dia (syaitan) berhenti. Sebenarnya cukuplah bagi kamu membaca doa yang diajar Rasulullah SAW iaitu: HILANGKANLAH (SEGALA) SAKIT WAHAI TUHAN MANUSIA. SEMBUHKANLAH KERANA ENGKAULAH (SATU-SATUNYA) YANG MAHA PENYEMBUH. TIADA PENYEMBUHAN MELAINKAN PENYEMBUHAN YANG ENGKAU BERIKAN. PENYEMBUHAN YANG TIDAK AKAN MENINGGALKAN BEKAS SAKIT”  (Sunan Abu Dawud).

Cara didik murid sebegini amat penting. Pendidikan bukan hanya berlaku dalam kelas pengajian tetapi boleh berlaku di mana sahaja. Lihat sahaja kisah pengembaraan nabi Musa dan Khidir AS. Pendidikan berlaku sepanjang kembara mereka berdua (al-Kahfi [18:60-82]).

Lantas saya teringat peristiwa didatangi seorang lelaki ketika selesai Kuliah Tafsir di surau kami di Selayang dahulu. Lelaki itu bertanya mengenai status batu azimat yang dihadiahkan seseorang padanya. Batu itu dikatakan mampu menjadi pendinding untuknya. Saya simpulkan jawapan padanya dengan mengajukan 2 soalan:

1) Batu azimat ini atau Hajar Aswad yang sepanjang masa melekat pada Ka’abah itu lebih mulia? Tanpa perlu jawapan bertaraf “KBAT”, semua tahu Hajar Aswad lebih hebat, tapi kata-kata sahabat agung ‘Umar bin al-Khattab sudah cukup menunjukkan hanya Allah pemegang kuasa mutlak:

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى الْحَجَرِ الْأَسْوَدِ فَقَبَّلَهُ فَقَالَ إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لَا تَضُرُّ
وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Ertinya: ‘Umar RA datang ke penjuru Hajar al-Aswad kemudian menciumnya seraya berkata: Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang TIDAK BOLEH MENGHALANG MUDARAT ATAU (TIDAK BOLEH) MEMBERI MANAFAAT. Jika bukan kerana aku melihat nabi SAW menciummu, aku pasti tidak akan menciummu (Sahih al-Bukhari).

2) Agaknya apa akan jadi jika kita mengetuk batu yang didakwa mampu melindungi saudara itu dengan tukul besi? Pasti ia akan segera musnah berkecai. Logiknya, mana mungkin ia boleh melindungi orang lain jika diri sendiri pun tak dapat dilindungi?

Melihat logik saya di kaunter restoran, murid saya lantas berkongsi kisah yang pernah dibacanya berkaitan cara ulama tersohor Indonesia iaitu HAMKA menegur penjual azimat. Pada tahun 1937, HAMKA membeli sebuah azimat (yang diukir dengan garisan yang didakwa garis tapak kaki Rasulullah SAW) di Bukit Tinggi dengan harga 10 sen. Tangkal itu didakwa mampu mengelakkan kebakaran jika digantung dalam rumah. Selepas membelinya, HAMKA langsung membakar hangus azimat itu di hadapan si penjual. Selepas itu, HAMKA menegur si penjual azimat:

“BAGAIMANA DIA AKAN DAPAT MENANGKAL KEBAKARAN PADAHAL DIA SENDIRI TERBAKAR?” (Prof. Dr HAMKA, Soal-Jawab Agama Islam, Jilid 2, Penerbitan Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, muka surat 27).

Kepercayaan kepada sesuatu yang tidak ketahuan kuasanya mengingatkan saya kebodohan Musyrikin Quraysh yang ditempelak keras oleh Allah dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَكُمْ وَلَا أَنْفُسَهُمْ يَنْصُرُونَ

Ertinya: Dan benda yang kamu sembah selain Allah, tidak dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri (al-A’raf [7:192])

Murnikan Tawhid kita! Hanya Allah Pemberi rezeki dan pastinya Allah tidak pernah dan tidak akan sama sekali men“SWASTA”kan pintu rezekiNya kepada sekeping azimat dalam kertas-perca kecil yang jika dibuang sekalipun tak mampu menyelamatkan dirinya. Berfikirlah kerana Islam mengajar kita berfikir!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...