Saturday, January 28, 2017

RAHMAT RASULULLAH SAW MENGHALANG ANGIN AZAB

RAHMAT RASULULLAH SAW MENGHALANG ANGIN AZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Adakalanya ia menjadi teman pembantu manusia yang sangat baik dan kadangkala ia boleh menjadi musuh pemusnah yang sangat dahsyat. Itulah hakikat satu makhluk Allah yang bernama Angin. Ia boleh menjadi teman pembawa rahmat sebagaimana firman Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ كَالْأَعْلَامِ (32) إِنْ يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَى ظَهْرِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ (33)

Ertinya: Dan antara tanda kekuasaanNya ialah kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan. JIKA DIA KEHENDAKI, DIA MENGHENTIKAN TIUPAN ANGIN, MAKA TINGGALAH KAPAL ITU TERAPUNG DI MUKA LAUTAN. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda (yang besar pengajarannya) bagi setiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur (al-Syura [42:32-33]).

Apabila angin diarahkan menjadi komando pemusnah, manusia akan menjadi kerdil seperti semut sebagaimana bencana yang menimpa kaum ‘Ad:

كَذَّبَتْ عَادٌ فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (18) إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُسْتَمِرٍّ (19) تَنْزِعُ النَّاسَ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُنْقَعِرٍ (20)

Ertinya: (Demikian juga) kaum ‘Ad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaranKu! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH HANTAR KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG KENCANG, pada hari nahas yang berlanjutan; Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang pohon kurma yang terbongkar (al-Qamar [54:18-20]).

Dalam perang Ahzab yang berlaku pada tahun kelima Hijri, Rasulullah SAW dan umat Islam Madinah digoncang keras oleh serangan musuh yang mengepung Madinah. Allah kemudiannya menghantar angin kencang lagi sejuk yang memporak perandakan kepungan musuh. Akibatnya mereka pulang dengan kecewa mengigit jari tidak mencapai hasrat di hati. Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا (9)

Ertinya: Wahai orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera bersekutu, LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT (YANG KENCANG) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan (al-Ahzab [33:9]).

Apabila mengenang kejahatan serta busuk hati pihak musuh yang tidak putus-putus menyusahkan Rasulullah SAW dan Islam, kita mungkin terfikir mengapa tidak Allah musnahkan terus para musuh baginda SAW dengan renggutan ribut seperti kaum ‘Ad? Biar sahaja semua anggota tentera bersekutu menjadi bangkai bergelimpangan seperti pokok kurma putus pucuk?

Alhamdulillah! Soalan ini  dijawab kemas oleh Imam Ibn Kathir ketika mengulas ayat 25 surah al-Ahzab. Beliau berkata:

ولولا أن جعل الله رسوله رحمة للعالمين، لكانت هذه الريح عليهم أشد من الريح العقيم على عاد، ولكن قال الله تعالى: وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Ertinya: Kalaulah Allah tidak menjadikan RasulNya ini sebagai (pembawa) Rahmat untuk sekelian alam (termasuklah rahmat kepada orang yang tidak beriman seperti anggota pasukan bersekutu), sudah pasti angin ribut yang melanda mereka akan menjadi lebih dahsyat daripada angin ribut yang pernah memusnahkan kaum ‘Ad. Akan tetapi ia tidak berlaku kerana Allah berfirman: DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENYEKSA MEREKA, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun) (al-Anfal [8:33]) (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Inilah antara kelebihan Rasulullah SAW yang tidak kita sedari. Kasih dan cinta Allah kepada baginda menjadi sebab terhalangnya azab dari jatuh menjunam kepada penduduk bumi. Ya Allah! Berikan kami rasa cinta taat dan kepada RasulMu agar cinta itu menjadi sebab kami mendapat cintaMu dan kemuliaan di akhirat kelak. Firman Allah:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir (Ali ‘Imran [3:31-32]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...