Wednesday, August 31, 2016

JANGAN JADI HAMBA DALAM SEBUAH KEMERDEKAAN

JANGAN JADI HAMBA DALAM SEBUAH KEMERDEKAAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Semangat patriotisme berkobar menjulang naik dalam hati Zuhri dan Zakri. Semangat itu mendorong mereka menempuh perjalanan sejauh 400 km dari Kelantan ke Kuala Lumpur demi menyambut ketibaan hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2015.

Sepanjang perjalanan, Zakri sangat rimas dengan tabiat Zuhri yang berterusan menghirup “najis rokok” dan membuang puntungnya melalui tingkap kereta. Mereka kemudiannya singgah berehat di Masjid Raub. Zakri turun menunaikan solat Subuh tetapi Zuhri sedap berdengkur walaupun berkali-kali dikejutkan Zakri. Mudahnya Zuhri adalah perokok tegar, pengotor dan tidak menunaikan solat. Usai solat Subuh mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Apabila sampai perhentian bas Greenwood, Gombak, Zakri menghentikan kereta dan berkata:

“Zuhri! Aku rasa tiada gunanya kamu bersusah payah ke majlis sambutan hari kebangsaan tahun ini kerana hati dan jiwamu masih dijajah dan belum merdeka.”

Zuhri tersentak lalu berkata:

“Biadab sungguh kamu ni Zakri! Berani kamu tuduh aku masih dibelenggu penjajahan dan belum merdeka. Apa buktinya tuduhan kamu itu.”

Zakri bersuara: “Apa gunanya berbangga hidup dalam negara merdeka jika hatimu masih dijajah nafsu dan syaitan. Enggan mendirikan solat, tidak mengenal Allah walaupun hidup menumpang bumi Allah. Membiarkan diri dijajah nafsu merokok yang merosakkan amanah Allah pada tubuh badanmu dan lebih parah lagi membuang sampah di serata tempat. Sikap kamu masih jauh dari erti kata merdeka yang sebenar menurut Islam.”

Mentaliti di sebalik kisah ini dapat kita saksikan secara terang di kalangan sesetengah umat Islam Malaysia. Manusia sebegini tak ubah seperti si hapak yang cuba mempromosi minyak wangi jualannya.

Bicara kemerdekaan tidak seharusnya terbelenggu dalam kepompong fizikal sahaja. Jika begitulah pemikiran kita, sebenarnya minda kita masih dijajah nafsu dan syaitan walau sudah 58 tahun merdeka.

Islam adalah agama yang memerdekakan manusia secara menyeluruh dari penjajahan fizikal dan mental. Dalam sesetengah keadaan, merdeka iman serta mental jauh lebih baik dari merdeka fizikal. Lihat sahaja kekentalan akidah Bilal bin Rabah RA. Walaupun tubuhnya tersiksa dipakaikan baju besi, dihempap batu besar dan dijemur di tengah panas oleh tuannya yang memaksanya kembali kepada penjajahan Syaitan dengan agama berhala, Bilal tetap teguh atas Tawhid.

Beliau tidak rela kembali dijajah dan tambah hebat lagi apabila beliau dengan teguh melaungkan kalimah yang memerdekakan mindanya “AHAD!! AHAD! AHAD! (Hanya Allah Tuhan Yang Satu sembahanku)” (Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).

Ramai yang asyik berbicara tentang kemerdekaan fizikal, tapi tanpa sedar masih diperhambakan oleh berbagai penjajahan mental sehingga mata, telinga dan hati mereka tertutup rapat tidak dapat ditembusi cahaya Islam:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Ertinya: Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutup pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (al-Jathiyah[45:23])

Untuk itu, Allah menurunkan al-Quran bagi memerdekakan manusia dari segala penjajahan jahiliah itu:

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Ertinya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari berbagai kegelapan (kufur dan kesesatan) kepada cahaya iman (Islam) - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim [14:1]).

Perkataan kegelapan atau kesesatan “AL-ZULUMAT” dalam ayat ini disebut dalam kata banyak (jamak/plural), manakala perkataan cahaya “AL-NUR” iaitu kiasan kepada Islam pula disebut secara tunggal. Bahkan gandingan antara kedua perkataan dalam ayat ini diulang sebut berkali-kali oleh Allah dalam al-Quran (al-Baqarah[2:257], al-Ma’idah[5:16], al-An’am[6:1 & 122], al-Ra’d[13:16], Ibrahim[14: 1 & 5], al-Ahzab[33:43], Fatir[35:20], al-Hadid[57:9], dan al-Talaq[65:11]). Tidak lain, Allah mahu menyedarkan kita bahawa kesesatan yang boleh menjajah manusia memang banyak. Ia merangkumi berbagai bentuk seperti manusia jahat, nafsu serakah, kegilaan melampau pada harta serta hiburan, gila wanita, syaitan dan sebagainya. Sedang jalan keluar dari segala macam penjajahan itu hanya satu “CAHAYA ISLAM.”

Bersempena hari kebangsaan ini, marilah kita menambah nilai kemerdekaan fizikal yang diperjuangkan oleh datuk nenek moyang kita dahulu dengan kemerdekaan minda dan jiwa dari sebarang penjajahan minda oleh musuh iman. Umat Islam Malaysia wajib mensyukuri kemerdekaan ini dengan mengisinya dengan ketaatan. Jangan sekali-kali mencontohi Bani Isra’il yang menjadi jahat selepas merdeka dari Fir’awn. Sanggup mereka menolak arahan Allah yang menyuruh mereka berjihad memasuki Palestin dengan tutur kata yang sungguh biadab:

قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَدًا مَا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ

Ertinya: Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu" (al-Ma’idah [5:24]).

Kebiadaban mereka itu jelas menunjukkan merdeka fizikal bukanlah suatu jaminan memperoleh kemerdekaan jiwa. Mohon dijauhkan Allah daripada menjadi hamba nafsu dan syaitan dalam sebuah negara merdeka. Merdekakan diri anda dari semua anasir penjajah ini. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...