Thursday, December 15, 2016

PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT CARA RASULULLAH SAW

PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT CARA RASULULLAH SAW

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jika rakyat semakin kurus kerana desakan kemiskinan, sangat tidak kena jika ada pemimpin terkena kencing manis kerana terlebih lemak di badan. Jika rakyat cuma makan sesuap nasi sehari, sangat buruk rupanya jika limpahan makanan dari dapur sesetengah pemimpin terpaksa dibuang ke dalam tong sampah.

Susah sama dirasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itu adalah pepatah Melayu yang sangat Islamik. Mari kita lihat sebuah peristiwa yang menggambarkan sikap pemimpin berjiwa rakyat yang sebenar ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam perang Badar.

Kelengkapan tentera Islam dalam perang Badar sangat Dhaif. Jumlah kuda yang dimiliki umat Islam cuma 2 ekor iaitu milik al-Zubayr bin al-‘Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad. Unta pula cuma 70 ekor yang ditunggang secara berganti-ganti oleh para tentera muslimin. Sikap bertimbang rasa Rasulullah SAW ketika bergantian menunggang unta ini dilaporkan oleh Abdullah ibn Mas’ud:
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ زَمِيلَهُ يَوْمَ بَدْرٍ عَلِيٌّ وَأَبُو لُبَابَةَ فَإِذَا حَانَتْ عُقْبَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَا ارْكَبْ يَا رَسُولَ اللَّهِ حَتَّى نَمْشِيَ عَنْكَ فَيَقُولُ مَا أَنْتُمَا بِأَقْوَى مِنِّي وَلَا أَنَا بِأَغْنَى عَنْ الْأَجْرِ مِنْكُمَا

Ertinya:  Abdullah bin Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bergilir menunggang unta bersama Abu Lubabah dan Ali bin Abi Talib dalam perang Badar. Apabila habis giliran baginda menunggang unta, kedua sahabat itu berkata: “Tungganglah lagi wahai Rasulullah, biar kami berjalan (sebagai ganti giliranmu berjalan).” Baginda menjawab: “Kamu berdua tidak lebih kuat pun berbanding aku (kamu berdua juga perlu rehat), dan aku juga sangat berhajat kepada pahala seperti kamu berdua (Musnad Ahmad).

Subhanallah! Saya rindukan pemimpin sehebat Rasulullah SAW. Rendah diri, sanggup berkongsi susah dengan para sahabat secara sama rata walau usia baginda pada peristiwa ini sudah mencecah 55 tahun dan para sahabatnya jauh lebih muda. Marilah kita berdoa agar dikurniakan pemimpin yang SANGGUP SECARA HAKIKI BERKONGSI RASA SUSAH DENGAN RAKYAT JELATA dan bukannya bersusah di depan kamera untuk paparan propaganda media.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...