Wednesday, November 23, 2016

JAWAPAN USTAZ SONHADJI TENTANG POKOK ZAQQUM

JAWAPAN USTAZ SONHADJI TENTANG POKOK ZAQQUM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Saffat [37:62-66]) pada 13 November 2015. Antara isunya adalah keajaiban ciptaan Allah yang mencipta sebatang pokok dalam api neraka.

“Tangan serta kaki anda diikat kemas, lalu seorang lelaki bertubuh perkasa memegang kepala dan membuka mulut anda seluas-luasnya.  Bahagian tepi mulut sudah tercarik. Anda cuba meronta dan melawan. Lelaki perkasa itu lantas menghentak kepala anda dengan sikunya yang keras. Mata anda berpinar kesakitan. Datang pula lelaki perkasa lain membawa beberapa biji durian sebesar penumbuk, lalu disumbat anak durian itu ke dalam mulut anda secara paksa. Aduh! Sakitnya tak mampu digambarkan lagi. Pada ketika itu, mulut anda pecah berkecai, lidah luka parah, pipi tembus ditikam duri durian dari dalam mulut. Tidak cukup dengan itu, para penyeksa itu berterusan merodok masuk dengan kayu supaya buah durian itu masuk secara paksa melepasi kerongkong anda sehingga mencecah ke dalam perut.”

Gambaran seksaan di atas masih remeh jika mahu dibandingkan dengan seksaan akhirat. Jika kita diseksa dengan sumbatan biji durian ke dalam mulut serta simbahan besi panas, sudah pasti ajal segera menyapa. Bila mati menjengah maka hilanglah segala derita, tapi bukan begitu perihalnya di akhirat kelak. Sifat mati pada semua makhluk sudah Allah bunuh. Apabila mati sudah dibunuh, maka kesakitan seksaan akan terus dirasa selamanya:

مِنْ وَرَائِهِ جَهَنَّمُ وَيُسْقَى مِنْ مَاءٍ صَدِيدٍ (16) يَتَجَرَّعُهُ وَلَا يَكَادُ يُسِيغُهُ وَيَأْتِيهِ الْمَوْتُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ وَمِنْ وَرَائِهِ عَذَابٌ غَلِيظٌ (17)

Ertinya: Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan dia akan diberi minum dari air (nanah) danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka). Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), “DAN DIA DIDATANGI (PENDERITAAN) MAUT DARI SEGALA ARAH, SEDANG IA TIDAK PULA MATI (SUPAYA TERLEPAS DARI AZAB SEKSA ITU)”; dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat (Ibrahim [14.16-17]).

Salah satu seksaan ahli neraka yang sangat menakutkan adalah seksaan pokok Zaqqum.

أَذَلِكَ خَيْرٌ نُزُلًا أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ (62) إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ (63) إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ (64) طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ (65) فَإِنَّهُمْ لَآَكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ (66)

Ertinya: Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).  Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; Buahnya seolah-olah kepala syaitan;  Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya (al-Saffat [37.62-66]).

Manusia itu berbagai ragam. Ketika berlakunya peristiwa Isra’ serta Mi’raj dan perkhabaran tentang wujudnya sebatang pokok dalam api, keduanya menjadi bahan tawa baru bagi Muysrikin Qurasyh.

“POKOK BOLEH TUMBUH DALAM API YANG MARAK MENYALA? MUHAMMAD MEMANG MENGARUT!”

Mereka kehairanan lantas memomokkan perkhabaran Rasulullah SAW itu sehabis mungkin sehingga Allah merekodkannya dalam ayat lain:

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآَنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau (al-Isra’ [17:60]).

Sekali fikir memang tidak logik, bagaimana pula pokok boleh tumbuh dalam api? Rupanya berita ini menjadi sebab kekufuran mereka bertambah kepada al-Quran. Untuk menjelaskan apakah logiknya kewujudan pokok ini dalam neraka di akhirat kelak saya bawakan jawapan Ustaz Ahmad Sonhadji dalam Tafsir ‘Abr al-Athir (Tafsir al-Quran di Radio).

