Friday, November 4, 2016

PERLANTIKAN HARUN AS BUKAN KEBETULAN

PERLANTIKAN HARUN AS BUKAN KEBETULAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:34-35]) pada  3 November 2015.

"Saya tak pandai berniaga Ustaz! Tapi terus terang saya cakap, saya dapat bisnes ini sebab kroni. Saya kenal rapat dengan seorang VIP. "

Pernah seorang murid mengaku sedemikian kepada saya. Itulah lumrah manusia, memang cenderung melampiaskan ni'mat kepada orang yang rapat dan kita kenali. Dalam bahasa sinis politik ia disebut kronisme dan nepotisme. Kelas malam tadi (3 November 2015) membicarakan kisah nabi Musa AS “melobi” nama nabi Harun AS sebagai pembantunya.

Ni'mat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah pangkat kenabian. Lebih istimewa ia bukan sesuatu yang boleh dilobi kerana Pemberi anugerah itu adalah Pemilik alam semesta:

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Ertinya:  Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu (al-An'am [6:124]).

Tapi lain perihalnya dengan Nabi Harun AS. Baginda mendapat ni'mat ini setelah ia disarankan oleh nabi Musa AS. Seakan dikata "kabelnya" kuat sehingga saranan itu diterima dan Harun terus dilonjak menjadi seorang Rasul:

وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا فَأَرْسِلْهُ مَعِيَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِي إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُكَذِّبُونِ (34) قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَانًا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا بِآَيَاتِنَا أَنْتُمَا وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الْغَالِبُونَ (35)

Ertinya: Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku". Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang" (al-Qasas [28:34-35]).

Dalam ayat lain diulang sebut kisah ini:

وَوَهَبْنَا لَهُ مِنْ رَحْمَتِنَا أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi (Maryam [19:53]).

Memang Nabi Musa AS bukan calang-calang nabi, baginda sangat dipandang Allah sehingga saranan perlantikan Harun AS terus diterima tanpa tangguh. Sehingga ada ulama mengaitkan keistimewaan Musa AS yang sangat dipandang Allah ini dengan maksud firman Allah (Tafsir Ibn Kathir):

وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا

Ertinya: Dan adalah (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah (al-Ahzab [33:69]).

Pun begitu, perlu difahami pemilihan nabi Harun AS bukan semata-mata kerana saranan Musa, tapi berkait rapat dengan kualiti rohani nabi Harun AS itu sendiri. Memang semua yang telah, sedang dan bakal berlaku ada dalam ilmu Allah jauh sebelum penciptaan alam ini lagi:

وَمَا مِنْ غَائِبَةٍ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata (Luh Mahfuz) (al-Naml [27:75]).

Allah menggerakkan Musa mencalonkan Harun kerana Harun adalah manusia yang paling layak dari sudut rohani. Sungguh logik dikatakan bonda mereka telah mendidik kedua anaknya ini dengan akhlak tertinggi untuk persiapan menjadi nabi sebagaimana ilham Allah kepada ibu mereka ketika Musa baru dilahirkan:

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Ertinya: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, DAN KAMI AKAN MELANTIKNYA MENJADI SALAH SEORANG DARI RASUL-RASUL KAMI (al-Qasas [28:7]).

Di sini saya turunkan 2 ayat yang menyokong teori saya ini:

1) Nabi Harun sangat warak dan halus jiwanya. Dalam peristiwa penyembahan patung anak lembu Bani Isra'il, baginda cuba sedaya mampu tidak berkeras dengan Bani Isra’il dan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. Kisahnya, ketika nabi Musa AS naik ke Gunung Tur Sinai bermunajat kepada Allah, nabi Harun diamanahkan menjaga Bani Isra'il. Kelembutan dan kehalusan jiwa baginda dimanipulasi oleh Bani Isra'il sehingga baginda sendiri hampir terbunuh. Setelah Musa pulang, Harun menerangkan apa yang berlaku:

قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا (92) أَلَّا تَتَّبِعَنِ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي (93) قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي (94)

Ertinya: (Sekembalinya), Nabi Musa berkata: "Wahai Harun, apakah halangannya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat, "Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?" Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “ENGKAU TELAH MEMECAH-BELAHKAN KAUM BANI ISRAIL SESAMA SENDIRI, DAN ENGKAU TIDAK BERHATI-HATI MENGAMBIL BERAT PESANANKU!” (Taha [20:92-94]).

Namun begitu, memiliki hati yang halus dan baik ada kalanya tidak sesuai untuk berhadapan dengan manusia degil seperti Bani Isra’il. Apakan daya, Musa adalah Musa dan Harun adalah Harun.

2) Maryam digelar sebagai adil perempuan Harun AS:

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ قَالُوا يَا مَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا (27) يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا (28)

Ertinya: Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya (Nabi Isa AS), mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! "WAHAI SAUDARA PEREMPUAN HARUN, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"  (Maryam [19:27-28]).
 
Jarak zaman antara nabi Harun AS dan Maryam bonda nabi Isa AS sangat jauh. Lalu mengapa beliau digelar sebagai adik perempuan Harun? Para ulama mempunyai beberapa pendapat antaranya, (1) pada zaman Maryam sebarang kesolehan akan disandarkan kepada nabi Harun AS. Pada zaman itu juga ada seorang lelaki soleh bernama Harun yang sangat kuat ibadat. Pada hari kematiannya puluhan ribu mengikuti jenazahnya sebagai tanda hormat. Kesolehan Maryam dianggap setanding kesolehan lelaki soleh yang bernama Harun itu sehingga mereka berdua dikiaskan sebagai adik beradik, (2) Maryam berasal keturunan nabi Harun AS, (3) Maryam sangat tekun beribadat sehingga digelar adik perempuan nabi Harun AS yang juga sangat soleh, warak lagi kuat beribadat (Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).

Kesimpulannya, pemilihan nama Harun AS sebagai pembantu nabi Musa AS menunjukkan baginda memang seorang yang berkualiti lagi layak menjawat jawatan tersebut dan bukannya bersandar kepada aspek kronisme atau nepotisme semata. Lalu gandingan 2 Rasul hebat ini menjadi bukti betapa kerja berpasukan “TEAM WORK” sangat penting dalam menjayakan usaha dakwah. Ya Allah! Berikanlah kepada kami pembantu untuk menegakkan agama ini sehebat gandingan Musa dan Harun AS.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...