Wednesday, November 9, 2016

SIALMAJAL DAN MALANG PADA BURUNG DALAM SURAH YASIN

SIAL MAJAL DAN MALANG PADA BURUNG DALAM SURAH YASIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:18-19]) pada 8 Mei 2015. Antara isunya adalah kepercayaan sial majal dan malang pada penduduk Antakiyyah.

“Aduh! Ini bahaya! Mengikut petua yang saya belajar, jika burung melintas ke kiri kita bakal berhadapan geruh bahaya di depan sana. Elok kita batalkan perjalanan ini. Biar rugi belanja asal tidak rugi nasib.”

 
Kepercayaan kepada alamat “geruh bahaya” akibat  lintasan haiwan adalah kepercayaan purba. Ia wujud sejak zaman nabi Salih AS dan nabi Musa AS lagi. Walaupun ia tua lagi purba, kekarutannya dipancung putus oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda:

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلَاثًا

Ertinya: Percaya pada sial majal ada burung adalah syirik. Baginda mengulangnya sebanyak 3 kali (Sunan Abu Dawud & Sunan al-Tirmidhi).

Dalam surah Yasin (ayat 13-29) diceritakan kisah penduduk Antakiyyah yang menerima kunjungan 3 sahabat nabi Isa AS yang mengajak mereka kepada penyembahan Allah dan meninggalkan berhala (Tafsir Ibn Kathir). Kedegilan mereka mengundang kemurkaan Allah, lalu mereka diuji dengan kemarau panjang. Setelah merana dengan kemarau itu, mereka melemparkan “punca pembawa sial majal dan malang” kepada 3 utusan Allah itu:

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)

Ertinya: Penduduk bandar itu berkata pula: "SESUNGGUHNYA KAMI MERASA SIAL DAN MALANG DENGAN SEBAB KAMU.” Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Rasul-rasul itu menjawab: "SIAL DAN MALANG KAMU itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau" (Yasin[36:18-19]).

 
Perkataan   تطيرناyang bermaksud “SIAL MAJAL MALANG” berakar dari perkataan “BURUNG.” Mengapa burung?  Ini kerana ia berkait rapat dengan budaya Arab jahiliah yang percayakan sial majal dan malang berpunca dari “gerakan burung.” Jika mereka terserempak dengan burung yang terbang ke kiri, itu petanda sial majal lagi malang. Sebarang hasarat atau aktiviti perlu segera ditangguh. Jika sang burung melintas ke arah kanan, itu tanda baik dan untung (Syarh Sahih Muslim Imam al-Nawawi).

Bagai dikata, budaya bodoh ini sudah lama wujud semenjak zaman nabi Salih AS:

 
قَالُوا اطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَنْ مَعَكَ قَالَ طَائِرُكُمْ عِنْدَ اللَّهِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ

 
Ertinya: Mereka (kaum Thamud) menjawab: "KAMI BERASA SIAL MAJAL DAN MALANG” dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikutmu!" Nabi Soleh berkata: Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dia lah yang menentukannya, bukannya aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)" (al-Naml[27:47

Juga pada zaman nabi Musa AS:
 

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلَا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

 
Ertinya: Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan “SIAL MAJAL DAN MALANG ITU” disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (al-A’raf[7:131]).

Ia juga wujud pada budaya Melayu. Pernah saya dengar semasa di kampong, ada yang mundur ke belakang membatalkan hasrat di hati setelah terserempak dengan biawak yang melintas ke arah kiri.

Sabda Rasulullah SAW di atas menjadi bukti bagaimana Islam mengajar umatnya agar sanitifik dan tidak khurafat. Sangat mustahil kuasa Allah dalam penentuan baik buruk takdir hambaNya bergantung hanya kepada pergerakan si burung atau mana-mana haiwan. Biarkanlah si burung atau si biawak bergerak ke arah mana pun kerana itu memang laluannya.

 
Kesimpulannya, bersandarlah kepada Allah, bukan gerakan biawak, burung atau kewujudan tangkal azimat. Inilah faedahnya jika ayat al-Quran “DISANTAP MELALUI PINGGAN TAFSIR”, banyak sekali khasiat penuh hikmah bakal kita rasa dan temui. Ayuhlah kita beralih dari budaya “kakak tua” dalam membaca Yasin kepada pembacaan berkualiti secara tadabbur.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-
dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
 

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...