Sebelum itu, marilah kita berkenalan serba ringkas dengan beliau. Ustaz Ahmad Sonhadji adalah ulama Singapura yang sangat besar jasanya kepada perkembangan Islam di Nusantara. Beliau lahir pada 18 Ogos 1922 di Desa Pengging, daerah Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia. Pada tahun 1927 ketika berusia 5 tahun, beliau telah dibawa mengembara ke Singapura, kemudiannya ke Rengat, Riau dan dibesarkan di sana.  Beliau dijemput Allah pada 12 Ogos 2010.

http://mohamadsofee.blogspot.my/2010/08/belasungkawa-allahyarham-ustaz-ahmad.html

Antara karya utama Ustaz Ahmad Sonhadji adalah kitab Tafsir al-Qurannya yang dibukukan dari siri kuliah Tafsir al-Quran yang dibuat dalam Radio Singapura pada setiap malam Jumaat selama 25 tahun (19 Februari 1959 sehingga 26 April 1984). Sumbangan beliau dikaji pada tahap PhD oleh Prof Datuk Dr. Zulkfili, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (Dr. Zulkifli Mohd Yusoff (2002), A Study of Tafsir ‘Abr al-Athir and Sonhadji’s Methodology In Tafsir al-Qur’an).

Semasa mengulas perihal pokok Zaqqum dalam neraka, Ustaz Ahmad Sonhadji menggunakan logic akal;

"Mereka (penentang maksud ayat ini) tidak tahu bahawa ada banyak perkara dan benda yang tidak telap dibakar oleh api. Umpamanya, sutra sokhriy (pejal) tidak terjejas dibakar oleh api, bahkan kalau dibakar ia semakin bersih. Bahan-bahan yang seperti inilah yang telah dibuat orang baju menjadi pakaian kepada pasukan pemadam api di negeri-negeri yang sudah maju. Orang yang memakai pakaian itu tidak takut masuk ke dalam api yang sedang menyala-nyala, kerana pakaian itu tidak akan terbakar apabila dijilat api. Di muka bumi ini ada banyak perkara yang ajaib demikian juga di lain-lain alam. Sebenarnya dalam bumi ini penuh berisi api, dan yang tidak terkena api hanyalah di kulit bumi di mana kita tinggal dan dapat hidup. Tiap-tiap sepohon kayu atau seketul batu tidak sunyi dari berisi api. Sedangkan air itu sendiri merupakan bahan berapi, kerana lapan persembilan daripadanya mengandungi oksigen sedangkan oksigen itu mudah menyala dengan cepat, dan yang sepersembilan pula mengandungi hidrogen. Maka bumi kita ini ada mengandungi unsur api, air mempunyai api, pohon berisi api, batu juga berapi dan ruang alam tempat kita tinggal ini penuh diselang-selangi oleh api" (Tafsir ‘Abr al-Athir, jil 15, hal 110).

Subhanallah! Tiada yang mustahil pada kuasa Allah. Apa yang penting adalah sejauh mana kita membuka minda dan mata hati untuk memahami serta menerima kebenaran kitab Allah. Kisah kengerian pokok Zaqqum ini bukan sekadar cerita hikayat yang melopongkan mulut, tetapi menjadi penggerun bagi kita agar tidak melanggar perintah Allah di dunia ini. Sungguh! Neraka itu bukanlah tempat yang sepatutnya kita singgah walau sesaat dan buah Zaqqum bukanlah suatu menu yang sepatutnya kita idamkan.

Segala puji bagi Allah yang membuka jawapan mengenai pokok Zaqqum dengan ulama hebat seperti Ustaz Ahmad Sonhadji dan guru saya Prof. Datuk Dr. Zulkifli Yusof. Semoga Allah menjauhkan kita semua dari bayangan pokok Zaqqum dan menempatkan kita bersama dalam syurga di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Mari mengenal Ulama Nusantara yang berjasa utk pengajian Tafsir... tidak dikenali...tapi insya Allah dikenali di langit.. ustaz Ahmad Sonhadji

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...