Tuesday, March 14, 2017

ADAB MELANCONG KE BUMI DILAKNAT

ADAB MELANCONG KE BUMI DILAKNAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Pada mulanya saya asyik mengapungkan diri dalam lautan yang serba masin itu. Rasanya sungguh unik kerana tubuh diapung dek kepekatan garam dalam airnya. Tiba-tiba sebuah hadith Rasulullah SAW menjengah minda saya. Tanpa tunggu saya terus melangkah keluar dari laut mati Jordan yang dikatakan menjadi tempat terbenamnya kaum nabi Lut yang buas penggila seks songsang.”

Masih segar dalam ingatan perkongsian guru kami semasa belajar di Universiti Malaya tahun 1998 dahulu. Apakah hadith yang dimaksudkan guru kami itu? Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ مَرَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْحِجْرِ فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ حَذَرًا أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ ثُمَّ زَجَرَ فَأَسْرَعَ حَتَّى خَلَّفَهَا

Ertinya: Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan: (Pada tahun ke 9 Hijri ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah dari kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW. Baginda lantas bersabda: “JANGAN KALIAN MASUK KE NEGERI KAUM YANG MENZALIMI DIRI MEREKA SENDIRI (YANG AKHIRNYA DIMUSNAHKAN ALLAH) MELAINKAN DALAM KEADAAN MENANGIS BIMBANGKAN AZAB YANG PERNAH MENIMPA MEREKA AKAN TURUT MENIMPA KALIAN.” Kemudian baginda mempercepatkan langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Tak cukup dengan arahan itu, dalam hadith lain Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat membuang atau memberi makan kepada unta semua gandum yang diuli menggunakan air dari perigi kaum Thamud. Jika para sahabat mahu mengambil air, mereka hanya dibenarkan mengambilnya dari perigi tempat bekas unta nabi Saleh AS minum (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Mengapa perlu menangis ketika melalui tempat sebegini? Tangisan biasanya muncul ketika sedih, takut atau gembira. Arahan nabi dalam hadith tersebut ada makna tersirat yang wajib difahami iaitu kita perlu berfikir dan mengambil pengajaran dari musibah yang menimpa kaum tersebut. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Kegentaran hati melihat kesan kemusnahan mereka boleh mendatangkan tangisan keinsafan. Keinsafan yang timbul setelah melihat kesan sejarah dengan mata kepala pastinya lebih membekas pada jiwa, bak kata pepatah Inggeris “Seeing is believing.” Inilah juga yang banyak diulang oleh Allah dalam al-Quran:

قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Ertinya: Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian berdasarkan) peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, KEMUDIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA AKIBAT ORANG YANG MENDUSTAKAN (PARA RASUL) (Ali ‘Imran [3:137]).

Bahkan, jika kita lihat banyak sekali ayat al-Quran mencela sikap Musyrikin Quraysh yang pekak dan buta mata hati tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah umat lampau, sedangkan mereka selalu sahaja melihat serta melalui negeri yang pernah dimusnahkan Allah dalam perjalanan dagang mereka:

وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِمْ مُصْبِحِينَ (137) وَبِاللَّيْلِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (138)

Ertinya: Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): selalu sahaja berulang-alik (dalam musafir serta perjalanan dagang) melalui bekas tempat tinggal mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya? (al-Saffat [37:137-138]).

Bagi mengingatkan Muysrikin Quraysh tentang kaum Thamud pula Allah berfirman:

وَلَقَدْ كَذَّبَ أَصْحَابُ الْحِجْرِ الْمُرْسَلِينَ (80) وَآتَيْنَاهُمْ آيَاتِنَا فَكَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ (81) وَكَانُوا يَنْحِتُونَ مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا آمِنِينَ (82) فَأَخَذَتْهُمُ الصَّيْحَةُ مُصْبِحِينَ (83) فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (84)

Ertinya: Dan demi sesungguhnya penduduk "Al-Hijr" (Mada’in Salih) telah mendustakan para Rasul. Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran ugama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). Dan mereka memahat sebahagian dari gunung sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi. Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun (al-Hijr [15:80-84]).

Mudahnya, sejarah umat lampau wajib diambil iktibar. Jika mereka soleh gemilang maka rahsia mereka wajib dihadam dan diubahsuai mengikut situasi zaman jika. Jika mereka jahat dan hina maka sikap mereka wajib dijauhi sejauh mungkin. Jangan hanya melihat tempat mereka dalam gelak tawa sambil mencukupkan koleksi “SWAFOTO PERLANCONGAN PADA MUSIM CUTI.” Ambil-lah peluang ziarah itu menjadi perlancongan ibadah yang makin mengukuhkan jiwa dan iman kepada kebenaran agama Allah.

“Pihak penganjur atau agensi perlancongan yang menyediakan khidmat lawatan ke tempat sebegini seharusnya tidak hanya meninggalkan para pengunjung begitu sahaja tanpa bimbingan seperti anak ayam kehilangan ibu. Selaku penganjur, mereka perlu mengisi aktiviti ziarah dengan tazkirah agar ziarah itu membuahkan taqwa dan gerun kepada azab Allah.”

Pergilah melancong! Ia mampu membuka “mata hati” dan menjadi bank pahala jika diisi dengan pengisian yang betul sebagaimana firman Allah:

فَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَشِيدٍ (45) أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ (46)

Ertinya: Maka bukan sedikit negeri yang Kami binasakan kerana kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan yang tersebut - MEREKA MENJADI ORANG YANG ADA HATI YANG DENGANNYA MEREKA DAPAT MEMAHAMI, ATAU ADA TELINGA YANG DENGANNYA MEREKA DAPAT MENDENGAR? (TETAPI KALAULAH MEREKA MENGEMBARA PUN TIDAK JUGA BERGUNA) KERANA KEADAAN YANG SEBENARNYA BUKANLAH MATA KEPALA YANG BUTA, TETAPI YANG BUTA ITU IALAH MATA HATI YANG ADA DALAM DADA (al-Hajj [22:45-46]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...