Tuesday, September 20, 2016

NABI SULAYMAN AS TAMAKKAN KUASA?

NABI SULAYMAN AS TAMAKKAN KUASA?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Sad [38:35]) pada 2 Ogos 2016. Antara isunya adalah soalan mengapa nabi Sulayman berdoa dengan doa yang sangat eksklusif. Dia mahu “HANYA DIA SEORANG SAHAJA MEMILIKI KERAJAAN TERHEBAT” dalam sejarah manusia.

“Si jin ifrit itu akhirnya lolos dari tangan Rasulullah SAW kerana DOA EKSKLUSIF NABI SULAYMAN AS!”

Baginda Rasulullah SAW adalah penghulu semua Rasul, tapi mengapa si Ifrit masih boleh lolos dan terlepas lari? Tidak lain, ia berikutan mukjizat nabi Sulayman AS yang diperuntukkan khusus untuk baginda sahaja. Doa baginda ini dimakbulkan oleh Allah:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Ertinya: (Sulayman berdoa, katanya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, DAN KURNIAKANLAH KEPADAKU SEBUAH KERAJAAN (YANG TIDAK ADA TARANYA DAN) YANG TIDAK AKAN ADA PADA SESIAPAPUN KEMUDIAN DARIPADAKU; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya (Sad [38:35-38]).

Cerita bagaimana jin Ifrit dan Iblis yang cuba mengganggu Rasulullah SAW boleh lolos disebut 2 hadith ini, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ جَعَلَ يَفْتِكُ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ وَإِنَّ اللَّهَ أَمْكَنَنِي مِنْهُ فَذَعَتُّهُ فَلَقَدْ
هَمَمْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى جَنْبِ سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا تَنْظُرُونَ إِلَيْهِ أَجْمَعُونَ أَوْ
كُلُّكُمْ ثُمَّ ذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ{ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي }
فَرَدَّهُ اللَّهُ خَاسِئًا

Ertinya: Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku. Allah membantuku untuk menewaskannya lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada salah satu tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat (nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulayman: (Sad[38:35]), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina (Sahih Muslim).

Juga hadith lain:

إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي فَقُلْتُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ قُلْتُ
أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَنْ آخُذَهُ وَاللَّهِ لَوْلَا دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لَأَصْبَحَ مُوثَقًا بِهَا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ

Ertinya: Sabda Rasulullah SAW: “Si Musuh Allah, Iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah dari (kejahatan)mu” sebanyak 3, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak 3 kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! KALAULAH BUKAN KERANA DOA SAUDARA KITA NABI SULAYMAN (DALAM SURAH SAD [38:35] YANG PERNAH MEMOHON AGAR KELEBIHAN SEBEGINI HANYA MENJADI MILIKNYA), sudah pasti Iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah (Sahih Muslim).

Zahirnya kedua hadith menampakkan seolah-olah baginda Rasulullah SAW tidak mampu menangkap jin yang menggangunya berikutan doa nabi Sulayman AS. Pun begitu, para ulama masih berselisih pandangan tentang kemampuan itu (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Apa pun, itu bukan isu yang mahu dibincangkan dalam nota Tafsir kali ini. Isu utama kita adalah “MENGAPA NABI SULAYMAN AS BEGITU TEGAS MAHUKAN KELEBIHAN ITU HANYA MILIKNYA?” Sekali pandang kelihatan baginda sangat “TAMAK.” Umum mengetahui bahawa sifat TAMAK sangat negatif dan tidak sesuai disabitkan dengan seorang Rasul Utusan Allah yang berada pada kemuncak kemuliaan rohani seorang manusia. Aduh! Pening juga memikirkannya.

Alhamdulillah! Rupanya para ulama sudah lama membincangkan perihal ini lantas memberikan kita semua jawapan padu yang tak mungkin meruntuhkan keyakinan kita tentang integriti iman dan maksum para nabi. Imam al-Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasysyaf berkata:

“Sulayman AS membesar dalam keluarga yang memiliki pangkat raja dan nabi. Baginda juga mewarisi kedua darjat tersebut. Oleh itu baginda meminta suatu mukjizat yang luar biasa melebihi semua raja dunia dari Tuhannya agar ia menjadi bukti kenabiannya serta penunduk kepada semua empayar lain.”

Imam al-Alusi pula berpendapat permintaan nabi Sulayman AS itu bersesuaian dengan maksud “MUKJIZAT” iaitu “KELEBIHAN LUAR BIASA YANG MENEWASKAN SEGALA KELEBIHAN ZAMAN SESEORANG NABI.” Pada zaman ini terdapat ramai raja dan empayar selain empayar nabi Sulayman AS. Oleh itu baginda meminta agar KELEBIHANNYA TIDAK DIMILIKI OLEH MANA-MANA RAJA YANG SEZAMAN DENGANNYA ATAU YANG SELEPASNYA. Contoh yang dapat dilihat adalah mukjizat nabi Musa AS yang menewaskan ilmu sihir yang menjadi kelebihan orang Mesir pada waktu itu (Tafsir al-Alusi).

Boleh jadi, baginda meminta agar kuasa sebegitu hebat dibataskan hanya untuk dirinya kerana manusia biasa yang benteng imannya sangat rapuh pasti tidak mampu menanggung “godaan kuasa dan harta” dalam kapasiti yang besar. Pasti akan berlaku kerosakan luar biasa jika ia mampu dimiliki oleh semua orang. Sungguh! Kuasa dan harta adalah “2 NI’MAT BERACUN” yang boleh merosakkan akal dan nafsu manusia sebagaimana yang direkodkan sejarah umat manusia dahulu dan sekarang. Mereka boleh menjadi “Tuhan bumi yang tidak bertauliah.” Benar firman Allah, harta dan kuasa yang tidak dipagar iman dan taqwa akan menjadikan manusia sangat jahat dan angkuh:

كَلَّا إِنَّ الْإِنْسَانَ لَيَطْغَى (6) أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى (7) إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى (8)

Ertinya: Ingatlah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (menjadi jahat, angkuh dan sombong), kerana dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya (berharta, berpangkat dan berkuasa). (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu kelak tempat kembali (untuk menerima balasan) (al-‘Alaq [96:6-8]).

Bicara Allah dalam al-Quran adalah benar dan tepat. Tiada yang salah atau kedok. Jika akal kita melihat ada “sesuatu kepincangan” pada firman Allah, itu tanda kita perlu lebih mengkaji. Yang manisnya, setelah mengkaji rahsia kalam Allah ini kita akan temui jawapan yang sangat manis, mengenyangkan dan berzat untuk iman dan akal. Ayuh! Mengaji lagi!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/cer itera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...