Saturday, December 10, 2016

SYAIRNYA BERISI TAWHID TAPI ORANGNYA KUFUR

SYAIRNYA BERISI TAWHID TAPI ORANGNYA KUFUR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:224-226]) pada 14 April 2015. Antara isunya adalah celaan Allah kepada sesetengah penyair. Juga kisah penyair terkenal Quraysh Umayyah bin Abi al-Salt (أمية بن أبي الصلت) .

“Elit dan ekslusif.” Itulah gambaran terbaik untuk jawatan pawang dan penyair pada orang Arab jahiliah. Keduanya ada “Faktor X yang sangat berbisa” yang tidak dimiliki orang lain. Pawang mampu meramal kerana sahabatnya adalah jin pencuri berita langit, manakala penyair pula bijak menyusun bahasa mengatur madah memuji atau mencela seseorang. Sekali penyair membuka mulutnya, yang dipuji langsung mabuk dan terapung di awangan. Yang dipuji sanggup berhabis harta membayar madah si penyair. Yang dicela pula langsung jatuh tersungkur sedih dan malu menerima celaan si penyair. Benar kata pepatah lidah setajam pisau.

Pada zaman Rasulullah, syair adalah satu senjata yang digunakan untuk menyerang baginda dan Islam. Antara contoh penyair Quraysh yang galak menyerang baginda SAW dan orang Islam adalah Abdullah ibn al-Ziba’riyy. Beliau kemudiannya memeluk Islam selepas pembukaan kota Mekah (al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah). Kelancangan madah penyair dicela Allah:

وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ (224) أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ (225) وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ (226)

Ertinya: Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? (al-Syu’ara’ [26:224-226]).

Antara penyair Quraysh yang terkenal juga adalah Umayyah bin Abi al-Salt. Baginda SAW sangat suka mendengar rangkap syairnya. Pada suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepada seorang sahabatnya:

هَلْ مَعَكَ مِنْ شِعْرِ أُمَيَّةَ بْنِ أَبِي الصَّلْتِ شَيْءٌ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ هِيهْ فَأَنْشَدْتُهُ بَيْتًا فَقَالَ هِيهْ ثُمَّ أَنْشَدْتُهُ بَيْتًا فَقَالَ هِيهْ حَتَّى أَنْشَدْتُهُ مِائَةَ بَيْتٍ

Ertinya: Adakah kamu menghafaz syair Umayyah bin Abi al-Salt? Sahabat itu menjawab: Ya! Rasulullah berkata: Bacakanlah! Sahabat itu membacanya serangkap. Rasulullah berkata: Sambunglah lagi. Kemudiannya sahabat itu membacanya lagi serangkap. Baginda berkata lagi: Teruskan! Sahabat itu kemudiannya meneruskan bacaan syairnya sehingga mencecah 100 rangkap (Sahih Muslim).

Rasulullah SAW sangat suka mendengar syair Umayyah yang penuh berisi dengan Tawhid. Dalam sebuah hadith baginda menyebut:

وَكَادَ أُمَيَّةُ بْنُ أَبِي الصَّلْتِ أَنْ يُسْلِمَ

Ertinya: Hampir sahaja Umayyah bin Abi al-Salt itu Islam (Sahih al-Bukhari).

Mengapa baginda berkata begitu? Rupanya Umayyah adalah antara orang Mekah yang beragama Hanif iaitu agama peninggalan nabi Ibrahim AS. Beliau banyak keluar mencari agama Tawhid sehingga ada yang mengatakan beliau juga beragama Nasrani. Beliau pernah bermusafir dengan Abu Sufyan dan dalam kisah musafirnya dia memang mengakui berita kemunculan Rasulullah SAW. Selepas kebangkitan Rasulullah SAW, Umayyah tidak beriman kerana menjaga kepentingan peribadinya. Beliau mati kesedihan selepas mendapat berita kematian anak saudara kesayangannya di pihak Musyrikin dalam perang Badar (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Sebahagian ulama Tafsir memasukkan nama Umayyah dalam celaan Allah kepada si alim yang bengkok pada ayat ini (Tafsir al-Tabari):

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آَتَيْنَاهُ آَيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ (175) وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (176)

Ertinya: Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), “KHABAR BERITA SEORANG YANG KAMI BERI KEPADANYA (PENGETAHUAN MENGENAI) AYAT-AYAT (KITAB) KAMI. KEMUDIAN IA MENJADIKAN DIRINYA TERKELUAR DARI MEMATUHINYA,” lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (al-A’raf [7:175-176]).

Sungguh! Bakat menulis, pidato, bersyair dan bermadah adalah anugerah Allah. Manusia yang dianugerahi bakat ini mampu melebarkan sayap dakwah seluas mungkin. Lihat sahaja pena dan karya HAMKA. Membaca tulisannya terasa hidup dan menusuk jiwa. Jika kita dianugerahkan bakat ini gunakanlah ia sebaik mungkin untuk Islam semoga ia menjadi sebab bertambah berat neraca timbangan amal soleh kita di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...