Tuesday, December 13, 2016

MU'ALAF YANG MENGHIDUPKAN SUNNAH NABI

MU’ALAF YANG MENGHIDUPKAN SUNNAH NABI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Hebat sekali! Walaupun baru sebulan mengenali Islam, sudah berjaya menghayati 3 Sunnah utama Rasulullah SAW.”

Sunnah atau amalan Rasulullah SAW sangat banyak. Walaupun begitu, ada 3 Sunnah baginda SAW yang sering dilepas pandang oleh umat Islam iaitu menuntut ilmu secara berterusan, menjaga akhlak dan berdakwah kepada orang yang “BELUM ISLAM.”

Nota Tafsir kali ini akan menceritakan kisah saudara baru atau seorang Mu’alaf yang baru sebulan memeluk Islam tetapi sudah berjaya menghayati ketiga-tiga Sunnah Rasulullah SAW yang dinyatakan di atas. Subhanallah! Kesan penghayatannya terhadap ketiga Sunnah itu juga sangat luar biasa!

Riwayat kisah saya ini bersambung sanadnya (rantai periwayatannya) kepada murid saya yang juga saudara baru bernama Abdullah atau Santiago Solah Mora. Santiago yang berasal dari Colombia adalah bekas pelajar saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Santiago pernah menceritakan kisah seorang mu’alaf bernama Ann Spaulding yang memeluk Islam di Amerika Syarikat sebulan sebelum peristiwa berdarah 11 September 2001 yang memusnahkan bangunan World Trade Centre di Amerika Syarikat.

Selepas peristiwa 11 September, umat Islam di Amerika berhadapan sentimen anti Islam yang dahsyat. 3 hari selepas peristiwa itu, iaitu pada 14 September 2001, beliau mengunjungi sebuah pusat membeli belah bagi mencari keperluan harian. Kehadirannya yang lengkap bertudung membangkitkan kemarahan seorang lelaki kulit putih dalam pusat membeli belah yang sama, lalu seakan orang gila lelaki itu melanggar Ann Spaulding dengan troli barang. Akibatnya, Ann Spaulding tersungkur ke lantai dan sebuah rak berhampiran jatuh menimpanya. Serangan itu mengakibatkan Ann Spaulding mengalami kecederaan di kepala, belakang, buku lali dan sebelah kakinya.

Lelaki tersebut ditangkap oleh pengawal keselamatan pusat membeli belah tersebut dan bakal berhadapan hukuman penjara. Lelaki itu juga sangat terkejut apabila mendapati Ann Spaulding bukanlah seorang wanita Arab, tetapi bekas veteran perang yang berasal dari Amerika. Bagi sesetengah penduduk Amerika, veteran perang adalah hero yang tidak sepatutnya disentuh apatah lagi dicederakan sedemikian rupa.

Apa yang sangat mengejutkan adalah Ann Spaulding mempamerkan akhlak Muslim yang terbaik apabila memberikan lelaki itu 2 pilihan, sama ada merengkok dalam penjara atau menerima syarat damai darinya. Siapa tahu, syarat damai yang ditawarkan Ann Spaulding menjadi sebab lelaki tersebut mendapat hidayah Islam pada kemudian hari. Ann Spaulding tidak “kedekut dakwah”. Dia ingin berkongsi kelazatan hidayah Islam yang sudah dikecapinya dengan penyerangnya. Bagaimana caranya? Dakwaan terhadap penyerangnya akan digugurkan jika dia sanggup menghadiri 10 sesi pengenalan kepada Islam. Bimbangkan hukuman yang bakal dihadapinya, lelaki itu memilih untuk mengikuti 10 sesi kelas pengenalan mengenai Islam.

Dengan izin Allah, lelaki itu akhirnya tertarik dengan Islam dan meneruskan pengajiannya tentang Islam walaupun setelah selesai 10 sesi yang dikontrakkan. Akhirnya kira-kira 6 bulan selepas itu (pada bulan Februari 2002) beliau memeluk Islam dan bergiat sebagai sukarelawan dakwah di Bandar tempat tinggalnya. Menurut Ann Spaulding, setiap kali melihat parut luka di badannya, dia mengucapkan syukur kepada Allah kerana luka itu menjadi sebab islamnya seorang lelaki yang pada asalnya membenci Islam.

Kisah beliau ini boleh dibaca dari link ini:

http://islamicbulletin.org/services/new_muslims/ann.htm

Subhanallah! Walaupun baru berusia “sebulan jagung” dalam Islam, Ann Spaulding sudah dapat menghayati hikmah akhlak Islam yang disinggung Allah dalam ayat ini:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Ertinya: Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (Fussilat[41:34]).

Tindakan Ann Spaulding yang membuka pintu diplomasi dakwah bersulam akhlak sangat luar biasa kesannya. Penyerangnya yang berstatus “belum Islam” bertukar menjadi Muslim. Beliau juga menjadikan syarat 10 sesi pengenalan kepada Islam sebagai “JAMBATAN ILMU” yang menghubung jiwa penyerangnya kepada Islam. 3 Sunnah ini iaitu menuntut ilmu, akhlak mulia dan dakwah kepada yang belum Islam sebenarnya sangat dekat dengan peribadi Rasulullah SAW.  Bahkan ia adalah antara perjuangan utama sepanjang hidup baginda. Umat Melayu di Tanah Melayu juga mengenal Islam kerana Sunnah dakwah kepada belum Islam yang dibawa oleh pendalwah Islam silam ke nusantara.

Kita semua patut berasa malu dengan orang seperti Ann Spaulding, walaupun masih baru dalam Islam, beliau sudah berjaya menarik orang “belum Islam” kepada Islam dengan akhlaknya. Sungguh! Akhlak adalah bahasa dakwah yang tidak bersuara, namun mempunyai suara yang sangat kuat sehingga mampu menerobos masuk jauh ke dalam hati. Selain itu, akhlak mulia juga menjadi tiket mudah ke syurga sebagaimana janji Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

Ertinya: Abu Hurayrah menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang perkara terbanyak yang membawa manusia ke syurga, lalu baginda bersabda: Sifat taqwa dan AKHLAK MULIA (Sunan al-Tirmidhi).

Ayuh kita sama-sama semarakkan 3 Sunnah Rasulullah ini agar umat menjadi semakin ramai dengan kualiti iman, ilmu dan akhlak sejati. Islam itu bukan hak eksklusif bangsa kita sahaja. Allah mengutusnya kepada semua manusia tanpa mengira bangsa atau fahaman. Selepas ini jika kita melihat “orang belum Islam” sama ada mereka itu berbangsa India MIC, Cina MCA atau Cina DAP, pandanglah mereka sebagai insan yang berpotensi menjadi Muslim seperti kita. Hari ini mereka belum Islam, boleh jadi kerana bersungguhnya usaha dakwah kita maka siapa tahu esok lusa mereka turut menjadi Muslim sejati. Belajarlah dari sejarah Rasulullah SAW, ramai tokoh yang asalnya berstatus kafir harbi atau musuh Islam bertukar menjadi Mukmin sejati kerana kegigihan dakwah baginda. Siapa lagi yang mahu kita ikut jika bukan baginda Rasulullah SAW.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...