Sunday, November 20, 2016

PARA NABI KEMARUK DOA?

PARA NABI KEMARUK DOA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Ibrahim [14:35]) pada 16 November 2016. Antara isunya adalah sifat para nabi seperti nabi Ibrahim AS yang sangat kemaruk doa.

Suka bermanja dengan Allah! Itulah perkataan paling sesuai menggambarkan sikap para nabi. Sikap ini sewajibnya dicontohi oleh semua manusia kerana para nabi adalah ikutan yang wajib dijadikan panduan sebagaimana firman Allah:

أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْعَالَمِينَ

Ertinya: MEREKA (PARA NABI) ITULAH, ORANG YANG TELAH DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH, MAKA TURUTLAH OLEHMU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN PETUNJUK MEREKA; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya (al-An’am [6:90]).

Tambahan pula Allah berulang kali mengarahkan kita agar meminta dariNya:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Ertinya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan “POHONKANLAH KEPADA ALLAH AKAN LIMPAH KURNIANYA.” Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala sesuatu (al-Nisa’ [4:32]).

Dalam ayat lain, secara lebih tegas Allah menyebut betapa manusia yang tidak mahu meminta kepadaNya adalah manusia sombong yang bakal dihumban ke neraka dalam keadaan hina:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Ertinya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. SESUNGGUHNYA ORANG YANG SOMBONG TAKBUR DARIPADA BERIBADAT DAN BERDOA KEPADAKU, AKAN MASUK NERAKA JAHANNAM DALAM KEADAAN HINA (Ghafir [40:60]).

Sungguh! Doa adalah lambang kehambaan yang sebenar! Setelah memahami prinsip ini maka kita tidak akan berasa hairan jika melihat para nabi memang sangat kemaruk berdoa. Banyak sekali ayat al-Quran yang menyebut para nabi sentiasa larut hidup mereka dalam doa sedangkan tanpa doa sekalipun Allah akan mencukupkan keperluan mereka. Dalam nota kali ini saya utarakan sifat kemaruk berdoa yang dimiliki oleh nabi Ibrahim dan Isma’il AS dalam peritiwa pembinaan Ka’abah:

1) Berdoa sebelum memulakan aktiviti pembinaan Ka’abah:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH (NEGERI MAKKAH) INI, NEGERI YANG AMAN SENTOSA, DAN BERIKANLAH REZEKI DARI BERBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN KEPADA PENDUDUKNYA, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali" (al-Baqarah [2:126]).

2) Doa ketika meletakkan batu asas Ka’abah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, SAMBIL KEDUANYA BERDOA DENGAN BERKATA: "WAHAI TUHAN KAMI! TERIMALAH DARIPADA KAMI (AMAL KAMI); SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI; (al-Baqarah [2:127]).

3) Mengisi masa pembinaan Ka’abah dengan berbagai doa yang hebat merangkumi doa penyerahan diri secara mutlak kepada Allah, doa agar mendapat panduan ibadat yang betul dari Allah, doa taubat dan doa kelahiran seorang rasul bagi penduduk Mekah suatu hari nanti:

(127) رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (128) رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (129)

Ertinya: "WAHAI TUHAN KAMI! JADIKANLAH KAMI BERDUA: ORANG ISLAM (YANG BERSERAH DIRI) KEPADAMU, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan TUNJUKKANLAH KEPADA KAMI SYARIAT DAN CARA IBADAT KAMI, DAN TERIMALAH TAUBAT KAMI; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; "Wahai Tuhan Kami! UTUSLAH KEPADA MEREKA SEORANG RASUL DARI KALANGAN MEREKA SENDIRI, yang akan membacakan kepada mereka ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Baqarah [2:128-129]).

4) Berdoa agar Mekah dianugerahi keamanan berterusan dan keturunan baginda selamat dari musibah penyembahan berhala:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH NEGERI MAKKAH INI NEGERI YANG AMAN, DAN JAUHKANLAH DAKU DAN ANAKKU DARI PERBUATAN MENYEMBAH BERHALA (Ibrahim [14:35]).

Aduhai Abdullah! Jika nabi Ibrahim dan nabi Isma’il AS yang sangat istimewa lagi dekat dengan Allah pun kemaruk berdoa kepada Allah dalam setiap gerak langkah mereka, maka kita ini sebagai insan yang serba kekurangan pastinya jauh lebih wajib berdoa kepada Allah. Ayuhlah kita semua mengikut Sunnah para nabi ini agar kita turut menjadi ahli kelab mereka di dunia dan di akhirat kelak. Insya-Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...