Sunday, August 14, 2016

KITA DAN 4 MALAIKAT?

KITA DAN 4 MALAIKAT?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:11]) pada 11 Ogos 2016. Antara isunya adalah perihal kewujudan 4 malaikat pada setiap manusia sepanjang hidupnya.

“Alhamdulillah! Nasib baik budak ni. Selamat dia dari musibah kerana malaikat jaga dia”

Ayat di atas sangat biasa didengar dari mulut orang tua-tua ketika saya di kampong dahulu. Sering juga tertanya-tanya mana asal ayat itu. Allah akhirnya menemukan saya dengan jawapannya setelah mendalami Tafsir al-Quran. Rupanya orang tua-tua kita tidak kurang hebat ilmunya, mereka berbicara dalam lingkungan wahyu yang mungkin mereka kutip dari para guru agama mereka. Oleh itu, nota Tafsir kali ini akan mendalami maksud rukun iman yang kedua iaitu “BERIMAN KEPADA PARA MALAIKAT.” Firman Allah:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Ertinya: Bagi setiap seorang (manusia) ada malaikat penjaga yang silih berganti DARI HADAPANNYA DAN DARI BELAKANGNYA, YANG MENGAWAS DAN MENJAGANYA (DARI SESUATU BAHAYA) DENGAN PERINTAH ALLAH (al-Ra’d [13:11]).

Dalam ayat lain Allah berfirman:

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Ertinya: Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; DAN DIA MENGUTUSKAN KEPADA KAMU PENGAWAL (MALAIKAT YANG MENJAGA DAN MENULIS SEGALA YANG KAMU LAKUKAN), sehingga apabila sampai ajal maut kepada seorang antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya) (al-An’am [6:61]).

Malaikat dari penjuru hadapan dan belakang ini disebut sebagai – معقبات - PARA MALAIKAT YANG SILIH BERGANTI. Mereka bertukar giliran pada 2 waktu sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

Ertinya: Para malaikat datang silih berganti pada kalian pada waktu malam dan waktu siang. Mereka berkumpul ketika waktu solat subuh dan Asar. Kemudian yang menjaga kalian di waktu malam naik. Kemudian Allah Yang Maha Mengetahui urusan mereka, bertanya kepada malaikat-malaikat tersebut, “Bagaimanakah keadaan hamba-Ku ketika kalian tinggalkan? Mereka menjawab, “Kami tinggalkan mereka ketika mereka sedang solat dan kami datang juga ketika mereka sedang solat” (Sahih Muslim).

Selain malaikat penjaga pada bahagian hadapan dan belakang, kita turut ditemani 2 malaikat dari arah kanan dan kiri. Mereka ini bertugas merekodkan semua amal baik dan buruk kita. Mereka digelar Raqib dan ‘Atid:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ (17) مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ (18)

Ertinya: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; YANG SATU DUDUK DI SEBELAH KANANNYA, DAN YANG SATU LAGI DI SEBELAH KIRINYA. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (Qaf [50:17-18]).

Apabila menceritakan perihal 4 malaikat ini, ada pula bertanya dengan soalan yang agak sentap:

“Ustaz! Jika benar bagai dikata ada malaikat menjaga kita sepanjang masa, mengapa masih ada yang luka, cedera, sakit ditimpa musibah. Bahkan ada yang langsung mati! Nampak tak seiring dengan ayat di atas.”

Mudah sahaja menjawab soalan ini, perhatikan hujung ayat (al-Ra’d [13:11]) yang menyebut tentang peranan malaikat menjaga manusia. Allah tutup ayat itu dengan lafaz – يحفظونه من أمر الله – “MEREKA MENJAGA MANUSIA DENGAN ARAHAN ALLAH.” Hujung ayat ini menjelaskan para malaikat ini tidak boleh mengatasi kehendak Allah ke atas makhluk. Sebarang kehendak Allah pada takdir hamba pasti terlaksana dengan tuntas dan penuh hikmah:

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (51)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal"(al-Tawbah [9:51]).

Jika Allah menetapkan si hamba bakal cedera, luka atau mati maka para malaikat tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka hanyalah “HAMBA SURUHAN ALLAH” yang tidak mampu mengatasi kehendak mutlak Allah. Pernah Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril mengapa beliau tidak kerap menziarahi baginda:

مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَزُورَنَا أَكْثَرَ مِمَّا تَزُورُنَا

Ertinya: (Wahai Jibril!) Apa yang menghalangmu dari menziarahi kami secara lebih kerap? (Sahih al-Bukhari).  Berikutan soalan itu, Allah menurunkan ayat ini:

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَلِكَ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا (64)

Ertinya: Dan (berkatalah malaikat): "KAMI TIDAK TURUN DARI SEMASA KE SEMASA MELAINKAN DENGAN PERINTAH TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD); DIA LAH JUA YANG MENGUASAI SERTA MENTADBIRKAN APA YANG DI HADAPAN KITA DAN APA YANG DI BELAKANG KITA SERTA APA YANG DI ANTARA ITU; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, (Maryam [19:64]).

Pun begitu, perlu diingat jika malaikat menjaga kita dari 4 penjuru, syaitan juga turut menyerang kita dari 4 penjuru sama ada ia sudut serangan hakiki atau penjuru serangan mereka dari setiap sudut hidup. Firman Allah:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)

Ertinya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku akan benar-benar mendatangi mereka, DARI HADAPAN MEREKA SERTA DARI BELAKANG MEREKA, DAN DARI KANAN MEREKA SERTA DARI KIRI MEREKA; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (al-A’raf [7:16-17]).

Perang antara bisikan suci malaikat dan hasutan jahat syaitan sentiasa berlaku dalam jiwa kita sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ertinya: Sesungguhnya terdapat bisikan syaitan dan malaikat pada hati anak Adam. Adapun bisikan syaitan adalah sesuatu yang mendorong untuk melakukan kejahatan dan mendustai kebenaran, manakala bisikan malaikat pula adalah dorongan untuk melakukan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Sesiapa yang mendapatinya (bisikan malaikat), maka ketahuilah bahawa ia berasal dari Allah dan hendaklah dia segera memuji Allah. Sesiapa yang mendapati yang sebaliknya (bisikan syaitan) maka hendak segera memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang direjam (Sunan al-Tirmidhi).

Kesimpulannya, iman kita kepada kewujudan para malaikat sepatutnya menjadikan kita lebih beringat dan teliti dalam mengatur hidup sesuai dengan kehendak Allah. Jangan bertindak sembarangan, jangan berkata-kata sewenang lidah, jangan “BERKONGSI” atau “MENAIP DI MEDIA SOSIAL” tanpa fikir kerana semuanya direkodkan secara lengkap oleh para malaikat untuk audit akhirat. Jika terlintas untuk berbuat baik, maka segera laksanakannya sebagai sebuah rasa syukur atas dorongan mereka bak kata hadith di atas. Jika kita mampu berfikir sebegini maka kita sudah membantu mereka untuk “MENJAGA” diri kita sendiri.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...