Sunday, October 16, 2016

MARI BERKENALAN DENGAN 3 JENIS MIMPI

MARI BERKENALAN DENGAN 3 JENIS MIMPI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Apa gerangan maksud mimpiku malam tadi? Nak dibiarkan berlalu sayang rasanya kerana tampak indah bayangannya. Nak dita’bir terlalu rumit seakan tiada punca dan tiada pula hujungnya.”

Soalan ini selalu berlegar dalam minda sejurus pagi menjengah. Ia berlegar seakan mahu membanjiri minda. Apa yang dilihat malam tadi nampak kabur bercampur baur dengan bayangan yang seakan jelas. Hati cuba mencari jawapannya kerana manusia tak mampu menanggung misteri yang terkunci dalam minda. Indah sekali Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Ketika manusia teraba-raba mencari maksud mimpinya, Rasulullah SAW selaku wakil Allah yang bertauliah langsung merungkaikan misteri berkaitan mimpi dengan sabdanya:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ وَالرُّؤْيَا ثَلَاثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنْ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

Ertinya: Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian dari 45 bahagian kenabian. Mimpi itu 3 jenis: (1) Mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira dari Allah, (2) mimpi gangguan dari syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia (Sahih Muslim)

3 jenis mimpi dari hadith tersebut mempunyai unjuran menaik, iaitu dimulai dengan mimpi mainan tidur yang kurang impak kebenaran, mimpi ciptaan musuh azali manusia “syaitan” dan mimpi yang benar untuk orang soleh. Perinciannya adalah:

1) Mimpi mainan tidur. Mimpi jenis ini banyak dipengaruhi oleh emosi dan psikologi orang yang tidur.  Usah dipedulikan mimpi jenis ini kerana ia sekadar pengisi ruang minda di kala mata terlelap. Langsung tidak memberi impak. Anda boleh cuba eksperimen mudah bagi menghadiahkan mimpi ini kepada teman anda. Bagaimana? Siram air kepada teman anda yang sedang nyenyak tidur. Besar kemungkinan mimpinya berkisar dalam lingkungan air.

Saya pernah menonton dokumentari berkaitan ular tedung ganas dari Mesir. Sejurus selepas itu, saya bermimpi sang ular menyeringai ganas ke arah saya. Kuat sekali memori sang ular terpahat dalam minda saya sehingga bayangannya menjengah masuk ke dalam mimpi. Ketika paginya saya pasti sang ular yang muncul dalam mimpi saya adalah imbasan memori ular yang saya tonton dan bukannya “petanda saya didengki atau disihir sesiapa.”

Mimpi jenis ini dipanggil “ADGHATHU AHLAM” atau mimpi mainan tidur sebagaimana jawapan mudah para menteri Mesir menyimpulkan mimpi yang berterusan menghantui sang raja:

وَقَالَ الْمَلِكُ إِنِّي أَرَى سَبْعَ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعَ سُنْبُلَاتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَفْتُونِي فِي رُؤْيَايَ إِنْ كُنْتُمْ لِلرُّؤْيَا تَعْبُرُونَ (43) قَالُوا أَضْغَاثُ أَحْلَامٍ وَمَا نَحْنُ بِتَأْوِيلِ الْأَحْلَامِ بِعَالِمِينَ (44)

Ertinya: Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi". Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah MIMPI YANG BERCAMPUR ADUK, dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu". (Yusuf[12:43-44]).

Ayat di atas menyebut ia adalah mimpi yang bercampur aduk kerana ia sukar dilihat hujung atau pangkalnya. Dalam sekelip mata mimpi jenis ini boleh berubah lokasi, masa dan situasi. Orang yang mendapat mimpi ini ketika sedar pada awal paginya pasti kebingungan kerana mimpinya berserabut dan bercampur aduk. Bahkan perkataan “ADGHATH”  أضغاث   sendiri merujuk kepada himpunan rumput jerami yang berserabut susun aturnya sama seperti serabutnya mimpi jenis ini (Tafsir al-Razi). Oleh itu, usahlah dikisahkan sangat mimpi jenis ini kerana ia hanya bayangan kosong tanpa mesej dari Allah Yang Maha Tinggi. HATTA JIKA ANDA BERMIMPI DIHADIAHKAN KERIS TAMING SARI OLEH DATOK LAKSAMANA HANG TUAH SEKALIPUN, ITU MUNGKIN BERLAKU KERANA MINAT ANDA YANG MENDALAM KEPADA HIKAYATNYA.

