Sunday, November 13, 2016

JANGAN MEMFITNAH SAHABAT YANG MULIA ITU

JANGAN MEMFITNAH SAHABAT YANG MULIA ITU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:75-77]) pada 12 November 2014. Antara isunya adalah kisah manusia munafiq yang mungkir janjinya kepada Allah.

Si munafiq memang lancar lidahnya menabur janji dan nazar kepada Allah, namun sukar menepati janji dan nazarnya itu. Sikap lidah bercabang mereka ini direkodkan al-Quran agar ianya menjadi tauladan dan sempadan kepada seluruh umat Islam akan bahayanya virus kemunafikan apabila ia mulai hinggap pada hati seseorang:

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آَتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ (75) فَلَمَّا آَتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ (76) فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ (77)

Ertinya: Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh" Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta (al-Tawbah [9:75-77]).

Ketika mentafsirkan ayat di atas, sesetengah ulama Tafsir menamakan si munafiq itu sebagai THA’LABAH BIN HATIB. Kisahnya, Tha’labah asalnya miskin lalu beliau meminta Rasulullah SAW mendoakannya agar dikurniakan rezeki. Berkat doa Rasulullah SAW kambing belaannya membiak dengan banyak sehingga memaksanya mencari kawasan ternak di luar Madinah. Semakin sibuk dengan ternakannya, Tha’labah mulai meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat. Setelah zakat difardhukan kepada Muslimin, Rasulullah SAW menghantar wakilnya untuk mengutip zakat dari Tha’labah tetapi beliau enggan membayar. Tha’labah kemudiannya insaf bertaubat dan bertemu Rasulullah dengan zakatnya, namun ia ditolak oleh Rasulullah. Keadaan ini berterusan sehingga kewafatan baginda. Tha’labah turut mendatangi Abu Bakar dan Umar untuk membayar zakat ternakannya, namun kedua khalifah tersebut menolaknya kerana mengikut tindakan Rasulullah SAW. Akhirnya Tha’labah meninggal dunia secara terhina pada zaman Khalifah ‘Uthman (Tafsir Ibn Kathir).

Kisah ini SANGAT BATIL dan tidak diterima oleh para ulama Hadith atas beberapa sebab:

1) Tha’labah bin Hatib adalah sahabat Rasulullah yang terlibat dengan perang Badar. Para sahabat yang terlibat dengan perang Badar mendapat kedudukan yang sangat istimewa di sisi Allah dan Islam (Mafhum dari hadith Sahih al-Bukhari tentang kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang cuba menghantar berita rahsia ke Mekah sebelum pembukaan kota Mekah).

2) Kebanyakan para ulama Hadith yang mengkaji sanad riwayat tersebut mendapati sanad dan periwayatnya sangat lemah. Dengan itu, kisah ini tertolak.

3) Mustahil Rasulullah SAW menolak taubat orang yang berdosa kerana ia bertentangan dengan sifat Rasulullah SAW yang sangat pengasih.

4) Para ulama sejarah mendapati Tha’labah gugur syahid dalam perang Uhud, lalu bagaimana pula kisahnya meninggal pada zaman ‘Uthman?

Alhamdulillah, sudah ada buku ditulis bagi membersihkan nama sahabat ini oleh “Syeikh Adab Mahmud al-Hamisy” bertajuk “THA’LABAH BIN HATIB AL-SAHABIYY AL-MUFTARA ALAYH - THA’LABAH BIN HATIB SAHABAT YANG DIFITNAH (DIADA-ADAKAN PEMBOHONGAN) KE ATASNYA.”

Kepada para penceramah dan para ustaz di luar sana, berhati-hati dalam menceritakan kisah ini kerana ia secara tidak sedar menjadi suatu kezaliman kepada insan mulia Tha’labah bin Hatib RA. Jika mahu dibandingkan pengorbanan kita kepada Islam berbanding cuma satu hayunan pedang Tha’labah dalam perang Badar, ia seumpama langit dengan bumi. Semoga Alah senantiasa memuliakan sahabat baginda ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...