Tuesday, November 22, 2016

HIKMAH PERKATAAN "POKOK INI DAN POKOK ITU" DALAM KISAH ADAM

HIKMAH PERKATAAN “POKOK INI DAN POKOK ITU” DALAM KISAH ADAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Makin dilarang makin mendesak jiwa untuk dilanggar. Itulah fitrah nafsu yang terkurung dalam tubuh manusia. Apabila dikata “jangan buat itu” atau “jangan sentuh ini”, nafsu manusia meronta-ronta mahu terus melanggar apa yang dilarang atau menyentuh apa yang dihalang. Apabila dikata “jangan buka peti” itu kerana ada rahsia sulit di dalamnya, jiwa terus jadi tidak tenteram mahu segera merobek melihat isinya. Seorang lelaki atau wanita yang berpakaian sendat menutup sebahagian tubuh jauh lebih menggoda mata berbanding tubuh yang tidak berbalut seurat benang. Mengapa agaknya ia berlaku?

Contoh lain yang boleh dilihat adalah hubungan haram antara 2 jantina. Ketika tiada ikatan yang sah, semuanya manis berperisa. Mereka boleh duduk bersama berbual-bual sehari suntuk tanpa jemu. Semua lintasan hati boleh menjadi topik hangat. Setelah hubungan yang haram itu dihalalkan oleh akad yang sah, yang manis mula dirasa tawar dan pahit. Mengapa? Rupanya perkara ini pernah disinggung oleh Allah dalam kisah ayahanda dan bonda kita dalam syurga dahulu. Umum mengetahui, mereka berdua dicipta dan diberi kebebasan untuk meni’mati segala ni’mat syurga MELAINKAN sebatang pokok:

وَيَاآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ فَكُلَا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: "Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI POKOK INI, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang yang zalim" (al-A’raf [7:19]).

Maksud jangan hampiri pokok ini adalah penegasan berganda “USAHKAN MAKAN BUAHNYA, DEKATINYA PUN JANGAN!” Allah sebagai Tuhan berhak menyuruh, melarang atau menetapkan sesuatu dengan Hikmah yang Dia lebih Mengetahui.

Isu utama perbincangan kita dalam nota kali ini adalah “ISIM ISYARAT” atau “KATA GANTI NAMA” yang Allah gunakan pada perkataan “هذه الشجرة – pokok INI” dalam ayat 19 dan perkataan “تلكما الشجرة – pokok ITU dalam ayat 22. Mengapa Allah menggunakan 2 kata ganti nama yang berbeza dalam kedua ayat tersebut, sedangkan keduanya merujuk kepada pokok yang sama? Perkataan “هذه الشجرة – pokok INI” dalam ayat 19 merujuk kepada sesuatu YANG DEKAT, manakala perkataan “تلكما الشجرة – pokok ITU dalam ayat 22 merujuk pula kepada sesuatu  YANG JAUH. Mudahnya, pokok itu disebut SECARA DEKAT ketika mereka mula berdua ditempatkan dalam syurga. Setelah mereka melanggar larangan itu dan memakan buahnya Allah menukar kata ganti nama pokok kepada sesuatu yang JAUH.  Perhatikan firman Allah ini:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ertinya: Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua DARI POKOK ITU, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" (al-A’raf [7:22]).

Subhanallah! Sudah lama saya membaca firman Allah ini, sejak saya mulai menghafaznya pada tahun 1994, namun BARU SEKARANG saya mengetahui rahsianya. Itu pun selepas membaca ulasan Syeikh Dr. Salah Abdul Fattah al-Khalidi seorang ulama Tafsir tersohor dari Jordan, dalam bukunya Sirah Adam (Sejarah Hidup nabi Adam). Ini mafhum ulasan beliau:

“Sebelum makan buah pokok larangan, ia sangat dekat kepada rasa dan nafsu manusia. Inilah yang dikatakan orang “SETIAP YANG DILARANG LEBIH DIKEHENDAKI OLEH JIWA DAN NAFSU.” Setelah melanggar sesuatu arahan dan mulai mengalami impak larangan tersebut (seperti mendapat kemurkaan Allah, berasa diri berdosa serta terlucut pakaian bagi kisah Adam dan Hawwa’), maka desakan jiwa mulai hilang. Yang timbul hanya sesalan. Oleh itu, yang tadinya sangat dikehendaki serta SANGAT DEKAT DENGAN JIWA sudah mulai tawar dan menjadi SANGAT JAUH. Inilah hikmahnya mengapa Allah menukar “ISIM ISYARAT” atau ganti nama pada pokok yang satu ini dari “POKOK INI” kepada “POKOK ITU.” (Sirah Adam Alayahissalam, hal 146).

Mata saya terbeliak luas. Kagum dan tidak terkata dengan kefahaman serta ulasan Syeikh Dr. Salah. Benar sekali, para ulama’ adalah manusia pilihan Allah yang dianugerahi suluhan mata hati kerana ketekunan mereka mengkaji ilmu Allah. Semoga nota kali ini membuka mata hati agar lebih rajin membaca kitab Allah dan menghargai jasa para ulama.’


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...