Tuesday, November 1, 2016

MULIA SUNGGUH AKHLAKMU YA RASULULLAH SAW! TERHARU MEMBACA KISAH INI!

MULIA SUNGGUH AKHLAKMU YA RASULULLAH SAW! TERHARU MEMBACA KISAH INI!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Zayd Ibn Harithah adalah anak angkat Rasulullah SAW yang sangat baginda sayangi. Keakraban mereka terserlah sehingga orang Mekah menamakannya dengan nama Zayd Ibn Muhammad sehinggalah turunnya ayat 5 surah al-Ahzab yang melarang menasabkan nama anak angkat kepada bapa angkat (Tafsir al-Tabari). Beliau adalah hamba abdi yang dihadiahkan oleh Khadijah kepada baginda Rasulullah SAW. Setelah ibu bapa Zayd mengetahui lokasinya, mereka mengumpulkan sejumlah harta untuk menebus Zayd dari Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW memberikan tawaran yang luar biasa kepada keluarga Zayd iaitu menyerahkan keputusan kepada Zayd sama ada ingin kembali kepada keluarganya atau kekal bersama baginda. Sekiranya Zayd memilih untuk kembali kepada keluarganya, baginda Rasulullah SAW sedia menyerahkan Zayd tanpa sebarang tebusan. Setelah pilihan dibuat, Zayd memilih untuk bersama Rasulullah dan tindakannya itu menghairankan kedua ibu bapanya yang lantas berkata:

“ Wahai Zayd! Adakah engkau memilih kehambaan berbanding kebebasan dan keluargamu? “

Zayd menjawab: “ Ya, kerana aku telah melihat sesuatu yang istimewa dari lelaki ini (baginda Rasulullah SAW) yang menyebabkan aku tidak akan memilih seorang pun selain dia.”

Baginda Rasulullah lantas membawa Zayd keluar berhampiran dengan Hajar al-Aswad seraya berkata: “ Aku menjadikan kamu semua saksi bahawa Zayd ini (aku anggap) adalah anakku, dia akan mewarisi dariku dan aku juga akan mewarisi darinya”.

Melihat keadaan itu, keluarga Zayd berasa tenteram dan pulang ke kampong halaman mereka. Bermula dari saat itu beliau dikenali sebagai Zayd Ibn Muhammad. Baginda SAW telah mengahwinkan Zayd dengan Ummu Ayman iaitu pengasuh baginda SAW. Ummu Ayman kemudiannya melahirkan Usamah Ibn Zayd dan Usamah amat disayangi baginda SAW sehingga digelar sebagai al-Hibb Ibn al-Hibb (yang amat dikasihi anak lelaki kepada yang amat dikasihi) (Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma’ad dan Muhd Abu Syahbah, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah,ms 233 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Isabah Fi Ma’rifat al-Sahabah)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...