2) Mimpi gangguan syaitan. Syaitan sudah mengikat janji akan merosakkan manusia sehingga kiamat. Usaha merosakkan manusia berlaku secara rohani, mental dan fizikal. Serangan mental dan emosi paling mudah syaitan jalankan kerana mereka adalah makhluk yang lain jisimnya. Laluan perjalanan mereka merentas tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Ertinya: Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Pernah pada suatu pagi, saya menerima panggilan telefon dari seorang murid. Suaranya cemas seakan sesuatu yang buruk baru berlaku. Dalam ketegangan murid saya ini bertanya:

“Ustaz pandai tak mentafsir mimpi? Saya mendapat mimpi yang sangat ngeri! Saya bermimpi rumah saya terbakar dan habis semua ahli keluarga saya, ayah, ibu, adik beradik hangus dijilat kejam sang api depan mata saya.”

Saya bertanya suatu soalan mudah bagi mengesan “jenis mimpi ini”: “Bila awak bermimpi?”

Beliau menjawab: “Baru sekejap Ustaz. Dalam lebih kurang jam 9 pagi.”

Saya memotong tuntas: “Sebenarnya kebenaran mimpi bersangkut juga dengan masa tidur. Sefaham saya, waktu Dhuha adalah waktu manusia keluar berkerja dan bukannya waktu tidur. Syaitan suka manusia pasif tidur pada waktu ini kerana ia tambah melemah serta memalaskan manusia. Awak anggaplah ia sekadar mimpi gangguan syaitan yang mahu menakutkan awak. Berdoa kepada Allah agar perkara tersebut dihindari.”

Syaitan sebagai makhluk pembelit nombor satu boleh merosakkan keharmonian masyarakat dengan menimbulkan berbagai mimpi yang menimbulkan bibit curiga. Contohnya si fulan bermimpi jatuh tersungkur ditolak temannya dari tempat tinggi. Temannya pula memang sudah ada sedikit perselisihan faham dengannya. Mimpi ini pula diulang tayang oleh syaitan berkali-kali sehingga mangsa sering tersedar di tengah malam dalam ketakutan. Akhirnya, wajah temannya “yang tidak bersalah itu” dipahat sebagai bersalah oleh syaitan yang mencipta mimpi. Akibatnya, mangsa mulai memandang serong temannya itu. Sebarang tingkah temannya dicurigai. Bantuan temannya direnung dalam bacaan buruk sangka yang maha dahsyat. Dalam situasi begini, ilmu memainkan peranan besar dalam membantu seseorang menangkis serangan mental dari syaitan. Rasulullah SAW mengajar kita cara mudah menangani mimpi ini dengan sabdanya:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا وَإِذَا رَأَى غَيْرَ
ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا وَلَا يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

Ertinya: Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, ketahuilah ianya dari Allah maka pujilah Allah atas mimpi tersebut dan berbiacaralah tentangnya. Akan tetapi apabila seseorang itu bermimpi yang lain iaitu sesuatu yang tidak disukai, ketahuilah ianya dari syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatannya. Jangan juga diceritakan mimpi itu kepada sesiapapun kerana mimpi itu tidak akan memudaratkannya (Sahih al-Bukhari).

Dalam hadith lain Rasulullah memperincikan cara mengurus mimpi buruk:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا
وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

Ertinya: Apabila seseorang kamu bermimpi (buruk) sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meludah ke kirinya sebanyak 3 kali, memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali, dan hendaklah dia beralih tempat tidur (Sahih Muslim).

3) Mimpi yang yang benar atau perkhabaran gembira untuk orang soleh. Ia diperincikan lagi oleh Rasulullah SAW:

لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ

Ertinya: Tidak tinggal lagi kenabian melainkan al-Mubasysyirat (perkhabaran gembira). Para sahabat bertanya apakah perkhabaran gembira itu? Baginda menjelaskan: Ia adalah mimpi yang benar (Sahih al-Bukhari).

Menurut para ulama Tafsir (Tafsir Ibn Kathir), mimpi yang benar juga tergolong dalam perkhabaran gembira yang diperlihatkan kepada para wali Allah sebagaimana firmanNya:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (64)

Ertinya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. “UNTUK MEREKA SAHAJALAH KEBAHAGIAAN YANG MENGEMBIRAKAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT”; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus [10:62-64]).

Subhanallah! Umat Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia. Ketika orang bukan Islam kebingungan mencari erti di sebalik mimpi mereka, Islam sudah lama menyelesaikan pencarian itu melalui medium wahyu. Sungguh masih banyak isu mimpi yang boleh dijelaskan seperti; waktu mimpi yang benar, kisah mimpi dari al-Quran dan hadith, pensyariatan beberapa hukum pada zaman Rasulullah melalui mimpi, persoalan mimpi orang bukan Islam dan sebagainya. Bicara ini saya hentikan seketika bagi memberi laluan kepada anda semua untuk bermimpi. 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...