Friday, October 14, 2016

BERDIRI SAMA TINGGI DALAM SYURGA

BERDIRI SAMA TINGGI DALAM SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tinggi, rendah, cantik, buruk, hidung mancung, hidung kemek, kulit putih melepak, hitam melegam dan segala bentuk fizikal adalah ujian Allah untuk manusia di dunia. Kelebihan fizikal ini kadangkala menjadi sebab benci, cinta, rendah diri, bongkak, tidak puas hati dan sebagainya. Benarlah kata Allah, dunia ini negeri ujian:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi DAN MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA DIA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An’am [6:165]).

Sebut sahaja ujian pasti ada yang lulus dan gagal. Contoh yang gagal adalah manusia bongkak dengan kelebihan fizikal pinjaman Allah padanya. Lalu kecantikan itu disalah guna untuk kepentingan diri. Antara contoh gagal adalah orang yang menamatkan hidupnya dengan bunuh diri kerana tak redha atau tak sanggup menanggung musibah hidup.

Manusia yang lulus pula akan mengutip hasil yang sangat manis dalam syurga kelak. Syurga adalah negeri sejahtera yang selamat. Selamat dari sebarang kekurangan yang biasa dilalui oleh manusia semasa di dunia (Tafsir Ibn Kathir). Firman Allah:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Dan Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa (syurga), dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu) (Yunus [10:25]).

Di dunia ini, manusia sangat mementingkan aspek fizikal. Mereka sanggup berhabis harta demi untuk sentiasa dipandang elok dan cantik. Jika ada teman yang lebih cantik dan tampan, perasaan hasad mudah muncul. Oleh itu, Allah mencipta akhirat sebagai sebuah negeri yang sempurna dan setara antara semua manusia agar tiada lagi persaingan tidak sihat. Mereka akan dikurniakan tubuh lain yang muda belia dan tiada kekurangan atau kelemahan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ جُرْدًا مُرْدًا مُكَحَّلِينَ أَبْنَاءَ ثَلَاثِينَ أَوْ ثَلَاثٍ وَثَلَاثِينَ سَنَةً

Ertinya: Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan Jurdan (yang tidak berbulu di badan), Murdan (yang tidak janggut), hitam kelopak matanya (seperti bercelak), muda remaja berusia 30 atau 33 tahun.” (Sunan al-Tirmidhi)

Fizikal ahli syurga juga sangat berbeza, mereka berketinggian 60 hasta ke langit sebagaimana sabda Rasulullah:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ طُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا فَلَمَّا خَلَقَهُ قَالَ اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ النَّفَرِ مِنْ الْمَلَائِكَةِ جُلُوسٌ فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ فَإِنَّهَا تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَقَالُوا السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ فَلَمْ يَزَلْ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدُ حَتَّى الْآنَ

Ertinya: Allah mencipta Nabi Adam tingginya 60 hasta. Kemudian Allah berfirman: "Pergi dan ucapkan salam kepada para malaikat yang sedang duduk itu, dan dengarkanlah apa jawapan hormat (salam) mereka kepadamu. Itulah salam penghormatan (salam) engkau dan keturunan engkau!" Nabi Adam lalu mengucapkan "Assalamu'alaikum", (Sejahtera ke atas kamu). Para malaikat lalu mengucapkan: " Sejahtera dan rahmat Allah ke atasmu. Para malaikay menambah lafaz: Warahmatullah (dan Rahmat Allah)". Maka setiap orang yang masuk ke syurga akan memiliki fizikal seperti nabi Adam (60 hasta tingginya). Dan manusia itu sentiasa bertambah kerdil sampai sekarang" (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Ada yang bertanya, mengapa saiz manusia dalam syurga kelak sama sahaja?  Jawapannya adalah ia adalah kesempurnaan ni’mat Allah kepada ahli syurga kerana mereka tidak lagi bersaing dengan temannya dari segi saiz fizikal. Persamaan ini juga menghapuskan rasa tidak puas hati antara mereka. Pendek kata, ahli syurga kelak semuanya setara cantik dan tampannya. Mereka juga berdirI SAMA TINGGI dan SAMA BAYA. Subhanallah! Indahnya suasana itu. Oleh itu, apa tunggu lagi? Marilah kita berusaha agar ni’mat ini menjadi miliki kita kelak kerana ia memang digalakkan oleh Allah:

إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (60) لِمِثْلِ هَذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُونَ (61)

Ertinya: Sesungguhnya (ni’mat kesenangan Syurga) yang demikian itu adalah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia) (al-Saffat [37:60-61]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...