Thursday, August 4, 2016

MAQASID/MATLAMAT MENJAGA NYAWA DALAM SYARIAT NABI MUSA?

MAQASID/MATLAMAT MENJAGA NYAWA DALAM SYARIAT NABI MUSA?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Malang sungguh nasib si Qabil, jenayah ragut nyawa yang dipeloporinya menjadi musibah dosa yang bertersuan sehingga kiamat. Sabda Rasulullah SAW:

لَا تُقْتَلُ نَفْسٌ ظُلْمًا إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْ دَمِهَا لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ

Ertinya: Mana-mana jiwa yang dibunuh secara zalim, maka dosa penumpahan darah itu akan tertanggung ke atas anak Adam yang pertama kerana dia adalah “ORANG PERTAMA YANG MEMULAKAN JENAYAH MEMBUNUH.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Membunuh adalah jenayah yang sangat besar impaknya. Kematian satu nyawa menjadi sebab “kematian banyak jiwa dan hati yang lain.” Satu jiwa yang terkubur pastinya akan ditangisi oleh seorang ayah, ibu, suami, isteri, anak-anak, saudara mara, sahabat handai, majikan dan pemimpin. Oleh kerana itu, menjaga nyawa menjadi antara MAQASID atau MATLAMAT UTAMA Islam. Sebarang jenayah yang mengakibatkan kehilangan nyawa akan dihukum dengan hukuman yang sangat berat. Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178) وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاأُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa (al-Baqarah [2:178-179]).

Rupanya maqasid/matlamat menjaga nyawa turut disebut dalam agama langit yang lain seperti syariat nabi Musa AS. Di sini saya bawakan 2 contoh iaitu;

Musa AS membunuh lelaki Qibti yang sebangsa dengan Fir’awn secara tidak sengaja. Setelah berita itu tersebar, orang Qibti yang lain memburu untuk membunuh Musa. Di tengah kegawatan ini seorang lelaki beriman dari bangsa Fir’awn bergegas menasihati Musa agar segera meninggalkan Mesir. Ini bukti orang beriman tahu bahawa nyawa saudara seagama yang tidak bersalah wajib dijaga. Kisah ini direkodkan al-Quran:

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى قَالَ يَا مُوسَى إِنَّ الْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ
فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ

Ertinya: Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu" (al-Qasas[28:20]).

Nabi Musa AS segera menegur Khidir apabila Khidir membunuh seorang kanak-kanak yang tidak bersalah dalam kisah pengembaraan mereka  berdua. Teguran ini jelas menunjukkan bahawa menjaga nyawa turut menjadi MAQASID syariat nabi Musa AS. Kisah mereka difirmankan Allah dalam al-Quran:

فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا

Ertinya: Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!" (al-Kahf [18:74])

Agama Allah ini sebenarnya “satu” walaupun turun kepada para nabi pada zaman dan tempat berbeza. Benar kata al-Najasyi (raja Habsyah yang memberi perlindungan kepada orang Islam Mekah yang dalam peristiwa hijrah pertama) setelah mendengar alunan surah Maryam yang dibacakan ketua Muhajirin Habsyah, Ja’afar bin Abi Talib:

إِنَّ هَذَا وَاللَّهِ وَالَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَى لَيَخْرُجُ مِنْ مِشْكَاةٍ وَاحِدَةٍ

Ertinya: Demi Allah! Sesungguhnya (ayat) ini dan apa yang dibawa oleh nabi Musa (kitab Tawrat) benar-benar berasal dari pelita (sumber) yang satu (Musnad Ahmad)

Marilah sama-sama dalami al-Quran agar kita memiliki hikmah yang merentas zaman dan tempat.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...